"Baiklah Bentaru, Mat. Semoga doa tadi berbalik kepada kalian juga. Jikalau tidak keberatan, hamba mohon izin undur diri terlebih dahulu ya." Ujar Arjuna sambil menundukkan sedikit tubuhnya seraya mengangkat kaki berlalu pergi penuh beradab diikuti Awi dari belakang.

Mereka berjalan di sepanjang laluan indah dihiasi lampu minyak tanah dan beberapa unggun api indah menerangi seluruh kawasan. Anak tangga kapal dipijak lalu dengan penuh berhati-hati mereka naik ke atas kapal selepas mendapat kebenaran dari orang kapal yang mengawal keluar masuk orang lain.

Kebingitan keadaan menghiasi suasana. Ramai orang-orang kapal yang sedang menyediakan kelengkapan perang mereka. Sungguh kapal besar itu bukanlah untuk penduduk biasa yang ingin merantau malah tujuan utama kapal itu dibina hanyalah untuk dijadikan sebagai pertahanan kuat bahagian laut.

Masing-masing mengasah pedang, keris dan memastikan busur panah serta peralatan perang yang lainnya berada dalam keadaan baik sebagai persediaan awal menghadapi sebarang ancaman. Terdapat juga orang-orang kapal lain yang memastikan kesemua lela dan rentaka berada di tempat yang sepatutnya serta memastikan pekerja-pekerja kapal yang bertugas untuk mengayuh berada dalam keadaan bertenaga dan bersemangat.

Kagum Arjuna dan Awi melihatnya kerana selama ini mereka hanya menyaksikan persediaan dari sebelah darat bukan di atas permaidani lautan yang terbentang luas. Sungguh kemas dan teratur tatacara kerja kerajaan jiran ini.

"Assalamualaikum." Arjuna menyampaikan salam terlebih dahulu kepada seorang pekerja yang sedang bertugas mengawal pergerakan orang yang berada bawah jagaannya.

Pemuda itu menoleh. "Waalaikumussalam." Kedua keningnya diangkat tatkala dia memandang Arjuna dan Awi penuh kehairanan. Siapakah gerangan kedua insan ini? Apakah tujuan mereka datang kemari? Melihatkan keberadaan mereka di dalam kapal ini bermakna mereka telah dibenarkan masuk ke dalam dan bukan semua orang memperoleh kebenaran sebegitu.

"Siapakah gerangan kedua saudara ini? Apakah ada sesuatu yang boleh hamba bantu?" Tutur bicara dan nadanya penuh beradab sambil kedua orang kapalnya diarahkan untuk meninggalkan mereka sebentar.

"Aku Arjuna, Temenggung Tarawangsa bertandang ke mari bersama sahabatku, Awi." Arjuna memperkenalkan dirinya sambil tangannya menuding ke arah Awi di sisinya.

"Ohh, Temenggung Tarawangsa. Aku Kassim, orang kapal di sini. Apa hajat orang terhormat seperti kalian berdua datang ke mari?" Balas Kassim pula seraya menghulur tangan memberi salam kepada Arjuna dan Awi.

"Jikalau tidak keberatan, amatlah berbesar hati untuk ku mohon izinkan aku bertemu dengan yang namanya Laksamana Khoja Hassan." Ujar Arjuna lagi sambil mengeluarkan sepucuk lipatan kertas lalu dibentangkan keratan sederhana kecil itu kepada Kassim dihadapannya.

Tertera kebenaran merentas sempadan kerajaan di atas kertas itu sambil surat itu disahkan dengan cap jari badan yang bertanggungjawab menguruskan hal ini serta cap jarinya laksamana Tarawangsa yang mengarahkan untuk Arjuna datang ke sini.

Kassim memerhati penuh teliti surat itu. "Baiklah, tunggu di sini sebentar. Akan aku panggilkan seseorang yang boleh bawa kau bertemu dengannya." Balas Kassim sambil menunjukkan keseluruhan tapak tangannya memberi isyarat agar mereka berdua setia menanti di situ.

Kemudian dia bergerak menuju ke arah dua orang pemuda yang sepertinya sedang bertukar bicara antara satu sama lain. Berdasarkan riak wajah kedua pemuda yang masih tidak dikenali itu, sepertinya terdapat sesuatu yang tidak kena.

Kassim kemudiannya seolah berbisik dengan pemuda yang lebih tinggi dan kelihatan lebih berpengaruh berbanding orang kapal yang sedang berbicara dengannya itu. Seketika kemudian pemuda berpengaruh itu mengerling memandang Arjuna dan Awi seperti telahpun memahami keadaan dan tujuan kehadiran mereka di situ.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now