"Saya tak nak kahwin dengan dia!"

Serentak Raeya dan Ny menjawab. Sudah boleh agak siapa yang berkata bukan? Kalau tak boleh agak, pergi baca dari bab satu balik.

"Tak apa, tak apa. Berikan ia masa." Selamba Arabella berpesan sambil menepuk lembut tangan Ny yang dipegangnya. Ny di sebelah dibiarkan tercengang-cengang.

Mengikut langkah Arabella yang seperti sudah biasa dengan tempat itu, mereka bertujuh akhirnya tiba di sebuah kawasan berpenduduk. Rumah-rumah kayu terletak secara berselerak dan setiap daripada rumah-rumah tersebut pasti memiliki pondok. Ada juga sesetengah rumah yang menjadikan pondok tersebut sebagai gerai jualan tanaman dan penternakan mereka.

Beberapa pemuda dapat dilihat sedang mengangkat bakul-bakul hasil tanaman dan berjalan ke rumah masing-masing. Para wanita pula bersimpuh di tepi sungai sambil membasuh kain. 

Kanak-kanak bermain di sekeliling padang kosong dan menyepak bola raga sambil bersorak riang. Para remaja pula membantu ibu mereka menarik timba dari telaga demi memandikan anak-anak kecil mereka.

"Kampung Aves Dale... Kampung ini namanya seperti makmur, tapi keadaannya... agak kasihan ya?" Tutur Urshia tidak berlapik dalam nada sedih.

"Mereka yang hidup di sini gembira ya, jangan risau akan itu. Benar, Noctu Aviary lebih makmur dan kaya di luar sana itu tetapi di sini... Mereka lebih selamat dan bahagia." Jawab Zalchria, memerhatikan perkampungan itu.

"Mereka ini... Siapa?" Soal Raeya, kagum.

Swoosh!

Deruan angin yang amat kuat meniup segala perkakas mereka termasuklah rambut masing-masing yang terikat kemas. Melaine sudah menjerit kuat kerana rambutnya yang cantik berjalin akhirnya serabai akibat ditiup angin.

"Bunga-bunga saya..." Keluh Melaine sedih apabila sedar akan bunga-bunga putih pada rambutnya itu sudah pun berterbangan. Lekas dia menarik rambutnya dan mengelus lembut. Serta-merta kuntuman bunga mula timbul pada rambutnya semula. "Ha, kan dah cantik." Ucapnya.

Laluan angin yang menderu itu tidak berhenti di situ sahaja, bunyi sesuatu yang mengibas di langit mula menarik perhatian mereka. Semua orang mendongak ke atas bagi melihat pemilik bunyi tersebut. Dari bawah, dapat dilihat sepasang sayap besar berkibas di udara.

"Na- Na- Naga?!!" Jerit Taikuri, menuding ke langit. 

Para penduduk di kampung tersebut bersorak gembira akan kepulangan makhluk tersebut. Ia akhirnya mendarat di atas sebuah padang. Hidungnya mengeluarkan kepulan-kepulan asap panas sebagai jawapan pada orang-orang yang memanggilnya.

"Naga wujud?!" Urshia turut menyatakan kejutannya. Dia ternganga dengan kedua belah tangan yang memegang pipi.

Melaine tersenyum nipis sebelum cepat-cepat melangkah ke hadapan. "Kalau naga tak wujud, keturunan saya tiada di Noctu Aviary ini. Kami dikenali sebagai Dragon Charmer for a reason." Tuturnya.

Kedudukan naga itu menjadi tempat tuju Melaine. Taikuri sudah memanggil-manggil teman wanitanya itu kerana risau namun Melaine tidak menghiraukannya. Dia tetap melangkah ke arah naga tersebut dengan penuh bersemangat.

Perlahan-lahan, Melaine mula bersenandung kecil dan mengeluarkan bunyi-bunyi yang tidak dapat dilakukan oleh manusia biasa. Mendengarkan itu, naga tersebut mengangkat kepalanya dan menoleh ke arah Melaine. Ia membalas panggilan itu dengan bunyinya tersendiri.

Melaine menghulurkan tangan ke hadapan sebagai tanda perkenalan. Naga itu pun menurunkan kepalanya dan meletakkan kepalanya di antara tangan Melaine. Lekas Melaine meletakkan dahinya pada dahi naga tersebut.

Pelepah EmasWhere stories live. Discover now