Meremang adrenalin kesemua yang menyaksikan perkara luar biasa malam itu. Siapa sangka dengan izin Allah, Sang Jentayu dan Merpatika kini dapat disaksikan mata kasar dalam jangka masa sementara.

Dahlia tersenyum lega. "Itu sahabatku, Jentayu dan Merpatika." Ujar Dahlia perlahan separa berbisik ke arah Arjuna di sisinya. Mereka berada dalam keadaan separa bersiaga memandangkan musuh sendiri seolah tidak mahu menyambung pertarungan, leka menyaksikan sesuatu yang luar biasa pada malam itu.

Arjuna menoleh. Matanya membulat memandang Dahlia. "Biar benar?" Selama ini Dahlia menghilang tanpa sebarang jejak adalah kerana dia bersama dua makhluk gergasi ini?

Dahlia mengangguk sambil tersenyum kelat. Lega terpaut di hatinya dapat meluahkan soal itu kepada Arjuna yang mati seribu kata terdiam tanpa bicara kekal memandang langit merenung dua makhluk gergasi itu.

"Allahu Akbar..." Koyak bibir Arjuna dengan lafaz kalimah memuji Ilahi itu. Biarpun kapal sendiri hampir musnah dan karam dihentam musuh, langsung tiada gentar menapak di jiwa akibat ditelan perasaan kagum terhadap Sang Pencipta yang Maha Berkuasa.

Pertarungan antara dua pihak itu kini bagai terhenti seketika menanti gerak geri seterusnya dari Jentayu dan Merpatika. Kedua burung gergasi itu berbicara sesama sendiri sebelum akhirnya mengangguk seolah menemui kata putus.

Dua buah kapal yang baru sahaja tiba dan mara ke pesisiran pantai timur Wantachitra itu menjadi tumpuan buat Jentayu manakala kapal utama musuh yang berada betul-betul berhampiran kapal utama Wantachitra diambil alih oleh Merpatika.

Semuanya masih diam terkaku. Baik armada lautnya Wantachitra mahupun tentera laut musuh. Sebaik sahaja kedua makhluk gergasi itu tiba ke posisi masing-masing, segera Sang Merpatika membuat lompatan tinggi dari atas langit menjunam ke dalam laut dengan niat ingin menumbangkan kapal musuh yang akan tidak stabil akibat hentaman kuat laut bakal menghantar ombak kuat kepada kapal musuh dan memusnahkannya.

Sang Jentayu pula menarik nafas sedalamnya sebelum dia mula menghembus nafas sekuat hati memuntahkan curahan air melimpah tanpa henti ke arah kapal kapal musuh seraya mengaramkan kesemua armada laut musuh yang baru sahaja menghampiri.

"ALLAHU AKBAR!!!" Laungan takbir oleh seluruh armada laut Wantachitra bergema kuat di seluruh bumantara alam saat kesemua yang bernyawa disitu menyaksikan kemusnahan kapal musuh selepas kehadiran kedua makhluk gergasi itu memihak kepada Wantachitra.

Tentera musuh terpaku terpana terkedu terkaku tanpa mulut mampu mengutarakan sebarang kata. Perasaan bercampur-baur, bergelodak segala jiwa dan raga saat diri ini seolah dapat mengagak apa yang akan terjadi kepada nasib diri memandangkan sebahagian besar daripada pihak mereka sudahpun tewas sebelum kaki mula menapak dia anak-anak tangga kejayaan.

Ada di antara mereka yang bagai sudah pasrah tidak mahu bertarung lagi kerana diri ini sudahpun berputus asa. Tentera Wantachitra tidak menunggu lama, segera dihabiskan nyawa musuh yang masih kekal bersiaga. Arjuna juga turut sama tidak menunggu, beberapa lagi baki musuh yang berada di hadapannya dan Dahlia segera disirat leher masing-masing.

Darah terpercik serata kapal yang perlahan-lahan runtuh menghempap tingkat bawah kapal.

"Ayuh, kita harus segera keluar dari sini!" Arjuna bersuara lantang mengajak Dahlia mengikutnya. Biarpun musuh sudah lagi tiada di situ, keadaan kapal yang hampir musnah dan karam itu juga boleh mengancam nyawa.

Namun buntu Arjuna dibuatnya memandangkan tangga kapal sudah pun runtuh. Hanya bahagian belakang tingkat atas kapal sahaja yang masih berada di situ kerana yang lainnya sudahpun runtuh. Sekiranya mereka mahu terjun terus ke tanah dari atas kapal itu, mahu melayang nyawa dibuatnya.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now