Sekali pandang dari mata kasar, mungkin jelas terlihat bahawasanya Dewi sedang menghentam Dahlia, namun sebagai pihak lawannya sendiri, Dahlia mendapati serangan Dewi disasarkan sedikit berbanding sasaran utamanya. Dewi tiada niat mencederai Dahlia. Itu kesimpulan ringkas yang mampu Dahlia hadam.

Sepertinya tujuan utama Dewi bukanlah melukai Dahlia, malah gadis itu hanya mahu melihat tahap kemahiran Dahlia. Jelas di sini bahawa, rahsia penyamarannya sudah terbongkar pada Dewi. Dahlia tidak mampu berdusta dengan Dewi lagi. Gadis di hadapannya ini sudah tahu semuanya. Tindakannya menyerang hanyalah untuk membenarkan firasatnya sahaja.

'Ah, parah.' Suara batin Dahlia mengeluh ringan namun tubuhnya masih tangkas menyerang balas. Sungguh usaha tiada pernah mensia-siakan hasilnya, serangan balas Dewi berjaya dipatahkan Dahlia. Mungkin memakan masa yang agak lama namun setelah tindak-tanduknya dan corak pertarungannya dapat dibaca Dahlia, tidak sukar untuk mematahkan serangan balas gadis itu.

Dahlia bertindak menoktahkan segala pertarungan ini. Biarpun dia juga tiada niat melukai Dewi, namun pergerakan Dewi akan dimatikan sehabis mungkin memberi ruang untuk berbicara dan menyelesaikan masalah menggunakan aksara dan bukannya pedang.

Pedang Dahlia kini berada tepat di leher Dewi. Memandangkan penyamarannya sudah terbongkar, tiadalah perlu untuk dia kekal dalam wataknya lagi. Dewi langsung tiada tersentak. Matanya separa dibuka akibat seluruh armadanya hangus dijilat api amarah yang membara. Sekali pandang, tiada siapa yang berani mendekat dengan Dewi.

"Celaka, Tengku Puteri tidak serang dari arah sebegitu." Mendalam suara Dewi menangkas semula pedang Dahlia yang telah dekat dengan leher Dewi. Jelas, masih ada lopong dalam serangan Dahlia yang membenarkan Dewi kembali menyerang balas.

Pedang milik Dahlia tercampak dua hasta jauhnya dari Dahlia. Dewi kembali membetulkan posisinya. Begitu juga Dahlia. Dewi tidak lagi menyerang balas. Kedua-dua insan itu kini berdiri tegak memandang satu sama lain tanpa sepatah kata pun terpacul keluar dari mulut.

"Menyamar jadi Tengku Puteri?" Tajam cerlungan Dewi menatap Dahlia. Bagaikan Sang Rimau yang mahu membaham mangsanya. Sungguh Dahlia sedikit tersentak akibat gerun dengan seluruh aura yang dikeluarkan Dewi. Ketangkasan dan kemahirannya sungguh menakjubkan.

Dahlia kekal diam mengunci bicara. Dirinya sendiri tahu bahawasanya lambat laun Dewi akan tahu rahsia sebenar juga namun tidaklah dia sangka sebegini cepatnya Dewi membongkar segalanya. Terlalu pantas. Belum cukup sehari lagi mereka meluang waktu bersama.

"Kau sangka kau siapa? Berani mempergunakan gelaran Tengku pada diri kau hanya semata kerana wajah kau yang seiras itu?" Seluruh empayar atma Dewi bagai gunung berapi yang menggelegak seakan hampir meletus bila-bila masa sahaja.

Sungguh dia rasa tercabar dengan tindakan Dahlia. Tengku Puteri bukan sembarangan orang untuk seorang rakyat biasa mengaku dirinya sebagai Tengku jelas menunjukkan bahawasanya maruah Tengku seolah dipijak-pijak sesuka hati. Mana tidak berapi Dewi yang merupakan pemangku Tengku Puteri.

Ini Tengku Puteri yang sedang dibicarakan, bukan sembarangan orang. Tiada yang berani memijak maruah Tengku sebegini rupa.

Dahlia masih membisu. Tidak tahu apa yang patut dia bicarakan. Nama pun rahsia, tidak mungkin Dahlia sendiri membuka bicara membongkar segala penyamarannya, membenarkan tuduhan Dewi itu.

"Bagaimana kau tahu? Dalam sekelip mata kau-" Dahlia cuba membalas soalan dengan soalan.

"Hanya wajah kau yang sama dengan Tengku Puteri!" Dewi memintas bicara Dahlia dengan satu tengkingan keras.

"Segala apa selain wajah kau, tiada langsung yang sama dengan Tengku! Nasib kau baik, Tengku jarang memunculkan diri di khalayak ramai menyebabkan tidak ramai yang tahu perihal dirinya yang sebenar."

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now