"Awi.." mata Arjuna melilau mencari kelibat Awi di balik susunan beberapa insan yang sudah bertemu Pencipta mereka itu.

'Wahai Allah, Ku mohon usahlah kau uji aku dengan sesuatu yang di luar kemampuan ku...' Perlahan senandika Arjuna berdoa sambil satu persatu lembaran kain putih yang menutupi mayat itu dibukanya sedikit dengan penuh cermat dan beradab cuba mengenalpasti susuk tubuh Awi.

Dadanya bagai sudah mula sesak tidak sanggup memikirkan yang bukan-bukan. Namun bibirnya tiada henti melontar istighfar memujuk jiwa sendiri agar bersedia menerima sebarang ujian.

"Eh saudari?" Bahu Arjuna disapa lembut oleh seorang pemuda yang bertugas menguruskan jenazah tentera yang sudah terkorban. Arjuna menoleh. Gusar terpancar di seluruh wajahnya melukis segala perasaannya.

"Siapa yang sedang saudari cari ini?" Soal pemuda itu lagi. Bentaru yang menyedari keadaan itu segera bergerak ke mari bagi mendapatkan Arjuna. Dirinya seolah tahu siapa yang sedang Arjuna cari.

"Apakah kau tahu jikalau-" bicara Arjuna kepada pemuda itu tidak sempat dihabiskan tatkala Bentaru sudah tiba ke mari. Segera Arjuna bergerak menghampiri Bentaru pula sambil memegang kedua bahunya seraya berkata, "Bentaru, apakah kau ingat akan-"

"Sahabat kau?" Bentaru memintas bicaranya Arjuna sambil dirinya turut sama memegang bahu Arjuna menenangkan pemuda itu. Arjuna bagai terpana seketika. Segera dia mengangguk laju tanpa sebarang bunyi.

"Bertenang Arjuna. Usah risau, sahabat kau selamat." Bentaru berbicara ringkas namun padat. Kedengaran keluhan nafas berat dilepaskan Arjuna. Sungguh hatinya terpaut lega apabila mendapat tahu Awi tidak berada dalam kalangan insan yang telah menjadi arwah itu.

"Di manakah dia?" Soal Arjuna lagi. Nadanya sudah berubah menjadi sedikit tenang selepas mendengar khabar gembira itu.

Bentaru kemudiannya mendepakan tangannya menuding ke arah tempat Arjuna berbaring tadi. "Aku tempatkan dia betul-betul di sebelah engkau." Ujar Bentaru sambil kedua mata Arjuna melekat ke arah yang ditujukan.

Kelihatan bahu Arjuna sedikit merendah tanda dirinya benar-benar sudah lega. Ternyata insan di sebelah kirinya yang sukar dilihatnya tadi akibat pandangannya yang masih samar itu adalah Awi sendiri. Cuma dia yang gagal menyedari hakikat itu.

'Alhamdulillah...' Suara batin Arjuna berbicara perlahan mensyukuri nikmat sahabat yang dikurnia Tuhan.

"Aku masih gagal menghadam keadaan sepenuhnya. Apakah boleh kau lontarkan segala kisah kepadaku?" Soal Arjuna sambil matanya masih tidak lagi berganjak dari memandang Awi dan seluruh kawasan beranda masjid yang mempunyai puluhan tentera.

Terdapat beberapa yang baik keadaanya namun masih belum menyedarkan diri seperti Awi dan terdapat juga yang sudah pun menyedarkan diri namun masih perlu dirawat. Kesibukan masjid ketika itu ditatap Arjuna. Ramai tabib dan segala tukang ubat datang bagi menghulurkan tangan meringankan beban.

Tentera dan pemuda lain yang tiada sebarang kecederaan malah baik sahaja keadaannya pula sibuk membantu menguruskan kapal-kapal yang sudah musnah keseluruhannya. Malah kelibat Jebat turut sama kelihatan sibuk berlari ke sana sini menguruskan pelbagai hal. Bukan itu sahaja, Jebat juga memastikan dan menghitung sendiri jumlah tenteranya sama ada yang hilang, terkorban mahupun tercedera.

Semuanya berada bawah tanggungjawabnya. Biarpun dia turut sama lemas tenggelam ditelan laut malam itu namun saat dia kembali terjaga segera dia bangkit melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Beberapa buah perahu dan kapal juga sedang mundar-mandir di sekitar pesisir pantai bagi mencari tubuh sebarang mayat yang masih tidak dijumpai. Perahu mengambil alih kawasan pesisiran manakala kapal sederhana besar mengambil alih kawasan laut yang sedikit dalam. Biarpun mayat yang ditemui adalah mayat musuh, tetap diarah Jebat untuk dibawa keluar mayat itu bagi diuruskan dan mendapatkan sebarang petunjuk mengenai serangan mengejut ini.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now