'Apakah... Dia menyelamatkan aku?' Senandika Dahlia berbicara bermonolog sendiri apabila melihat bagaimana parahnya keadaan Arjuna berbanding dirinya sendiri. Langsung tiada di kotak fikirannya apa yang berlaku sebentar tadi namun kekal dalam ingatannya bahawa imej terakhir yang disaksikannya sebelum dirinya pengsan tidak menyedarkan diri adalah kelibat Arjuna yang cuba melindungi dirinya.

Dahlia bagai hilang suara. Hentaman bom yang melampau bagai telah menghentikan jantung dan mindanya. Sungguh lidahnya kelu tidak mampu mengutarakan kata namun linangan air mata di pipi seolah meluahkan bicara hatinya.

Dia takut. Teramatlah gelisah hingga menggigil seluruh tubuh dibuatnya. Kehadiran Arjuna di hadapannya benar-benar membuatkan linangan air matanya semakin deras. Asap api yang marak dari sisinya membuatkan dirinya terbatuk-batuk tidak dapat menghidu asap hitam pekat itu.

Sekali lagi bibir Arjuna seolah melontarkan kata namun sebarang bunyi pun tidak mampu dihadam Dahlia. Hanya air mata mampu meluahkan perasaannya tika ini. Kepalanya diketuk berkali-kali cuba memadamkan bunyi yang memekakkan telinga ini namun gagal. Entah apa bicara Arjuna ketika itu langsung tidak difahaminya.

Arjuna pula seolah memahami ketakutan Dahlia, segera dirinya bangkit mengajak Dahlia mengikutnya lari dari situ.

"Kau tidak boleh berada di sini. Lebih-lebih lagi dalam keadaan begini. Usah risau, akan aku bawa kau keluar dari kapal ini. Tiada siapa yang akan melihat kehadiran Tuanku Puteri Seri Dahlia di sini pada malam ini." Ujar Arjuna namun Dahlia kekal terpinga-pinga. Sayu hati pemuda itu melihat luka di wajah Dahlia.

Tambahan pula, Dahlia bagai diserang trauma yang teruk hingga langsung tiada respons yang diberikan gadis itu. Arjuna tiada cara lain. Mungkin dia harus berbicara menggunakan isyarat sahaja memandangkan Dahlia seolah tidak dapat menghadam sebarang kata yang keluar dari mulutnya.

Segera Arjuna bangkit sambil menghulurkan tangan seolah ingin mengajak Dahlia mengikut langkahnya. Dahlia tidak memahaminya namun dirinya takut kehilangan Arjuna, maka segera dia bangkit bersama apabila melihatkan Arjuna seolah-olah mahu pergi dari situ. Dahlia tidak mahu ditinggalkan.

Arjuna kekal dengan senyuman cuba menenangkan Dahlia sehabis baik. Sedikitpun tidak disentuh gadis itu melainkan situasi benar-benar mendesaknya bertindak sedemikian. Memang hatinya risau hingga bagaikan hampir tercabut seluruh isi jantung ini dibuatnya namun dia yakin pada Allah.

Doanya sedari tadi dipanjatkan khas buat Dahlia. Sedikitpun tidak dia berdoa tentang dirinya sendiri, leka merisaukan orang lain berbanding dirinya sendiri. Langkahnya pantas namun Dahlia dipastikan tidak ketinggalan di belakang. Tangan kirinya menjaga gadis itu dari tumbang kerana Dahlia benar-benar hampir terumbang-ambing jalannya.

Dada Dahlia sakit. Wajahnya pucat lesi. Seperti serangan jantung yang menyerangnya sebelum ini, kali ini lebih parah berbanding sebelumnya. Dahlia memegang dadanya kuat akibat tidak mampu bernafas. Wajah pucat lesinya bertambah teruk apabila mata dan hidung merah akibat menangis tanpa henti.

Langkahnya terhenti. Arjuna turut sama menoleh. Segala gerak-geri Dahlia dihadam Arjuna sehabis baik memandangkan gadis itu langsung tidak berbicara. Pandangan Dahlia pusing hingga menyebabkannya jatuh terjelopok le lantai kapal namun berjaya disambut Arjuna.

Jutaan istighfar tidak henti Arjuna lafaz akibat terasa berdosa sungguh diri ini tatkala pergelangan tangannya menyentuh hud tebal Dahlia. Tiadalah berani Arjuna menyentuh gadis itu menggunakan telapak tangannya sendiri. Hanya lengannya yang digunakan bagi menahan Dahlia dari tersembam kuat ke lantai kapal.

Gadis itu langsung tidak menyedari apa-apa. Mata Dahlia kuyu tiada tenaga lagi bagi mempertahankan diri sendiri. Dirinya bagaikan sudah nyawa-nyawa ikan. Entah ke mana fikirannya melayang hingga dirinya tidak dapat duduk dengan baik. Longlai seluruh tubuhnya hingga terpaksa ditahan Arjuna dari gadis itu hilang pendiriannya.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now