Merpatika mendengus kasar sebelum membalas bicara Jentayu. "Tiadalah kisah aku tentang Laksamana Khoja. Yang menjadi punca api amarahku menggelegak bagai mahu gila ini adalah disebabkan tindakan kau yang membahayakan nyawa Dahlia."

Jentayu berkerut. "Bukankah sudah aku jelaskan tindakan aku malah permohonan maaf juga telah aku-"

"Dahlia hanya pengganti!" Sergah Merpatika memintas kata Jentayu hingga terpana burung gergasi itu dibuatnya.

"Kau sendiri tahu dia hanya pengganti. Tidak perlu untuk kau memberikannya tugas dan amanah sebegini berat sedangkan perkara ini bukanlah tanggungjawabnya!"

Jentayu yang tidak bersetuju dengan pendapat itu cuba membuka mulut untuk bersuara...

"Nyawanya hampir melayang akibat menjalankan amanah yang bukan tanggungjawab dirinya sendiri!"

...namun sekali lagi Merpatika bersuara terlebih dahulu, memintas bicara Sang Jentayu.

"Tidak kiralah siapapun dirinya yang sebenarnya, dia tetap rakyat biasa! Masakan kau meletakkan tanggungjawab sebegini berat kepada seseorang yang tidak seharusnya memikul semua ini?"

"Ini bukan tugas Dahlia. Aku melatihnya dalam seni tarung bukan untuk dia membahayakan nyawanya sebegini rupa tetapi untuk dijadikan ilmu itu sebagai pertahanan buat dirinya!"

"Amanah ini milik Tengku sendiri!"

"Persoalannya sekarang ini, di manakah Tengku yang sepatutnya memikul tanggungjawabnya sendiri?! Ke mana baginda menghilang?! Melepaskan amanahnya begitu sahaja?!!"

Merpatika menarik nafas dalam seusai habis bicaranya. Jentayu sendiri terkedu tanpa sebarang kata mampu dilontar. Wajah Merpatika merah padam menahan amarahnya yang membuak.

Segera burung merpati itu menoleh ke belakang seraya beristighfar perlahan, menyedari kesilapan diri yang membiarkan jiwa dipandu amarah.

Jentayu masih berkerut tidak memahami segala luahan hati Merpatika yang dirasakan sungguh mengejutkan itu. Namun dia tahu tiada baiknya untuk dia bertikam lidah lagi saat ini kerana sungguh Merpatika memerlukan sedikit masa untuk bertenang terlebih dahulu.

Lama keadaan kekal sunyi tanpa sebarang kata terpacul keluar dari mulut masing-masing. Hanya bunyi deruan bayu perlahan bertiup menggoncangkan beberapa ranting kering di lantai gunung.

Seketika kemudian, Jentayu menarik nafas panjang sebelum mula bersuara.

"Aku sedar itu bukan tugas Dahlia namun aku yakin dia mampu melakukannya." Akhirnya Jentayu memecah keheningan suasana.

"Malah keadaan amatlah terdesak ketika itu. Tiada yang dapat membantu aku berurusan dengan Khoja secepat yang mungkin melainkan kau dan Dahlia sendiri."

"Tambahan pula, bagi menjayakan lagi penyamaran ini adalah lebih baik untuk dia sendiri mencipta pengalaman. Memang benar, aku faham maksud kau, Merpatika. Amanah ini memang bukan tugas Dahlia dan sekiranya dia meninggalkan tugas ini, tetap dia tidak bersalah walau sedikitpun."

Jentayu mendengus perlahan sebelum kembali menyusun katanya.

"Merpatika..."

"Aku tahu apa yang aku lakukan."

Merpatika kekal membisu menanti bicara selanjutnya.

"Dahlia baik-baik sahaja. Aku tahu banyak sungguh aku terhutang budi kepadanya, bermula daripada bagaimana dia menerima tawaran aku untuk menggantikan Tengku lagi, kemudian urusannya dengan Kerajaan Bunian yang melibatkan Ratu Che Tunggal Gemala dan kini dia membantuku dalam urusanku menyelamatkan Laksamana Khoja Hassan."

"Dia hanya rakyat biasa dan sungguh bukanlah tanggungjawabnya untuk melakukan semua ini, aku tahu itu semua."

"Akan tetapi..." Bicara Jentayu terhenti di situ. Dirinya sudah mati kata bagaimana mahu menjelaskan soal itu kepada Merpatika. Tiadalah disangkanya bahawa perkara sebegini akan menjadi topik pertikaman lidah mereka pada hari ini. Lebih-lebih lagi Sang Merpatika sendiri yang memulakan perbalahan di pagi hari yang indah ini.

Suasana kembali sunyi. Masing-masing mengunci mulut kekal membatu tanpa bicara.

