Bibir Arjuna sekali lagi terkumat-kamit seolah sedang melantunkan bicara. Berdasarkan gerak-geri bibirnya, jelas Arjuna sedang memanggil Dahlia berkali-kali namun suaranya masih tidak dapat didengari Dahlia.

Dada Dahlia masih sakit hingga dirinya bagaikan sudah redha dengan segala ketetapan Ilahi. Oksigen tidak mengalir ke seluruh tubuh menyebabkan dirinya menjadi lemah longlai sebegitu rupa. Dadanya sakit tidak terungkap dek kata hingga pernafasannya kini hanya mampu berjalan dengan begitu perlahan.

Sungguh Dahlia bagaikan sudah mahu bertemu Sang Penciptanya. Sehabis baik Arjuna cuba menggoncangkan tubuh Dahlia cuba mengembalikannya ke alam nyata. Merah matanya menahan berdarahnya jiwa melihat keadaan Dahlia sebegitu rupa. Namun goncangannya tidak berhasil.

Mata Dahlia semakin kuyu. Wajahnya pucat dan sembap dengan air mata. Mulutnya terbuka sedikit cuba memberi ruang pernafasan berjalan buat saat-saat terakhir ini. Bibirnya kering penuh luka menghiasi seluruh wajah.

Hatinya masih tidak henti melafaz حسبنا الله ونعم الوكيل menanti pertolongan-NYA tiba menyelamatkan keadaan. Dahlia hanya dapat menyaksikan bagaimana api marak mula menjilat sebahagian besar kapal namun dia dan Arjuna masih terkandas di situ. Dahlia juga menyaksikan wajah gusar Arjuna yang sedaya upaya menjerit memanggil namanya sambil mata merahnya gugur dengan air mata.

"Pe...rgi.." Perlahan seolah berbisik Dahlia bersuara mengarahkan Arjuna pergi dari tempat yang tiada harapan lagi untuk selamat itu. Belakang lehernya disokong tangan Arjuna mengelakkan kepalanya terjatuh ke belakang.

Sungguh hatinya tersentuh melihat bagaimana Arjuna kekal bersamanya biarpun keadaan mengancam nyawanya sendiri. Pemuda itu melilau memandang sekeliling mencari jalan keluar terbaik untuk membawa Dahlia bersamanya. Sungguh tiada terfikirpun untuk dia meninggalkan gadis itu bersendirian di situ.

Arjuna membaringkan Dahlia di lantai yang masih selamat tidak dijilat api. Sampinnya dicabut dan Dahlia diselimutkan seketika sementara dia cuba mengalihkan timbunan kayu yang menutup jalan menuju ke tingkat bawah. Gigihnya Arjuna melakukan apa sahaja bagi menyelamatkan Dahlia biarpun gadis itu sudah nyawa-nyawa ikan sahaja.

Luka di seluruh tubuh langsung tidak terasa apabila diri leka menguruskan hal lain. Ribuan doa dan hajat Arjuna pohon agar Allah menyelamatkan Dahlia dan mempermudah segala urusan mereka untuk keluar dari kapal itu.

Dahlia hanya memandang sayu. Hatinya luruh melihat Arjuna bersusah payah demi dirinya. Sekiranya dia tiada dia situ, sudah tentu pemuda itu dapat melepaskan diri dengan melompat terjun ke tingkat bawah bersama Jebat dan yang lainnya. Air matanya mengalir jatuh ke lantai kapal. Dirinya terkulai layu tidak mampu melakukan apa-apa.

Sungguh dadanya sakit yang teramat entah apa asbabnya, tiadalah dia tahu namun sedaya upaya dia memaksa diri untuk bangkit dan tidak menyusahkan Arjuna lagi. Tahap kebenciannya terhadap diri sendiri memuncak sepenuhnya. Sungguh dia bengang yang teramat melihat bagaimana tidak bergunanya kehadirannya di situ pada malam itu.

