Dahlia terkedu seketika. Dari mana datangnya percikan merah pekat ini? Dia menoleh memandang kirinya memandangkan percikan itu diterimanya dari arah situ.

Sebaik sahaja wajahnya ditoleh menghadap ke kiri, beberapa percikan kecil darah sekali lagi melekat di muka. Ternyata benar darah tersebut datangnya dari arah kiri Dahlia.

'Apakah-?' Senandika Dahlia bermonolog sendirian memandangkan akhirnya dia dapat mengesan bahawasanya darah tersebut merupakan miliknya Merpatika.

'Apakah sayapnya dikibar sekuatnya hingga dia tercedera?' Hati kecil Dahlia berbicara. Risau bertapak di jiwa melihat keadaan Merpatika yang mengutamakan misi lebih dari keselamatan diri sendiri.

Namun Merpatika langsung tidak menghiraukan sayap sendiri yang sudah terluka akibat terkoyak sedikit tatkala melawan arus angin yang kuat.

Bayang lautan pantai timur semakin jelas kelihatan. Alhamdulillah mereka tiba dalam jangka masa yang singkat biarpun terdapat beberapa halangan di sepanjang perjalanan mereka.

Merpatika merendah dan memperlahankan penerbangannya sebelum mereka tiba di pesisiran pantai timur itu. Mereka mendarat di dalam kawasan hutan tebal yang berhampiran dengan pelabuhan pantai timur itu.

"Apakah kau baik-baik sahaja?" Segera Dahlia bergerak pantas mendapatkan sayap Merpatika yang cedera sebaik sahaja kakinya mendarat di lantai hutan. Suaranya bernada perlahan tidak mahu kehadiran mereka dikesan sesiapa.

Merpatika hanya menggeleng perlahan memberi isyarat bahawa dia tidak apa-apa seraya menyembunyikan bahagian sayapnya yang terkoyak dan memuntahkan darah itu.

Segera dia bangkit perlahan mengajak Dahlia bergerak perlahan-lahan bersamanya menuju ke arah sebuah bahtera besar dan gah di pesisiran pantai tersebut. Hanya beberapa cahaya lampu minyak tanah yang digunakan orang kapal bagi menjimatkan kos pertahanan negara.

"Bagaimana kita mahu mencari laksamana yang dimaksudkan?" Soal Dahlia separa berbisik saat diri mereka semakin hampir dengan kapal besar tersebut. Sepertinya Merpatika lebih mengetahui tentang selok belok kawasan itu memandangkan dia hanya bergerak menuju ke arah sebuah kapal besar sahaja dan tidak mendekati kapal-kapal yang lainnya.

Soalan Dahlia dibiarkan berlalu tanpa dihirau. Merpatika kekal memberi sepenuh tumpuan terhadap seluruh isi kapal itu. Memandangkan saiz kapal besar itu hampir manyamai saiz dirinya sendiri, tiadalah sukar baginya untuk melihat sepenuhnya segala isi dan orang-orang kapal yang berada di dalamnya.

Hanya Dahlia yang terpinga menanti jawapan dari Sang Merpatika yang merenung mencari Si Laksamana tanpa berkelip kerana saiznya tubuhnya kecil tidak mampu melihat isi kapal yang jauh lebih tinggi darinya itu.

"Sekarang." Merpatika segera menggunakan hujung paruhnya untuk mengepit belakang hud Dahlia lalu meletakkannya di atas kapal bahagian paling hujung yang gelap geliga tanpa sebarang cahaya menyinari kawasan itu.

"Sembunyi sekiranya terdapat insan selain laksamana yang menyedari kehadiran kau di sini." Ujar Sang Merpatika berbisik di sisi Dahlia yang sudahpun berdiri tegak di atas kapal tersebut.

Gadis itu terkedu seketika dirinya diperlakukan sebegitu rupa. Dengan mudahnya dia ditarik Sang Merpatika sebegitu rupa. Benar-benar mengejutkan.

Namun Merpatika melakukan itu semua bersebab. Dirinya mendapati kehadiran laksamana yang dicari sedang menuju ke arah hujung kapal itu tanpa ada sesiapa yang mengikuti langkahnya.

Burung gergasi itu kemudiannya kembali menyembunyikan dirinya di dalam hutan tebal menenggelamkan seluruh tubuh dalam kepekatan gelap malam yang menguasai alam.
_______________________•••____________________

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now