"Pemuda ini siapa namanya?" Dahlia menyoal sopan. Ibu jarinya digunakan untuk menunjuk ke arah pemuda dalam lingkungan umur 40-an itu.

  "Ah! Ampun Tengku! Khilaf patik tidak memperkenalkan diri terlebih dahulu." Pemuda tua itu segera membetulkan tanjaknya seraya menolak urat-urat rambutnya ke belakang. "Nama diberi Abu Sadam. Digelar orang, Pak Sadam, Tengku."

  Dewi berkerut seribu sekali lagi. Matanya sedikit terbuntang. Dia menoleh memandang Dahlia. Riak wajahnya yang berubah memohon penjelasan sepenuhnya daripada pihak Dahlia. Namun Dahlia seolah tiada reaksi mengejutkan.

  "Ah, salam perkenalan buat kau, Pak Sadam." Balas Dahlia berselit senyuman manisnya. Sedaya upaya dia meraih kepercayaan rakyat buat Tengku Puteri. Gadis muda ini langsung tidak menyedari perubahan riak wajah Dewi.

  Pengawal yang lain pula langsung tidak memahami tingkah laku Dewi namun tiada juga yang bertanya. Merpatika hanya memerhati sedikit dari jauh. Tidak berupaya mendengar sebarang perbualan antara Dahlia dengan penduduk kampung, Merpatika menjarakkan dirinya sedikit daripada kerumunan ramai. Rimas.

  Namun kerumunan ramai itu dimusnahkan oleh beberapa penduduk yang berusaha menenangkan keadaan daripada menjadi huru-hara hingga tidak terkawal. Mereka sebolehnya ingin memastikan Tengku Puteri berada dalam keadaan selesa sepanjang beliau berada di sini. Maka orang ramai diarahkan untuk menjalankan urusan harian seperti biasa biarpun mereka tahu ramai yang tidak jemu memandang burung lagenda gergasi itu.

  Bahkan terdapat beberapa orang penduduk yang terdiri daripada golongan berumur sudahpun mengambil tempat di sebuah warung berdekatan untuk membuka cerita tentang burung gergasi lagenda itu. Berbagai kisah kedengaran menjadi bualan hangat dari bibir ke bibir penduduk.

  Ada yang sahih, ada juga mitos belaka. Tidak kurang juga mereka yang bercerita mengikut akal sendiri. Kopi panas masing-masing dibiar tidak bersentuh di atas meja warung. Orang ramai turut menjadi telinga lintah untuk mencuri dengar perbualan bersama. Ada yang mengambil tempat duduk berdekatan. Ada yang duduk mendengar sambil serbuk beracun tembakau dihisap semahunya. Tidak kurang juga yang sekadar bersandar pada tiang dan menadah telinga. Bahkan tuan kedai sendiri turut memasang telinga memandangkan gossip hangat ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

  Kaum wanita juga tidak kurang hangatnya. Masing-masing berkumpul di sebuah rumah penduduk berdekatan yang secara tidak rasminya menjadi tempat membawang semua perawan berumur ini memuntahkan teori dan kisah masing-masing. Biarpun sudah dipecah-belahkan kerumunan itu, masing-masing masih berkumpul di kawasan berdekatan untuk bertukar bicara soal isu hangat ini.

  Bahkan kanak-kanak juga membicarakan tentang Merpatika. Segala kisah lagenda dan mitos daripada nenek moyang mereka diludahkan semuanya. Entah betul entah bercampur aduk, bertambah tokok kisahnya. Hanya Tuhan yang tahu.

  "Tengku, silahkan Tengku melawat sekeliling kampung ini. Apakah perlu patik mengiringi Tengku bersama sebagai penunjuk jalan?" Soal Sadam sambil mengurut misainya yang jarang-jarang itu.

  Dahlia menggeleng perlahan seraya tersenyum. "Tidak perlu. Beta ingin mengambil angin sendirian. Lagipula Dewi ada bersama beta." Ujar Dahlia sambil telapak tangan kirinya dihalakan ke arah Dewi di sisi.

  "Baiklah jikalau begitu, Tengku. Berhati-hati dalam perjalanannya." Ujar Sadam sebelum meninggalkan Dahlia dan Dewi berserta pengawalnya. Sadam sedar, pengawalan yang amat ketat juga boleh mengundang rasa tidak selesa Puteri Seri Dahlia itu. Maka adalah lebih baik Tengku Puteri dibiarkan mundar-mandir semanasukanya ke seluruh kampung, berkenalan dengan penduduk-penduduk lain sekali.

  "Ke mana mahu kita pergi dahulu?" Dahlia menoleh ke belakang memandang kesemua pengawalnya termasuklah Dewi dan Merpatika. Kelihatan burung putih gergasi itu sudah pun berbaring di atas dataran berpermaidani rumput hijau. Merpatika sama sekali tidak berminat dengan perjalanan Dahlia itu. Kehadirannya ke sini pun hanyalah kerana Dahlia bukan kerana keinginan hatinya.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now