Setiap butir kata Tok Ali bagai air yang dicurah pada tanah, menyuburkan jiwa kelam yang mendambakan pelukan hangat.  Entah kenapa jiwa Arjuna dihentak sebak dan pilu mendalam, hiba terasa saat perasaannya selama ini yang dirasakan tidak selayaknya dimiliki, seolah mendapat kebenaran dari Tok Ali bahawa perasaan itu tidaklah salah.

Selama ini dia sering menuding jari ke arah dirinya sendiri akibat gagal merasa syahdunya rahmat Ilahi. Walhal semua itu hanyalah ujian semata untuk Dia menguji setiap hambanya yang bertakwa.

Sungguh tiadalah diambil kira soal hati yang jauh dari-NYA kerana yang dilihat Allah adalah usaha sesebuah jiwa itu cuba mendekatkan dan mengeratkan hubungannya dengan Sang Pencipta mereka.

Arjuna mengeluh perlahan cuba menghadam. Sejak ketibaannya di sini, bagai satu rezeki yang ditakdirkan buat dirinya, limpahan dan curahan rezeki berjaya diperolehnya hari ini. Kendatipun baru sebentar sahaja perbualan antara mereka, bagai hilang sudah separuh daripada masalah yang menganggunya beberapa hari ini.

Malah air yang perlu dihidang anak kecil tadi pun masih belum tiba. Sama ada budak itu yang memakan masa sebegitu lama hanya untuk menyediakan minuman  atau perbualan mereka yang terlalu singkat namun tidak disedari.

Namun sebaik sahaja selesai seketika perbualan antara kedua insan itu, tiba-tiba budak tadi terpacul dengan pantas bersama dulang airnya. Tanpa sepatah bicara, air dihidangnya penuh beradab buat kedua guru dan tetamu mereka.

Kemudian waktu petang dihabisi dengan beberapa lagi sesi tukar bicara antara kedua insan itu. Sungguh masing-masing melepaskan rindu hingga mampu berbual sebegitu lamanya.
_______________________•••____________________

Arjuna menyarung sepatunya di beranda rumah pondok Tok Ali. Dia meminta izin mengundur diri untuk pulang sebelum Sang Mentari mula melabuhkan tirai. Tok Aliuddin pula mengangguk membenarkan. Bukan rindu yang dilepaskan pada pemuda itu sejak tadi namun sudah dia cuci kembali sebarang kelalaian dan kelekaan pemuda itu agar dia kembali menjadi sepertimana versi dirinya zaman muda dahulu. Zaman ketika dia masih belum memegang jawatan sebagai Temenggung Tarawangsa.

Tangan tua Tok Ali dikucup perlahan sebelum Arjuna mula mengorak langkah meinggalkan perkarangan tanah lapang itu. Budak tadi pula masih tidak kelihatan di sekitar situ. Sedang berlatih keseorangan barangkali.

Arjuna melambai buat kali terakhir sebelum memalingkan tubuhnya ke arah hutan laluan keluar tempat itu.

Laluan sempit tadi dilaluinya sambil mencari kelibat jiwa cilik, si anak muridnya Tok Ali. Bagai membaca fikiran Arjuna, serta-merta kelibat budak itu muncul dari atas dahan pokok.

Namun budak itu bergayut kakinya di dahan pohon dan hanya terlihat wajahnya sahaja di hadapan wajah Arjuna. Rambut serabainya jatuh ke bawah mengikut arah graviti. Terbalik wajahnya di hadapan Arjuna cuba menghentikan langkah pemuda itu.

Arjuna mendengus perlahan seraya tersenyum. "Apa kau buat di atas situ?" Ujar Arjuna tersengih lebar menyerlahkan barisan gigi bersihnya.

Budak itu kekal dalam keadaan bergayut tidak menjawab soalan Arjuna.

"Aku sudah ingin pulang. Kau jaga diri baik-baik ya." Tanpa mengambil hati Arjuna terus menyambung bicaranya yang diselitkan nasihat bersama.

Budak itu kekal memandang Arjuna tanpa sepatah bicara.

"Jaga-jaga."

Akhirnya mulut kecil anak teruna itu dibuka. Namun bicaranya sungguh luar tajuk.

Arjuna berkerut tidak mengerti. "Apa maksud kau hai Si cilik?"

"Dia berada dekat dengan kau."

Arjuna semakin berkerut. Cuba menghadam bicara kanak-kanak itu.

"Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Sungguh musuh dalam selimut jauh lebih merbahaya berbanding yang terang nyata." Kanak-kanak itu menghabiskan bicaranya lalu segera kembali memanjat dahan-dahan pokok membiarkan Arjuna keliru seorangan.

Dusta Puteri PalsuTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang