||22||

47 7 0
                                    

"Pancake aku terbakar!"

"Apa pasal pancake kau asyik terbakar je ni?!"

Pagi-pagi lagi sudah dihiasi suara Raeya dan Urshia yang terpekik-pekik berbalah. Taikuri yang baru sahaja bangkit dari tidurnya terkebil-kebil melihat dua orang rakannya itu. Zalchria yang sibuk menelaah buku pula tidak menghiraukan mereka.

Niat Raeya adalah untuk menghidangkan pancake pagi itu sebagai sarapan. Bahan-bahan untuk memasaknya juga telah Raeya dapatkan dari gerai-gerai berdekatan. Tetapi entah apa nasibnya, hangus lagi juadah mereka.

"Aku rasa, kau masih belum pandai kawal api kau betul-betul lah Raeya. Asyik terbakar je bila masak. Dari hari tu lagi tau." Bebel Taikuri sambil mendekati unggun api. Dia mencangkung dan memerhatikan kesan kebakaran pada kuali leper yang dipegang Raeya.

"Langsung tak boleh jadi suami." Tuduh Urshia yang sedang mengacau bahan baharu di dalam mangkuk untuk dimasaknya. 

"Kau cakap macam-macam, nanti makanan kau yang hangus kang. Aku yang hasilkan api untuk kita masak ni tau." Geram Raeya membalas. Pancake miliknya yang terbakar itu diletakkan ke atas pinggan kayu sebelum kuali leper tersebut dibasuhnya.

Selepas membasuh kuali leper tersebut, Raeya memberikannya pada Urshia yang sudah pun menghulurkan tangan untuk menerimanya. Kali ini, biar yang pakar pula memasak.

"Kau nak masak apa ni, Urshia?" Soal Taikuri sambil memerhatikan Urshia memasukkan segala bahan-bahan secara satu-persatu.

"Baba ganoush, boleh makan dengan roti yang aku sempat beli dekat pakcik gerai sana tu." Jawab Urshia, menuding ke arah sebuah gerai yang dipenuhi kain-kain sebagai pelindung terletak tidak jauh dari mereka. Taikuri yang melirik ke arah gerai yang ditunjukkan terangguk-angguk.

Zalchria mendekati rakan-rakannya apabila melihat mereka sedang galak berbual. Terjongket keningnya melihat segala ramuan yang dimasukkan. "Mana kau dapat sayur paterung tu Urshia?"

"Banyak kot gerai-gerai kecil keliling kita, aku dengan Raeya pergi usha tadi kejap." Balas Urshia lalu meletakkan paprieka, cacumin, tahienie, kebawang putih dan segala jenis bahan ke dalam paterung yang telah dilenyekkan di dalam periuk tersebut. Ramuan tersebut menjadikan hasil yang ditunggu-tunggu berwarna putih.

Setelah membentukkan hasil Baba Ganoush tersebut dengan menarik, Urshia meletakkan secubit paprieka demi mencantikkan santapan tersebut. Mereka yang memerhatikan setiap perkara yang dilakukan Urshia berasa terliur dengan masakan jejaka tersebut.

"Ini barulah bakal suami idaman wanita!" Puji Taikuri lalu tertawa sendiri. Raeya di sebelahnya dipukul-pukul tanda bergurau.

Mencebik, Raeya berpeluk tubuh dan berpaling ke arah lain. Pancake dia terbakar sahaja. Bukannya dia tidak tahu memasak!

"Gadis-gadis itu sudah bangun atau belum?" Tanya Zalchria sambil menoleh ke arah khemah mereka. 

Serta-merta keempat-empat jejaka tersebut mengalihkan pandangan mereka ke arah khemah. Senyap dan sunyi sahaja. Ny dan Melaine itu, tidur matikah?

"Siapa kata kami tak bangun lagi?" Suara Melaine tiba-tiba menyergah dari belakang mereka.

Apa lagi, menjeritlah semua di situ. Taikuri dan Raeya yang sedang mencangkung di atas tanah lantas terduduk, pegangan Urshia pada senduknya pula terlepas kerana senduk tersebut telah mendarat di dahi Zalchria yang terpinga-pinga.

"Ay, penakut." Ucap Ny perlahan di sisi Melaine.

Keempat-empat jejaka itu menoleh ke belakang dengan perlahan-lahan. Kelihatan Melaine dan Ny sedang mencekak pinggang di samping makanan yang masih terletak di dalam kuali. 

"Saya dah potongkan roti dan tatimun." Ujar Ny senada. Mereka semua menoleh ke arah yang dilirik Ny. Kelihatan dua pinggan roti dan sayur tatimun yang dipotong-potong terletak cantik di atas sebatang balak, tempat duduk mereka.

