Seolah memahami, Merpatika membuka sayapnya sedikit memberi ruang Dahlia duduk di sisinya kemudian sayapnya seolah memeluk gadis kerdil itu, memberi sedikit hangat kepada seluruh tubuhnya yang hampir menggigil dicengkam dingin.

"Boleh tetapi agak berbahaya. Sungguh malang tidak berbau. Adalah lebih baik rasanya kita berteduh di sini sebentar hingga hujan kembali sedikit reda." Balas Sang Merpatika memandang Dahlia yang sedang menarik hujung lengan bajunya untuk menutup tapak tangannya yang kedinginan.

Comel sahaja gadis itu kelihatan kerdil duduk berteleku di bawah hamparam sayap gergasinya. Memandangkan gua itu kecil dan tidak cukup ruangnya untuk sayap Merpatika dikibar luas, merpati putih itu hanya mampu kekal tidak berganjak dari tempatnya kerana tiada ruang lain untuk dia bergerak.

Dahlia mendengus perlahan selepas mendengar respons Sang Merpatika. Sungguh tiadalah hendak dia untuk menunaikan ibadahnya di kawasan tidak cukup ruang ini. Sudahlah dingin melampau dan dirinya pula diserang takut dan seram tanpa sebab, nasiblah Merpatika berada bersamanya ketika ini. Boleh Dahlia menumpang kehangatan bulu gebu apam putih itu.

Kedua insan itu hanya mengunci mulut masing-masing menelan lidah tanpa bicara, berteleku di dalam gua yang semakin gelap saat awan emas mula bertukar sebiru lautan menenggelamkan seluruh jumantara alam dengan kegelapan yang hanya bermentolkan Sang Purnama.

_______________________•••____________________

"Tidak Ku sangka, engkau sebegini mudah terhibur bercanda bersamaku ya, Is?" Nara menghabiskan sisa tawanya sambil tangannya sedikit menepuk bahu Iskandar.

Rehat petang itu dihabiskan dengan hanya menyakat Ratna tanpa henti hingga gadis itu berpindah duduk bersama Arjuna akibat geramnya melampau terhadap Iskandar yang tidak serik bercanda.

Megat dan Awi turut sama memarahi mereka meminta kedua itu berhenti namun biarpun Ratna sudah menjauhi kedua insan itu, mereka tetap menyakatnya tanpa henti lagi. Sungguh idea untuk bercanda mereka sentiasa melimpah ruah tiada penghujung.

Pada sebelah petang tadi, mereka hanya membuat latihan biasa sebagai tentera negara. Ratna mahu turut sama namun sering disakat Iskandar dengan sering ditewaskan setiap kali dia cuba berlatih. Sungguh hari ini merupakan hari di mana api amarah Ratna kian memuncak meletup dari pelbagai arah.

Sangkanya, Iskandar merupakan orang yang baik kerana tempoh hari bertemu dengannya, pemuda itu masih bersopan-santun dan kaya dengan adab. Sungguh saat mendapat sahabat baru seperti Nara, terserlah sifat sebenarnya. Menyesal benar dia melayan karenah Iskandar dari awal. Tiap masa dan minit pasti akan diganggu Iskandar.

"Hahahah, sudah tentu! Aku bukan apalah namun menyakat Ratna sungguh menggelikan hatiku. Tiada terdaya aku menahan diriku dari terus bercanda." Balas Iskandar yang sudah hampir kemerahan seluruh wajahnya akibat ketawa terlalu banyak.

Sesekala jelingan tajam Arjuna menyedarkannya untuk kembali beristighfar. Tidak elok ketawa berlebihan, boleh mematikan iman namun reaksi Ratna tiap kali disakat benar-benar menggelikan hatinya.

"Sungguh sangkaan pertama ku terhadap kau juga tidaklah sebegini. Hahaha kau berjaya memusnah sangkaan pertama ku terhadap kau." Megat pula menyelit berbual sama. Ternyata Iskandar yang disangka serius orangnya itu jauh lebih kebudak-budakan tingkah lakunya berbanding Nara. Namun Nara juga tiada bezanya. Kedua-duanya sama berperangai seperti kanak-kanak.

"Hahaha kau juga apa kurangnya Megat. Ku sangka kau garang bagai singa ternyata lembut sopan santun orangnya." Iskandar membalas sambil wajahnya dihiasi seukir senyuman manis menyerlahkan barisan gigi putih bersihnya.

Megat pula ketawa geli hati sambil tangan kanannya seolah mengepal penumbuk menutup mulutnya yang sedang tersengih ketawa.

Benar kata Iskandar. Pemuda yang dicuri hatinya oleh Intan itu benar-benar sopan dan beradab lebih dari yang lain. Sungguh sifatnya dengan Intan bagai langit dengan bumi. Sungguh berbeza tiada yang sama namun atas sebab itulah hatinya terpaut pada gadis ceria yang lebih terbuka sifat dan perwatakannya berbanding dirinya sendiri.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now