"Sumpah." Dewi menarik nafasnya sedalam yang mungkin, cuba memberi tenang menguasai jiwa. "Sumpah kau sangka aku siapa tidak mengenali Tengku Puteriku sendiri?"

Dahlia sekadar mendengar tanpa ada niat untuk bertikam lidah lagi. Dia tidak tahu sama ada perlu untuk dia berterus terang atau membiarkan Dewi mencemuh dirinya sebegitu rupa.

"Ini. Ini pohon apa?" Dewi menjulang pedangnya tinggi menghala ke arah pohon jering muda yang besar dan berseorangan di tanah luas itu.

Dahlia sekadar berkerut. Pokok itu berbuah lebat. Malah keberadaanya di situ turut menjadi penghias tanah luas itu. Buahnya sukar dikenali Dahlia. Jarang dia melihat pokok sebegitu.

"Maaf, aku kurang pasti." Dahlia membalas ringkas. Entah apa yang cuba Dewi sampaikan melalui soalannya, Dahlia pun tidak tahu.

"Ini kesukaan Tengku Puteri." Dewi bersuara ringkas namun padat. Dahlia pula tersentak. "Ini langkah terakhirku untuk mengenal pasti apakah kau benar Tengku Puteri atau kau sebenarnya hanya bertopengkan Tengku."

Dahlia terkedu lagi. Sungguh silapnya di situ tidak mengetahui ulaman kesukaan Tengku Puteri Seri Dahlia.

"Tidak ramai yang tahu akan hal itu. Hanya Tengku dan aku. Bahagianya Tengku bukan kepalang tatkala dia melihat pohon ini saat dia mengunjungi kampung ini kerana pohon ini tidak ditanam di laman istana." Dewi menjelaskan. Nada suaranya berubah menjadi lebih tenang berbanding sebelumnya.

"Jikalau kau adalah Tengku, masakan kau tidak mengenali kesukaanmu sendiri?" Soalan itu diajukan kepada Dahlia. Pedih menusuk jantung.

"Kau tahu? Tengku tidak senyum. Boleh dihitung dek jari berapa kali sahaja beliau mengukir senyuman. Wajahnya sentiasa garang. Corak pertarungannya juga tidak seperti engkau. Tengku jauh lebih mahir berbanding aku."

"Sebentar tadi, kau halakan pedang di leher aku. Cara kau salah. Jauh berbeza dengan Tengku. Jikalau hendak menghabisi nyawa seseorang, Tengku sendiri akan berdiri di sisi musuh, memegang pedangnya secara terbalik untuk mengelar leher musuh. Itu Tengku." Panjang lebar Dewi menjelaskan. Sungguh sudah dia amati Dahlia dengan sangat terperinci.

Dahlia masih mengunci mulut. Sungguh dia gagal menjayakan penyamarannya. Adakah Dewi akan menjadi pemusnah kepada segala usahanya selama ini? Apakah Dewi akan bongkarkan segalanya di khalayak ramai setelah menyedari hakikat penyamaranku? Apakah hukuman yang bakal Dahlia terima daripada rakyat dan pemerintah?

Minda Dahlia runsing memikirkan segala hal. 'Sudah aku pesan pada diriku, pendustaan tidak akan berakhir dengan baik.' Suara batin Dahlia bersuara kesal.

"Apa alasan kau? Melakukan semua ini?" Dewi menyoal. Pandangannya garang memandang Dahlia namun tidaklah segerun tadi.

Dahlia masih mengetap bibir ketat. Apakah patut dia muntahkan segalanya? Atau hadap sahaja segala apa yang tertulis takdir buat dirinya?

"Jika kau berkeras mahu menelan lidah, aku juga akan berkeras dengan tindakan aku yang seterusnya." Dewi kembali mengenggam pedangnya erat. Dahlia hanya punyai pilihan untuk bersiaga. Segera pedangnya yang terbaring di tanah dicapainya.

Dahlia bersedia dengan sebarang kemungkinan. Sepertinya kali ini Dewi tidak akan sengaja menyasarkan serangannya. Sepertinya nyawa Dahlia benar-benar bagai telur dihujung tanduk.

Dewi bertindak menyerang terlebih dahulu. Ketangkasannya meningkat berbanding sebelumnya. Bertubi-tubi serangan dikenakan ke atas Dahlia.

Sungguh tiadalah buku bertemu ruas. Dahlia mungkin mampu mengelak namun serangan Dewi semakin pantas menyebabkan Dahlia tidak mampu mencapai tahap kepantasan sebegitu rupa.

Dusta Puteri PalsuOnde histórias criam vida. Descubra agora