BAB 28

271 11 0
                                    

"Jaga baik-baik cik pinkie kakak. Nanti ingatkan orang yang tarik kereta ni ke bengkel jangan ganas sangat. Kesian cik pinkie." Aku mula berdrama siaran 7 malam depan-depan rumah baharu Sara.

Sara mendengus kasar sambil bersandar pada pintu pagar. Tak terhitung jari tangan dan kaki berapa kali Raisya mengulang ayat yang sama. Jelak pula dia dengar. "Yalah. Sara bukan tak tahu kakak sayang sangat dengan cik apa tadi namanya? Siap nama bagai."

"Cik pinkie lah!"

"Hehe...kakak pun jangan drive kereta Sara macam jalan tu kakak punya. Sara yang tuan punya kereta pun jarang guna,"pesan Sara lagi sebelum nasi sudah menjadi bubur.

Kakaknya bukan boleh dipercayai sangat. Tak boleh diberi muka. Silap hari bulan, tamat riwayat keretanya angkara tangan cuai Raisya seperti sebelum ini.

"Hehe..." Aku termalu sendiri. Terpaksa juga mengakui kebenaran yang dikatakan oleh adikku. Aku dengan stereng seperti punya kisah hitam tersendiri. Setiap kali memegang stereng, pasti akan berakhir di bengkel kereta milik apek cina bersebelahan klinik desa. Boleh diangkat sebagai pelanggan tetap mereka tahu!

Sara menggeleng kepala.

"Lepas ni check dulu minyak kereta dah habis ke tak. Bukan tahu bawa je tapi tak tahu isi minyak balik."

Kepala didongak ke atas. Menatap keadaan langit merah yang beransur gelap-gelita. Azan maghrib daripada pembesar suara masjid berkumandang kuat ke seluruh taman perumahan. Sudah tiba masanya untuk mereka menghentikan perbualan.

"Dah maghrib ni. Kakak baliklah cepat, nanti Aydan tertunggu pulak kat rumah,"kata Sara sambil menghalakan jam tangan elektroniknya yang menyentuh angka 7.25 malam. Terlihat notifikasi kecil muncul pada skrin sebagai peringatan untuk menunaikan ibadah wajib itu.

"Alamak, kakak pun tak tengok jam. Kakak gerak dulu ya. Nanti Aydan bising pulak." Aku meminta untuk undur diri. Sedar-sedar dah 2 jam lebih aku bertenggek kat sini. Rindu untuk berbual dengan Sara setelah sekian lama punya pasal.

Bonet kereta Sara ditutup rapat. Setelah memastikan Sara mengunci pintu rumahnya, baru hatiku berasa tenteram untuk bergerak pulang. Kadar kes pecah masuk rumah boleh tahan tinggi akhir-akhir ini. Pelakunya semakin mengganas melakukan kegiatan jahatnya seolah tiada tindakan daripada pihak berkuasa. Itu yang aku risau kerana Sara duduk sorang.

Punat radio dipicit. Disambung Bluetooth dengan akaun Spotify dalam telefonku. Sebelum itu, jari lincah bermain di skrin memilih lagu yang ingin dimainkan. Kemudian bergema satu kereta dengan lagu 'Selagi Ku Ada' nyanyian Khai Bahar dan Nabila Razali. Aku memang peminat lagu sendu-sendu mengayat jiwa seperti ini. Pelik tetapi benar. Ramai je orang luar sana berkongsi minat mendengar lagu galau biarpun kami tak dilamun cinta.

Alangkah bahagianya aku dapat menyanyi dengan suara yang paling kuat dek begitu tersentuh dengan lirik lagunya. Bagilah chance sikit, bukan selalu diberi peluang! Kalau Tengku Aydan ada di sebelah, mahu ditengkingnya aku hidup-hidup. Dia tidak gemar dengar lagu Melayu. Bukan-bukan katanya.

Perlahan-lahan kereta dipandu melalui sebuah terowong. Badanku seram sejuk kerana dikelilingi dinding konkrit yang panjang ke hujung tanpa sumber cahaya. Dengan suluhan lampu kereta, aku dapat melihat dengan lebih jelas jalan di hadapan.

Ke manakah perginya kenderaan warga penduduk yang sering menyesakkan bandar Kuala Lumpur? Ke manakah perginya bunyi hon yang saling bersahutan akibat tersekat di tengah perjalanan? Di waktu yang sepatutnya mereka balik kerja, tiada satu bayang pun kelihatan. Ganjil.

Mulut terkumat-kumat beristighfar. Berdoa agar makhluk menakutkan yang aku lihat di kaca tidak televisyen tidak memunculkan diri. Serious talk, aku mungkin akan menjerit macam orang tak betul nanti. Ya, aku mengaku yang aku seorang penakut.

Kalau Sudah Tertakdir | C (IN EDITING)Where stories live. Discover now