Arjuna memberhentikan kudanya di sebuah masjid demi menunaikan kewajipan mereka saat tibanya senja hadirnya maghrib. Dia dan Awi kini berada berdekatan dengan perairan pantai timur Tarawangsa.

Hajat di hati adalah ingin bertemu dengan seorang laksamana termasyhur yang juga merupakan panglima angkatan tentera laut Wantachitra atas beberapa urusan yang ingin dilangsai.

"Assalamualaikum warahmatullah..." Arjuna bersuara sederhana kuat memandangkan dia hanya berjemaah bersama Awi memandangkan mereka sedikit terlewat untuk turut berjemaah bersama yang lain. Perjalanan yang memakan masa sedikit lama menyebabkan mereka dibenarkan untuk jamak terus sehingga ke isyak atas asbab musafir.

Tujuan utama adalah untuk menyuarakan beberapa hajat kepada laksamana yang ingin ditemu janji atas urusan bahtera buat para tentera Tarawangsa yang bakal bergerak ke Wantachitra bagi menjayakan Keraian Setiga Serangkai.

Arjuna menukar posisi duduknya kepada bersila sambil bibirnya melantunkan zikir memuji Tuhan. Awi turut sama terkumat-kamit mengutarakan zikir sambil tumpuan sepenuhnya diberikan kepada bacaannya dan khusyuknya sedaya upaya dikekalkan agar diri tidak leka memikirkan tentang hal duniawi yang lain.

Dua insan itu sememangnya selalu bersama. Sudah menjadi rutin Arjuna untuk sentiasa membawa Awi sekiranya dia perlu menuju ke destinasi yang melibatkan urusan penting. Alhamdulillah kali ini, Awi melakukan kesilapan hingga dirinya tidak dapat menjadi pelatih buat tentera Tarawangsa. Dengan itu, Awi sekali lagi boleh turut bersama Arjuna dalam misi pentingnya kali ini.

Biarpun dalam keadaan bermusafir, kedua insan itu tidaklah tergesa-gesa dalam ibadahnya. Sungguh Allah lebih utama berbanding segalanya. Selesai sahaja solat jamak mereka, zikir dan bacaan doa serta beberapa helaian al-quran dibaca tanpa risau memikirkan hal-hal lain.

Masing-masing punyai kepercayaan teguh pada Ilahi dan sama sekali tidak ingin mendahului perkara lain berbanding urusan bersama Sang Pencipta mereka.

Lantunan bacaan quran diutarakan sedikit kuat berbanding biasa akibat tenggelamnya suara masing-masing dek lantunan suara tok imam masjid yang sedang menyampaikan ceramah adalah lebih kuat berbanding mereka.

"Sodaqallahulazim..." Kitab suci umat islam ditutup Arjuna penuh cermat dan beradab. Dia kemudiannya menoleh memandang Awi yang berada sedikit jarak berbanding dirinya. Awi sudahpun menyusun al-qurannya kembali di rak quran yang tersusun rapi.

Sepertinya sahabatnya itu juga sudah selesai dengan urusan ibadahnya. Maka tiadalah perlu untuk mereka menangguh lagi perjalanan ini.

Sebelum gelap malam menguasai seluruh jumantara alam, adalah perlu mereka berdua segera mengangkat kaki bergerak menuju ke pesisiran pantai timur yang berdekatan dengan sempadan Wantachitra itu.

Menurut maklumat yang diterima, insan yang dicari mereka berada di situ buat masa ini, sedang mengawal perairan pesisir pantai timur biarpun di malam hari.
_______________________•••____________________

Jentayu menghulurkan sehelai kertas usang berserta dakwat hitam basah dan sebatang pena berukiran klasik kepada Dahlia.

"Kau mahu aku menulis?" Dahlia menyoal ringkas menurut apa yang dihulurkan Jentayu.

"Tulis apa ini?" Gadis itu memandang tepat ke arah Jentayu. Terpinga-pinga tidak mengerti keinginan sebenar burung gergasi itu.

"Aku perlukan bantuan kau untuk coretkan segulung warkah buatku. Akan aku lantunkan apa yang harus ditulis di sini." Balas Sang Jentayu benar-benar serius dalam bicaranya.

Memandangkan sergahan tiba-tiba Jentayu tadi sudahpun mengejutkan Dahlia, gadis itu tidak lagi terasa mengantuk seolah mata terlalu berat untuk dibuka. Sang Merpatika turut sama hadir di sisi Jentayu, tidak memahami kehendak sebenar sahabatnya itu.

