Dua buah kapal musuh kini tumbang di tangan Wantachitra namun sebuah lagi kapal besar masih kekal utuh menapak di lantai laut mendekati kapal besar milik Wantachitra yang terdapat Arjuna dan Dahlia di dalamnya. Ternyata dua buah kapal kecil musuh digunakan memang hanya untuk menarik perhatian bahtera pihak lawan supaya kapal besar mereka berjaya mendekati kapal milik Wantachitra itu.

Merpatika memberi sepenuh tumpuan terhadap tingkat paling atas kapal Wantachitra yang tidak berbumbung. Pancainderanya mengesan sesuatu dari situ. Sedari tadi dia tidak memandang ke situ hanyalah kerana sebahagian besar bahagian atas itu telahpun dijilat api. Dirinya tidak mahu memikirkan sebarang andaian yang bukan-bukan.

Namun akhirnya matanya berjaya menangkap kelibat dua insan yang masih terperangkap di bahagian atas itu.

"Dahlia?"

Seorang terkulai layu di lantai kapal, seorang lagi hampir putus nyawa menyelamatkan yang pitam itu. Merpatika segera terbang maju ke arah kawasan tersebut sambil cuma mendapatkan kepastian bahawasanya itu adalah Dahlia. Gugur jantungnya retak dunia Merpatika saat matanya melihat sekujur tubuh yang terbaring itu miliknya Dahlia.

Namun dirinya buntu mahu menyelematkan Dahlia dengan cara apa. Seluruh bahagian sekeliling Dahlia hampir dijilat api keseluruhannya. Tersentuh hati Merpatika melihatkan bagaimana seorang pemuda yang bersamanya ketika itu sedang memadamkan api dari sekeliling gadis itu memandangkan dia tidak mahu menyentuh jasad suci itu.

Sedang Merpatika dalam buah fikirannya, kapal musuh kini telahpun menghampiri kapal milik Wantachitra. Laungan orang-orang kapal dari tingkat bawah bersuara ganas menandakan masing-masing tahu bahawa musuh mahu bertarung tenaga pedang dengan pedang.

Tali-tali besar dan kuat dibaling musuh ke kapal Wantachitra dalam cubaan musuh melompat ke arah kapal pihak lawan namun kebanyakan tali berjaya dicantas tenteranya Wantachitra sebelum sempat musuh berpijak di lantai kapal.

Merpatika yang bagai hilang akal saat melihat Dahlia dalam keadaan parah akhirnya berjaya mendapat ilham dikurnia Ilahi. Memandangkan saiz tubuhnya yang besar, Merpatika bertindak pergi ke sebelah kapal musuh lalu membenamkan dirinya sekuat hati ke dalam laut benar-benar bersebelahan dengan kapal musuh.

Merpatika cuba menjatuhkan pihak lawan dengan menghilangkan kestabilan kapal akibat hentakan kuatnya ke dalam laut yang mewujudkan ombak besar dan membuatkan kapal musuh menyendeng ke sebelah malah hampir kesemua bahagian kapal seolah disiram air terjun percuma.

Berjemaah tentera musuh jatuh ke dalam laut akibat gagal melompat ke kapal Wantachitra. Pasukan tentera laut Wantachitra terpana seketika. Masing-masing terkesima dengan keadaan air bergelora kuat secara tiba-tiba seolah-olah lautan sedang memihak dengan mereka.

"ALLAHUAKBAR!!" Serentak dengan itu bergema seluruh ruang angkasa dengan suara laungan ganas tentera Wantachitra memuji Allah atas pertolongan-NYA. Sungguh siapa sangka malam itu mereka akan dikejutkan bukan hanya dengan serangan musuh malah berserta penyaksian dengan bukti jelas tentang tibanya pertolongan Ilahi?

Hentakan kuat Sang Merpatika mengoyak sayapnya hingga lebih besar memuntahkan lebih banyak darah ke seluruh kawasan laut biru pekat itu. Merpati gergasi itu keluar dari laut dalam keadaan tercungap. Bulu lebatnya basah malah menambah muatan kepada dirinya sendiri menyukarkannya untuk terbang dengan baik.

Kesakitan di bahagian sayapnya pedih terasa apabila lukanya sudah bertukar kepada cedera besar. Merah mata Sang Merpatika akibat dimasuki air. Terkapai-kapai burung gergasi itu cuba menstabilkan kedudukannya di dada langit kembali.

Penerbangannya semakin rendah, tenaganya semakin kurang. Merpatika sudah mula lelah.

Namun hentakan kuatnya tadi masih belum mampu membenamkan kapal musuh sepenuhnya ke dasar laut. Masih ada lagi sebilangan besar tentera musuh yang sudah berjaya mendarat dengan jayanya di kapal Wantachitra. Malah terdapat juga yang mendarat di bahagian paling atas kapal yang tidak berbumbung biarpun sebahagian besar kawasan itu sudah dijilat api.

Dusta Puteri PalsuDonde viven las historias. Descúbrelo ahora