Perlukah dia sakit pada waktu-waktu genting sebegini? Perlukah dia menjadi asbab nyawa Arjuna turut melayang sama. Begitulah kedua insan yang sibuk memikir dan merisaukan keadaan orang lain berbanding diri mereka sendiri. Masing-masing lebih mementingkan antara satu sama lain sedangkan keadaan diri sendiri sama parah memerlukan bantuan.

Pandangan samar-samar Dahlia yang memandang Arjuna yang berusaha keras meredah api demi membuka jalan untuk turun ke bawah lalu keluar dari situ semakin lama semakin kelam.

"La.."

"ila... ha..."

"illa.. Allah..."

Perlahan-lahan mata kuyu Dahlia terkatup rapat terkulai layu di lantai kapal yang hampir musnah itu.
_______________________•••____________________

"DAHLIA!!" Laung Sang Merpatika sekuat hatinya di dada langit. Kekhusyukannya terganggu tatkala bom besar menghentam kapal hingga menyebabkan berlaku kemusnahan yang besar. Segera Merpatika mengelak dengan mengibar sayapnya luas sebelum terbang ke dada jumantara alam.

Sekuat hatinya Merpatika melaung menyeru nama Dahlia sambil kelibat gadis itu dicarinya dari dalam kapal yang sebahagian besarnya sudahpun dijilat api marak.

Kesal.

Kecewa.

Geram.

Bengang.

Segala perasaan bercampur-baur, kesal dengan kesilapan dan kelalaian sendiri. Sungguh tiadalah dalam sangkaanya bahawa ini semua akan berlaku. Tumpuannya tadi hanya tertumpu ke arah Laksamana Khoja sedari tadi dan sangkanya Dahlia akan baik-baik sahaja di atas kapal itu berbanding berada di dalam hutan tebal yang sunyi itu.

Sayapnya dikibar luas menongkah dada langit penuh garang sambil mengelak dentuman dan hentaman bom dari kedua-dua belah pihak. Sungguh kucar-kacirnya keadaan ketika itu hanya Tuhan yang tahu.

"DAHLIAAA!!" Jantung Merpatika bagaikan mahu luruh melihat betapa maraknya api merah menyala menjilat seluruh kapal namun kelibat Dahlia masih tidak kelihatan malah kesetiaan tentera-tentera laut Wantachitra yang tiada seorang pun berpatah balik malah semuanya berjuang habis-habisan dengan jayanya memilukan hati Sang Merpatika.

Sungguh betapa hebatnya pasukan pertahanan laut Wantachitra bawah pimpinan Laksamana Khoja dan Jebat terserlah apabila sebuah kapal besar musuh tumbang sebelum mampu mara tiba ke sini. Malah kapal utama musuh juga sudahpun separuh musnah apabila bentuk formasi serangan yang direka Jebat pada saat-saat genting sebegitu tetap membuahkan hasil.

Tambahan lagi, senjata perang Wantachitra sungguh tiada tandingannya. Sekali satu meriam dilepaskan, dentuman kuat memusnahkan kapal dalam skala yang besar meragut nyawa ramai tentera laut musuh.

Merpatika kekal melilau sekeliling sambil kehadirannya di situ tidaklah disedari oleh sesiapa pun kerana masing-masing tidak dapat melihatnya dengan mata kasar mereka. Malah kesemuanya sibuk memainkan peranan masing-masing dalam mempertahankan kapal.

Namun hairan, kapal musuh hanya datang bertiga malah tidaklah besar kapal perang yang dipandu mereka. Sepertinya mereka tiada niat untuk menawan seluruh Wantachitra kerana sungguh sesiapa yang keluar berperang dengan hanya sebegitu rupa kelengkapan dan persediaan perangnya, maka mereka bukankah keluar berjuang tetapi sibuk menggali lubang kubur buat diri sendiri.

Dalam erti kata lain, sepertinya musuh punyai tujuan tersirat lain dalam peperangan mereka kali ini. Bagai udang di sebalik batu, ada muslihat lain yang sedang musuh sembunyikan dari pengetahuan umum.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now