"Baiklah." Balas Dahlia pendek sambil dirinya segera mencapai sebatang pen dan mencelupkannya ke dalam dakwat hitam pekat sebelum pena itu diletakkan ke atas kertas yang bakal dijadikan warkah bertulis Jentayu.

"Ke hadapan Tuan muda, Laksamana Khoja Hassan..."
_______________________•••____________________

"Guna ini." Ujar Jentayu seraya menghulurkan sebuah cap yang kelihatan seperti cap mohor diraja.

"Cap mohor... Kepunyaannya siapa?" Soal Dahlia kagum melihat ukiran diraja yang terukir kemas pada cap tersebut.

"Itu cap mohor milik Tuanku Puteri Seri Dahlia. Mengapa tiba-tiba kau melakukan ini semua Jentayu?" Merpatika mengambil alih menjawab pertanyaan Dahlia sambil dirinya turut sama mengutarakan soalan lain kepada Jentayu. Atas asbab apa Jentayu menulis sepucuk surat seolah surat itu daripada bicaranya Tuanku Puteri?

"Dahlia aku perlukan bantuan kau untuk menyamar sebagai tuan puteri pada malam ini juga." Soalan Merpatika dibiar berlalu tanpa jawapan. Matanya tepat memandang Dahlia penuh tegas. Tiada lagi sinar cerianya terpancar. Wajahnya menggambarkan bahawa perkara sekarang ini bukan untuk dibuat main lagi.

Dahlia dan Merpatika terpinga tidak mengerti namun masing-masing sudahpun berdiri tegak bersedia bagi sebarang kemungkinan. Mulut dikunci tanpa bicara, kedua-duanya menanti penerangan lanjut daripada Jentayu.

"Hal lebih lanjut akan Ku jelaskan di kemudian hari. Buat masa ini, aku arahkan untuk kau dan Merpatika bergerak ke pesisir pantai timur dan bertemu dengan seorang laksamana bernama Khoja Hassan."

"Bertemulah dengannya dalam keadaan rahsia tanpa ada yang melihat kau selain dia. Kau sendiri tahu isi kandungan surat yang kau coret sebentar tadi. Serahkan itu padanya dan pinta untuk dia tidak berkeras malah menurut sahaja berdasarkan apa yang tertera dalam surat tersebut." Ujar Sang Jentayu sambil menghulurkan sebungkus kain berisi pakaian serba hitam buat Dahlia.

Jelas dia mahu gadis itu tidak menyerlahkan dirinya dan menarik perhatian sesiapa. Pakaian itu ternyata milik Ratu Melawati yang dihadiahkan baginda kepada Dahlia tempoh hari sejak beliau tahu tentang keberadaan gadis itu di sini.

Dahlia segera menyarung kain hud besar berwarna hitam bagai bulu gagak itu. Seluruh tubuhnya kini bagai tenggelam dalam kegelapan malam. Kain mukanya disarung hingga menutup separuh dari wajahnya persis dirinya di masa hadapan yang harus sentiasa memakai pelitup muka.

"Apakah aku harus menyamar sebagai seseorang yang menyerahkan surat ini kepada pemuda yang dimaksudkan?" Soal Dahlia sambil tangannya mengibas-ngibas pakaiannya bagi memastikan segalanya dalam keadaan baik.

"Rahsiakanlah identiti diri kau namun dedahlah ia kepada pemuda tersebut sekiranya perlu. Hanya kepada pemuda itu bukan yang lain. Jangan kau pulang selagi dia tidak membaca isi kandungan surat itu."  Pesan Sang Jentayu tegas sambil pandangannya terarah kepada Merpatika sama.

"Berhati-hati lah dalam perjalanan kalian ke sana. Kalian harus tiba ke sana pada malam ini juga. Semoga kalian berada bawah perlindungan-NYA." Balas Sang Jentayu lagi sambil merenung Merpatika tepat memberi isyarat kepada sahabatnya bahawa Dahlia kini berada bawah pimpinannya sepenuhnya.

"Mengapa kau tidak turut serta bersama?" Soal Dahlia sebelum mereka berdua mula mengangkat kaki.

"Ada beberapa hal lain yang harus aku langsaikan." Balas Jentayu pendek seraya mengibarkan sayap kanannya seolah memberi isyarat untuk Merpatika dan Dahlia bergerak sekarang.

Dahlia mendengus perlahan. Risau terlukis jelas di wajahnya.

'Semoga semuanya baik-baik sahaja...'

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now