"Okey, kalau macam tu, jom kita semua makan." Ujar Urshia kemudian berdiri. Dia mengarahkan Raeya untuk mengangkat kuali leper tersebut kerana masih panas.

Berkerut dahi Raeya mendengarkan arahan Urshia itu. "Aku mungkin pengguna teras api, tapi itu tak bermakna aku kalis api. Kau nak tangan aku terbakar ke woi?" Soal Raeya yang memerhatikan kuali tersebut.

"Haih, susah betul nak minta tolong." Tutur Urshia, malas-malas. "Kita celup sajalah roti dan tatimun tu terus dari kuali. Tak payah aku angkat. Lepas tu boleh basuh apa semua terus." Katanya.

Sejurus itu, mereka semua berkumpul mengelilingi unggun api yang terletaknya sekuali Baba Ganoush. Pinggan roti dan tatimun itu disampaikan secara bergilir-gilir. Apabila semua mendapat hidangan tersebut, segera mereka mencicah roti dan tatimun tersebut ke dalam Baba Ganoush yang dimasak oleh Urshia.

"Sedap weh! Untung bakal isteri kau nanti." Puji Taikuri sambil mengunyah roti.

"Terima kasih." Balas Urshia acuh tak acuh.

Raeya memandang Taikuri atas bawah. "Eleh, tak sedar bakal isteri ada kat sebelah tu je." Tuturnya, menyampah.

Taikuri dan Melaine saling berpandangan. Mereka kemudiannya berpaling cepat-cepat ke arah lain. Aik, malu-malu kucing pulakah? Raeya menghadiahkan rolleyes.

Peta yang disimpan diambil Zalchria bagi memastikan perjalanan mereka hari itu. "Kalau kita bergerak pantas, malam ini sudah boleh sampai ke Kota Feasouther. Jika banyak singgah, boleh jadi esok baru sampai. Saya harap, masing-masing dapat memberi komitmen dengan baik." Pesan Zalchria.

"Okay, got it!" Raeya membalas dengan jempolan jari. Dia sempat mengambil sepotong tatimun untuk dikunyah.

 Baiklah, pengembaraan mereka bermula lagi hari ini.


☆:::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::☆


"Jauhnya..." Keluh Arabella sambil mengesat peluh di dahi. Sayapnya dilenyapkan, dia lantas mendarat ke atas sebatang dahan pokok.

Dia mencangkung dan membetulkan kedudukannya agar tidak terjatuh. Tangan kanannya memayungi mata manakala tangan kirinya pula memaut pada batang pokok tersebut. Kawasan sekelilingnya diperhatikan dengan penuh perhatian.

Arabella kini berada di kawasan tidak berkota yang dinamakan sebagai Talon Field. Kawasan ini terletak di antara Kota Feasouther dan Kota Flightwest. Mujur dia tidak bergerak ke Kota Aveast, jika tidak, pasti akan lebih jauh perjalanannya nanti.

Tali beg sandangnya digenggam kuat-kuat. Sejak melihat pegawai-pegawai yang memenuhi Kota Flightwest sewaktu penginapannya di sana, hatinya berasa tidak enak. Aleida dan Asher sudah menasihatinya agar berhati-hati.

Andai tersalah langkah, dia dalam bahaya. 

Bukan dia sahaja, nyawa Raeya turut sama.

Krak! Bunyi ranting dipijak menarik perhatian Arabella. Dia memandang sekeliling, matanya tertancap pada sekumpulan manusia bersayap yang memakai satu uniform yang sangat dikenalinya.

Mereka merupakan pegawai yang sama dia lihat di Kota Flightwest. Pasti ada sesuatu yang sedang mereka ekori.

Selepas itu, satu kelibat bayang-bayang hitam besar terasa sedang menerbangi kedudukan Arabella. Wanita itu lantas mendongak ke atas dan memicingkan mata bagi melihat apakah ia. Namun tiada apa pun yang dapat dia lihat di langit tersebut.

Perasaannyakah? Jika bukan, tidak akanlah makhluk-makhluk di tempat asalnya itu sudah berani menunjukkan diri?

"Jom kita pergi sana." Suara salah seorang pegawai tersebut menangkap halwa telinga. Derapan tapak kaki mereka seperti mendekat.

Arabella menghulurkan telapak tangannya ke hadapan sebelum meniup perlahan. Sekelip mata, dirinya hilang dibawa angin.

Dahan tersebut kosong, tidak berpenghuni.

Pelepah EmasWhere stories live. Discover now