"Merpatika, apakah kau merisaukan Dahlia?" Jentayu menyoal ringkas namun soalan ringkas itu cukup membuatkan Merpatika tersentak.

Benar. Kerisauannya terhadap gadis itu membuak-buak hingga membawa kepada pertikaman lidah antara dirinya dengan Sang Jentayu. Tambahan pula dia masih belum mampu memaafkan dirinya sendiri atas kegagalannya menjaga Dahlia kelmarin.

Jentayu mendengus perlahan. Biarpun Merpatika hanya membiarkan soalan itu berlalu pergi, dia tetap sudah mendapat jawapan yang dimahukan. Jelas sekali merpati gergasi itu masih berada dalam lautan penyesalannya yang tidak bertepi.

"Bahkan Dahlia sendiri tidak menyalahkan kau atas apa yang berlaku, maka mengapa kau masih tidak mampu memaafkan diri kau sendiri?" Bicara Jentayu lembut hingga mampu memadamkan api amarah di jiwa Merpatika. Kelihatan sedikit kilauan cahaya dari hujung mata Merpatika seolah matanya sedang berkaca-kaca menahan tangis.

"Tambahan pula, aku sarankan untuk kau tidak menggunakan bahasa kasar ketika Tengku berada dalam ayat dan bicara kau. Hormatlah dia biarpun kau tidak begitu menyukainya."

"Silapnya cuma sekali. Sebelum kesilapan besar yang telah baginda lakukan, baginda juga amat kasih pada rakyatnya sendiri. Tetap pernah walau sekali dia berbuat baik sepanjang hayatnya, maka janganlah kau memandangnya sebegitu hina. Sungguh manusia tidak lari dari berbuat silap." Jentayu menghabisi bicaranya dengan penuh lemah lembut kerana entah kenapa, Merpatika seperti sudah tidak tertahan lagi air matanya.

"Apakah kau menyebelahinya kerana baginda merupakan sahabat kau?" Merpatika menyoal dengan suaranya yang sedikit bergetar sedang menahan tekanan yang bergelodak di jiwa.

Jentayu menggeleng seraya berkata, "seandainya bicara Ku kelihatan seperti begitu, maaf aku pohon terlebih dahulu. Namun, aku mengenali Tengku lebih dari separuh hayat hidupnya hingga kini, Tengku bukan orang yang jahat. Baginda juga punyai hati yang baik cuma mungkin tersilap langkah tatkala aku terlepas pandang akan keadaan dirinya terutama ketika beliau berada pada tahap terendah dalam hidupnya."

Bicara Jentayu menumpahkan air mata Merpatika. Merpati gergasi itu sudah tidak lagi mampu menahan tangisnya. Namun tindakan Merpatika gagal difahami Jentayu.

"Maafkan aku seandainya pertanyaanku sedikit menganggu emosi kau. Akan tetapi, aku tidaklah memarahi kau, Hai Merpatika. Maka mengapa kau menangis sebegini rupa?..." Ujar Jentayu seraya bergerak beberapa tapak ke arah apam putih gergasi itu bagi mendakapnya perlahan dengan sebuah dakapan hangat bagi menenangkan jiwanya yang masih bergelora dengan tekanan itu.

Namun Merpatika tidak membalas pertanyaan tersebut. Dirinya sedaya upaya menahan tangis dan suaranya. Hanya Tuhan yang tahu atas asbab apa tangisannya gagal ditahan saat mendengar bicara Sang Jentayu itu.

Belakang tubuh Merpatika yang berlapikkan bulu gebu tebal berwarna putih bak pualam itu ditepuk Jentayu perlahan-lahan, cuba menenangkan. Mindanya ligat berputar cuba mentafsirkan firasat hatinya sendiri.

Sama ada Merpatika menangis akibat penyesalannya terhadap Dahlia yang masih sukar dimaafkan oleh dirinya sendiri atau ada sesuatu yang Merpatika sembunyikan dari pengetahuan Jentayu.

Sungguh Jentayu sendiri masih keliru tidak tahu mengapa tiba-tiba sungguh si apam putih ini menangis sedangkan bicaranya tidaklah bernada marah dan seolah mahu memarahinya.

Hanya ada satu perkara yang mampu merungkai segala misteri ketika itu. Jentayu mula mendapat tahu sedikit demi sedikit berdasarkan tindak-tanduk dan gerak-geri Merpatika selama ini. Namun kali ini, tindakan Merpatika yang menghamburkan tangis benar-benar mencengkam seluruh jiwanya menyatakan bahawa firasatnya hampir benar dan tepat.

"Merpatika..." Perlahan Jentayu melepaskan apam putih itu dari dakapannya.

Dengan lembut dia menyoal,

"Apakah yang dibicarakan firasatku tentang diri engkau ini benar?"

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now