Tambahan pula, berat sungguh sang hati ini ingin melepaskan  bonda kesayangannya berseorangan di rumah. Sungguh ayahnya telah lama meninggal dunia dan Nara merupakan satu-satunya cahaya mata milik Che Jemah. Namun risaunya berkurang sedikit apabila penduduk kampung yang lain sudi menawarkan diri untuk sentiasa menjenguk bondanya itu.

Hidup sebagai jiran sudah sebati dalam diri masing-masing. Tiada yang terasa sepi tinggal di kampung itu walaupun berseorangan kerana sungguh segala masa akan dihabiskan dengan berbual mesra bersama jiran-jiran yang lain. Tiadalah sunyi terasa sekiranya Che Jemah punyai sahabat rapatnya dari rumah berdekatan dan masing-masing mampu bersahabat dengan baik.

"Baiklah bonda. Izinkan aku membawa diri, ya." Nara mengucup tangan tua bondanya perlahan. Harum baunya sungguh bau itu akan dirinduinya tika diri ini berpisah sementara dengan insan kesayangannya itu. Tidak akan dia lupakan bau bondanya yang mampu menenangkan jiwa yang lara ini.

Che Jemah tersenyum seraya tangan kirinya mengusap lembut kepala Nara yang bertakhtakan tanjak balong ayam itu. Lembut rambutnya disikat rapi. Bonda tuanya itu didakap Nara penuh erat. Berat hatinya untuk melepaskan dakapan penuh kasih itu.

Wajahnya tidak menggambarkan perasaan namun hanya Tuhan yang tahu betapa jiwanya harus kental membiarkan ibunya keseorangan di kampung. Sentuhan kasih tangan bondanya mengusap lembut pada belakang tubuh Nara.

Kedua-duanya enggan melepaskan dakapan masing-masing. Pawana dingin menyapu lembut tubuh kedua-dua insan itu.

Selang beberapa ketika barulah dakapan itu dilepaskan. Senyuman manis terlukis di wajah masing-masing namun mata berkaca bagai mahu berderai bila-bila masa sahaja.

Jiwa mana yang tidak sedih apabila dua hati yang tidak pernah berpisah ini akhirnya harus terpisah jua. Masing-masing menahan tangis dengan menghamburkan tawa bagi menceriakan suasana di pagi hari. Tiadalah mahu diri ini berduka di pagi hari.

"Hahaha bonda."

"Aku pergi dulu ya."

Nara tersenyum manis seraya ketawa kecil. Wajahnya berseri saat itu disimbahi sinaran cahaya Sang Mentari memantulkan sinaran kilauan mata berkacanya yang mengecil saat wajah dihiasi tawa.

Perlahan-lahan dia menapak ke belakang sambil tangannya melambai bondanya perlahan-lahan hingga jarak makin jauh dan dia harus memusingkan tubuh menghadap jalan di hadapan. Semanisnya dia mengukir senyuman namun sukar tidak terkata untuk mengelakkan berderainya air mata ini.

Saat kelibat Nara semakin menghilang dari pandangan, Che Jemah kekal melambai perlahan sambil wajah tidak lekang dari menguntum senyuman manis. Berderai setitis air mata dari mata berkacanya. Sungguh lunturnya hati ingin melepaskan satu-satunya cahaya mata yang menjadi pemberi kebahagiaan jiwa.

Jujurnya, dia masih tidak mampu melepaskan anakandanya itu namun hati ini hanya mampu menyerahkan segalanya kepada Tuhan. Sungguh Nara juga sudah besar panjang, maka tiadalah perlu diri ini untuk terlalu merisaukan yang bukan-bukan. Tambahan pula, cinta hatinya itu berkemahiran dalam ilmu pertarungan. Pasti tiada yang mampu mengapa-apakannya selagi dia berada dalam lindungan Ilahi.

Nara meneruskan perjalanan ke arah utara Tarawangsa. Destinasi yang dituju adalah Taman Mawar Buyung. Sebelum tiba ke sana dia harus melalui jalan di pinggir pelabuhan utama terlebih dahulu sebelum mengikut jalan tertentu menuju ke destinasi.

Air matanya yang tidak gugur dikesat pantas tidak mahu bersedih di pagi hari. Nara berjalan penuh bersemangat sambil rambutnya diterbangkan bayu dingin pantai. Wajahnya dihiasi senyuman manis. Sungguh hari ini indahnya tidak terkata seolah-olah segalanya akan berjalan lancar.

Sambil menyelam minum air, Nara melantunkan zikir dari dalam hatinya supaya masanya tidak terbuang dengan hanya berjalan tanpa mengumpul pahala pada masa yang sama. Matanya dikatup rapat seketika tatkala pawana lembut menampar pipi. Benar-benar leka menikmati keindahan suasana alam.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now