Merpatika kemudiannya mengibarkan sayapnya luas ke angkasa sebelum dia terbang menuju ke puncak gunung berdekatan tidak jauh dari tempat asal mereka dengan niat Jentayu menurutinya dari belakang. Biarpun sayapnya merpati gergasi itu masih belum pulih, tetap tiada masalah bagi makhluk itu untuk menggunakan sayapnya dengan baik.

"Silakan." Jentayu memecah sunyi terlebih dahulu sebaik sahaja kakinya mencecah tanah, mendarat dengan baik.

"Surat yang dikirim buat Laksamana Khoja kelmarin..." Akibat tidak mahu membuang waktu, Merpatika tidak berkias, terus menyatakan tajuk utamanya yang ingin disampaikan kepada Jentayu.

"Atas alasan apa kau arahkan dia bergerak menuju ke sebelah barat Wantachitra malam itu juga?" Merpatika menghabisi bicaranya.

Jentayu kekal membisu masih memikirkan jawapan terbaik bagi persoalan yang dilontarkan. "Kerana aku sebenarnya menjangkakan hal yang berlaku malam tadi." Akhirnya dia bersuara, melontar kata.

"Apa? Perang yang meragut nyawa ramai pihak itu?" Merpatika membalas dengan nada sedikit tinggi. Jelas dia sedikit berang ketika itu.

Jentayu hanya membalas bicara Merpatika dengan sebuah anggukan ringkas.

Melihatkan itu, Merpatika menarik nafasnya sedalam yang mungkin sebelum kembali membuka mulut.

"Sang Jentayu, kau tahu apa yang bermain di kotak mindaku. Maka jelaskanlah segalanya. Tiadalah perlu untuk kau menanti aku menyoal kau satu persatu, menyuarakan segala kemusykilan aku meminta penjelasan." Ujar Merpatika lagi sebaik sahaja sebuah keluhan berat dilepaskan. Sungguh ada perkara yang membuatkan hatinya panas sebegitu.

Tambahan pula apabila Jentayu sendiri mengaku bahawasanya perkara sebegitu telah berada dalam jangkaannya, baraan api dalam dadanya semakin membara, menjilat seluruh jiwa tanpa tertinggal sebarang sisa. Hatinya dipandu amarah kerana sungguh dia tidak bersetuju dengan tindakan Jentayu yang tidak memberitahu jangkaannya dengan lebih awal hingga membahayakan nyawa Dahlia dan dirinya sendiri.

Namun Sang Jentayu kekal diam menelan lidahnya tanpa sebarang kata terpacul keluar.

"Maaf aku utarakan terlebih dahulu sekiranya tindakan aku membahayakan nyawa kalian berdua. Sungguh sebaik sahaja aku memastikan Khoja Hassan sudah berada pada jarak lebih dua pertiga jauhnya daripada pantai timur, telah aku bergegas sepantas yang mungkin bagi mendapatkan kalian berdua."

"Namun tiada kesampaian hatiku untuk hanya menyelematkan kalian berdua, maka seluruh armada laut Wantachitra itu aku selamatkan sehabis baik yang aku mampu." Jelas Sang Jentayu cuba memadamkan api marak di jiwa Merpatika.

"Laksamana Khoja diarah untuk ke sana adalah kerana kau tahu sesuatu bukan?" Merpatika membalas bicara Jentayu dengan sebuah soalan yang membuatkan makhluk gergasi itu tersentak seketika. Namun tidaklah Jentayu begitu terkejut, lantaran dia tahu bahawasanya tidak sukar untuk Merpatika memahami segala gerak-geri dan tindakannya.

Sebuah anggukan ringkas dilempar. "Ya."

"Tujuan utama peperangan itu adalah disebabkan oleh Laksamana Khoja Hassan sendiri." Serentak kedua Merpatika dan Jentayu bersuara, melontar bicara masing-masing. Kedua mereka saling berpandangan.

Bijak tidak terkata Sang Merpatika mampu meneka dengan begitu mudahnya. Jentayu hanya terpana ringkas kerana biarpun dia telah mengetahui tentang kebijaksanaan Merpatika, tetap apam putih itu sentiasa memberi kejutan buat dirinya dari masa ke semasa.

Sekali lagi Jentayu mengangguk. "Benar."

"Yang ingin mereka hancur dan musnahkan ialah Khoja, yang lain hanyalah untuk menarik perhatian sebelum mencapai tujuan sebenar." Sambung Jentayu lagi.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now