Tiada siapa berada di sisinya ketika ini. Dahlia berseorangan ditemani cahaya malap lampu minyak tanah dan sedikit pukulan pawana yang menyelit masuk dari celah tingkap yang terbuka sedikit.

  Suatu buah fikiran tiba-tiba menyentak mindanya. "Mengapa... Ke mana sahaja aku jejakkan kaki... Pasti perkara buruk yang menimpa kawasan itu berserta seluruh isinya?"

  "Bermula dari peristiwa dengan Citra di Kampung Kijang..."

  "Tambah pula serangan dari penjurit ketika rombongan dikumpulkan untuk menghantar aku ke istana Wantachitra..."

  "Lagipula dengan peperangan dahsyat di pesisir pantai Wantachitra tempoh hari..."

  "Dan kali ini di Kampung Empat Puncak pula..."

  Tanpa sedar, Dahlia berbicara sendirian. Suaranya tidaklah kuat, sekadar mampu ditangkap telinga sendiri. Matanya mula berkaca, dadanya mula sesak dengan tekanan. Perlahan-lahan linangan air mata yang tiada dijemput gugur berlinangan di sisi pipi mulusnya bak sungai jernih yang mengalir perlahan.

  Tangisannya bisu tanpa bunyi. "Apa kau dah buat ini, Dahlia?..." Perlahan kedengaran suara Dahlia berbisik dengan dirinya sendiri. Sayu bersulam pilu bibirnya melontar bicara yang bagai menabur garam di luka atmanya sendiri.

  Rasa bersalah mencengkam seluruh dirinya, melemaskannya dalam samudera tangisan. Dahlia punyai satu perasaan tanggungjawab atas segala yang berlaku.

  Malah lebih perit lagi apabila setiap kali musibah menimpa, dia pasti menjadi mangsa yang menghabiskan masanya terlantar sakit di atas tilam tanpa mampu menghulurkan bantuan walau sedikit pun. Dahlia kesal, membenci dirinya dengan segala kudrat yang dia punyai.

  Bagaimana mungkin dialah yang menyalakan mancisnya namun kemudian meminta bantuan orang lain untuk memadamkan apinya?

  Begitulah tanggapan Dahlia terhadap dirinya. Tambahan pula, amanah yang dipertanggungjawab oleh Sang Jentayu dan Merpatika ke atas dirinya tentang penyamaran sebagai Tengku Puteri Seri Dahlia kini sudah terbongkar pada Dewi. Tentulah perkara ini akan tiba ke pengetahuan umum juga dalam masa terdekat.

  Hancur. Segala-galanya ibarat kaca yang dijulang tinggi namun kini jatuh pecah bersepai di lantai bumi. Dahlia gagal. Ibarat
Mendaki ke gunung namun tiada beroleh angin, belum pun dia tiba ke garisan penamat, sudah terjatuh di pertengahan jalan.

  Apakah patut dia menarik tali berputus asa sekarang? Apakah tiba sudah waktunya untuk dia menjulang tinggi bendera putihnya? Dahlia buntu. Kesal, geram, bengang, kecewa. Segalanya bercampur baur menghasilkan suatu perasaan yang hitam kelam. Empayar atmanya kini bagaikan ribut. Cuacanya tiada menentu. Sebentar tadi hujan, habis pula mendung, seterusnya taufan pula. Tsunami dahsyat di dalam sana.

  Tangannya Dahlia diletakkan di atas dahi dan netranya yang masih terkatup rapat mengawal kederasan air sungai yang mengalir tanpa henti. Hanya bunyi nafas kedengaran tersedu-sedan di hujung tekaknya.

  Tanpa sedar, Dewi yang tadinya berniat untuk masuk ke ruangan itu kini menjadi pendengar setia tiada berbayar atas segala rintihan sayu Dahlia. Matanya kosong merenung kawasan luar bilik itu. Entah mengapa, jiwanya bagai dihentak pilu melihat keadaan Dahlia yang bagai memanggil-manggil mencari pertolongan.

  'Mengapa? Mengapa gadis yang serupa dengan Tengku Puteri ini kelihatan sangat menyedihkan? Apa yang berlaku pada dirinya sejak awal lagi? Dari mana asal-usulnya? Sejak bila dia mula menjalankan rancangannya? Siapakah yang turut bersekongkol sama dengan rancangannya? Apakah semua ini datangnya dari kotak ideanya atau ia merupakan cadangan dari orang lain? Tapi siapa? Apakah mungkin Sultan dan Permaisuri turut mengetahui hal ini?'

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now