Ramai yang terkejut dengan keberangkatan tiba Tengku Puteri secara mengejut namun kesemuanya terkedu dan terpana saat melihat Merpatika turut sama berjalan masuk ke kawasan tersebut. Burung lagenda itu benar-benar tiba di hadapan mereka. Keajaiban yang tentulah sukar dipercayai oleh kedua mata dan minda.

  Ada juga yang berbangga dapat melihat Merpatika. Sangkanya, pengalamannya ini pasti boleh menjadi kisah menarik buat cucu dan cicit serta salasilah keturunannya yang lain. Kesemua mereka menatap Merpatika tanpa henti.

  Ada juga yang terpegun namun menapak kebelakang akibat gerun melihat susuk tubuh Merpatika yang benar-benar gergasi itu. Burung yang selama ini lebih kecil berbanding mereka kini bersaiz gergasi.

  Dahlia hanya melemparkan senyuman manis biarpun jantungnya sedikit gemuruh menjadi tatapan orang ramai ketika itu. Imej yang baik harus diserlahkan bagi meraih semula kepercayaan rakyat terhadap Puteri Seri Dahlia.

  "Psst.. Tengku." Seorang pengawal di sisi kanan Dahlia berbisik perlahan. Kuat untuk didengari Dahlia namun agak perlahan untuk didengari oleh Dewi yang berada di kiri Dahlia ketika itu.

  Dahlia menoleh. Keningnya diangkat sedikit memberi isyarat pengawal itu menyambung bicaranya.

  "Sebenarnya pintu gerbang megah ini jarang digunakan. Hanya orang terhormat seperti Tengku dan orang atasan lain yang datang penuh gah akan melalui pintu ini." Pengawal itu mula berbicara perlahan. Riuh-rendah orang ramai menyebabkan Dewi langsung tidak menyedari perbualan mereka berdua.

  "Kebiasaan penduduk sini, urusan keluar masuk adalah melalui pintu belakang, Tengku. Kerana itu lebih mudah dan pantas." Terang pengawal itu lagi. Biarpun Dahlia tidak menyoal namun bicara pengawal itu tidak juga dia sanggah kerana ada perkara yang ingin juga diketahuinya.

  "Iyakah? Di manakah pintu belakang itu?" Dahlia pula menyoal perlahan.

_______________________•••____________________

  "Sini." Iskandar mendepakan tangannya menghala ke sebuah jalan yang sederhana besar saiznya. Terpacak satu papan tanda kayu berukiran tulisan jawi di atasnya. Tertera beberapa ayat yang tidak difahami Ratna kerana gadis kecil itu masih belum arif dalam membaca.

  "Bergabung empat puncak gunung Watan,
   1000 tahun ia dipacak,
   Utara barat timur selatan,
   Lahirlah Kampung Empat Puncak." Arjuna membaca ayat yang tertera di atas papan kayu tersebut. Sebuah pantun indah yang memberi maksud seseorang itu telahpun tiba di Kampung Empat Puncak. Terpegun Arjuna melihat cara penduduk kampung ini menyambut orang luar menggunakan pantun.

  "Indah ya." Bisik Arjuna perlahan. Ratna turut sama mengangguk mengiyakan. Gadis kecil yang duduk di hadapan Arjuna itu turut sama terdengar bisikan kecilnya.

  "Mengapa tidak kita masuk menggunakan pintu utama?" Soal Arjuna sambil kedua kuda mereka melangkah masuk ke kawasan kampung tersebut.

  "Ooh. Pertamanya, kita tidak cukup orang untuk masuk guna pintu utama. Yang keduanya, kebiasaannya pintu utama digunakan atas urusan rasmi sahaja." Jelas Iskandar. Matanya masih melilau ke hadapan mencari kelibat penduduk yang seolah hilang dari pandangan.

  "Ke mana perginya semua penduduk kampung?"

_______________________•••____________________

  "Ampun Tengku, menjunjung kasih Tengku atas kesudian berangkat tiba ke mari." Pemuda yang mengundang Dahlia datang ke mari mula memunculkan diri. Kelihatan pemuda itu agak tercungap. Mungkin lelah menunggang kuda sepantas yang mungkin untuk tiba ke sini sebelum Tengku Puteri sendiri bagi menyambut kedatangan tetamu kehormat itu.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now