Seroja tersenyum girang. Terhambur ketawa kecilnya, geli hati melihat gelagat Puteri Seri Dahlia yang bagaikan ibu mertuanya itu.

  "Menjunjung titah, Tengku." Balas Seroja sopan. Wajahnya ditundukkan sedikit tanda hormat.

  Ratna kembali berpimpin tangan dengan Dahlia. Dewi menurut langkah Dahlia dan Ratna. Ketiga-tiga mereka segera bergerak meninggalkan kawasan itu.
_______________________•••____________________

  "MASHA ALLAH, TENGKU PUTERI!"

  Dahlia terkesima seketika melihat sekumpulan wanita dalam lingkungan umur 40-an dan ke atas tiba-tiba bersuara serentak hingga bergema seluruh kawasan dewan terbuka berbumbung itu.

  "Apakah-?" Hanya sepatah kata terpacul keluar dari mulut Dahlia tatkala pandangannya jatuh pada kawasan dewan terbuka serba megah dengan jumlah hampir 20 wanita tua berkumpul di kawasan itu.

  Kawasan itu dipenuhi dengan periuk-periuk belanga yang lebih besar saiznya daripada pemeluk seorang teruna. Bahkan meja-meja besar semua dipenuhi dengan pelbagai barang masakan. Kelihatan seperti sedang berjalan proses memasak secara besar-besaran di situ. Meriahnya bukan kepalang dengan gelak tawa wanita tua yang banyak bunyi mulutnya bagaikan murai tercabut ekor.

  "Apa yang sedang kalian lakukan?" Dahlia menyoal sambil bibirnya menguntum senyuman girang hingga menyerlahkan baris giginya. Wajahnya serta-merta berubah ceria melihat interaksi meriah di kampung itu.

  "Astaghfirullahalazim kantoi sudah!" Laung salah seorang daripada wanita tua yang sedang mencuci sayur dalam sebuah besen besar.

  Serentak itu seluruh dewan bergema dengan bunyi gelak tawa penduduk di situ. Masing-masing menepuk dahi sendiri. Ada yang sekadar menghembus nafas berat.

  Dahlia sekadar tersengih kelat. Hatinya girang ingin tahu apa yang berlaku namun tiadalah gadis itu mengerti situasi ketika itu.

  "Ampun Tengku, asalnya cadangan kami untuk buat kejutan buat Tengku dengan adakan jamuan besar-besaran ini. Semua penduduk kami undang sama untuk turut serta menjamu selera nanti." Salah seorang wanita tua berbadan gempal sedikit mula melangkah ke hadapan Dahlia, menjelaskan segalanya pada gadis itu.

  "Wahh!" Ratna melaung girang. Kejutan buat Dahlia, dia pula yang bahagianya terlebih.

  Dahlia mengangguk memahami sambil wajahnya jelas terpapar bahawa dia amat mencintai majlis seperti itu. Meriahnya bukan kepalang!

  "Apakah masih ada kekosongan kerja? Beta ingin turut serta menyediakan hidangannya!" Dahlia bersuara lantang sambil senyuman lebar terlukis di wajahnya. Dia mula menyinsing lengan bajunya yang berjela panjangnya lalu mengorak langkah mendekati kawasan persiapan hidangan makanan itu.

  Dewi serta-merta bergerak menghalang Dahlia. "Ampun Tengku, tiadalah hendak Tengku memcemar duli menyediakan santapan buat penduduk sedangkan ini juga kejutan buat Tengku." Tenang Dewi bersuara, menjelaskan. Suaranya sederhana kuat namun mampu didengari semua yang berada di situ.

  "Benar Tengku, lagipula kami cukup tangan sudah semuanya." Balas seorang ibu tua yang kelihatan lebih matang dan arif dalam pelbagai hal.

  Dahlia mengeluh ringkas. "Izinkan beta untuk turut serta sebagai tanda terima kasih beta terhadap kalian yang mencadangkan semua ini." Dahlia berkeras. Sejujurnya dia merindui suasana meriah di kampung sebegini. Memori tentang kampung halamannya mengetuk kotak minda.

  "Tetapi Tengku..." Dewi cuba menghalang lagi sekali namun sekilas Dahlia memandang ke arahnya menyebabkan mulutnya terkunci serta-merta. Dewi menunduk sedikit. "Ampun Tengku."

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now