Bab 1

27.5K 1.2K 94
                                    

IZARA masuk ke dalam kamar peraduan Dato' Haqq, papanya. Kelihatan yang Dato' Haqq sedang berbaring di atas katil sambil memandang ke arah luar. "Pa." Dia berjalan ke arahnya. Sudah seminggu lebih Dato' Haqq duduk di rumah dan tidak ke pejabat. Sejak kemalangan jalan raya yang berlaku.

Doktor kata hentakan di kepala Dato' Haqq kuat, tapi nasib saja tidak menjejaskan organ dalaman. Pendarahan juga tiada. Izara amat bersyukur yang papanya baik-baik saja. Walaupun kereta habis remuk, tapi nyawa Dato' Haqq lebih dari segalanya. Lagipun, dia hanya ada Dato' Haqq seorang saja di dunia. Dia sudah tidak punya siapa-siapa.

"Medina nak pergi kerja dah." Dia hulurkan tangan kanan untuk bersalaman. Seusai bersalam dengan Dato' Haqq, Izara terus berpaling badan ingin pergi. Namun langkahnya terhenti saat Dato' Haqq memanggil namanya.

"Medina."

Izara berpusing semula. "Harini balik awal, boleh? Papa ada ajak orang datang, orang yang tolong selamatkan papa haritu. Saja ajak dia makan, balas budi dia."

"Tak apa lah. Medina banyak kerja, lain kali je." Buat apa dia sertai sekali? Bukan kenal pun. Nak balas ucap terima kasih? Rasanya Dato' Haqq dan Puan Maria terlebih dahulu sudah berbuat demikian.

"Med-"

"Asalamualaikum." Potong Izara laju. Terus saja Izara melangkah keluar dari bilik tidur ayahnya. Bukannya dia mahu sombong dan tidak mahu berjumpa dengan pemuda yang membawa ayahnya ke hospital tempoh hari, cumanya dia betul-betul tidak berminat. Nak cakap apa? Nak borak apa? Hanya dengan memikirkan hal itu, dia sudah terasa kekok dan janggal.

Lagi-lagi perlu berhadapan dengan Puan Maria dan Haziqa sekali untuk makan malam. Lagi bertambah tidak suka dia dibuatnya.

"Dah nak pergi ke?" Sebaik saja dia menuruni anak tangga ke tingkat bawah, suara seseorang dari arah ruangan televisyen kedengaran. Namun dia hanya buat tidak endah, malas hendak jawab.

"Oi, pekak ke?" Suara perempuan itu lebih jelas kedengaran bila setiap langkahnya diikut. Izara mendengus perlahan. Dah nampak kan yang dia sudah bersiap, mestilah sudah mahu pergi.

"Kalau mata kau masih elok, rasanya dah boleh agak kut yang aku memang nak keluar."

"Kau balik ke? Papa kata papa ajak-"

"Tak berminat." Potongnya laju. Rak kasut dibuka dan Izara mengambil kasut tumit tinggi bewarna putih miliknya.

Haziqa memutarkan bebola mata ke atas. Tak perlulah nak kata tak suka sangat, entah-entah nanti dia yang terlebih gedik. "Kau ni acah aje lah. Silap-silap nanti, kau yang menggeletis suka bila jumpa dia."

Kata-kata Haziqa itu bagaikan angin yang lalu. Izara bergerak ke luar rumah. Tas tangannya diletakkan di tepi dan dia memakai kasut. Dan ya masih sama, Haziqa mengikut langkahnya.

"Tapi... bagus juga kau tak ada. Boleh aku usha seorang."

"Entah-entah dia nak hadap muka kau pun tak lalu," ujar Izara sinis. Dia ambil semula tas tangannya selepas siap memakai kasut. Bertentang mata dengan Haziqa.

Panas hati Haziqa mendengar kata Izara. Cakap tu, main sedap mulut dia je! "Mulut kau elok sikit eh! Aku bagitahu-"

"Bagitahulah. Ada nampak aku kisah?" Izara menjongket kening sebelum dia berjalan ke arah keretanya. Cepat-cepat dia memboloskan diri dalam perut kereta sebelum mendengar sesuatu yang kurang enak di pagi hari.

"Mommy!"

Ya, jeritan nyaring Haziqa yang buatkan telinganya bingit. Nasib sempat dia masuk dalam kereta terlebih dahulu.




DEDAUN pintu dikuak. Kunci kereta diletakkan di atas meja. Baru saja kaki ingin melangkah ke arah tangga, panggilan seseorang buatkan dia menoleh ke punca suara. "Qash..."

See You In A Bit [ TERBIT ]Where stories live. Discover now