Memandangkan terdapat beberapa anak panah yang kekal di dahan pohon membentuk satu bentuk tidak tetap, Dahlia bercadang untuk berlatih menggunakan keris pula. Tambahan pula Merpatika masih belum sedar, tiada masalah jikalau dia berhenti berlatih memanah buat sementara waktu.

Kerisnya dipusingkan dari pelbagai arah. Tangannya dilatih agar menjadi lebih lentur dan mudah untuk memusingkan keris dari pelbagai arah. Kadangkala keris yang sama Dahlia sengaja lontar sedikit tinggi ke udara sebelum kembali mencapainya semula.

Sungguh corak latihan Dahlia sangat gempak namun besar juga akibat atas sesuatu perbuatan. Nyaris-nyaris sahaja dia terluka ditoreh keris sendiri akibat tangannya gagal memusingkan keris dengan baik.

Ilmu peralihan tenaga yang diajarkan Merpatika dihadam dan digunakannya sebaik mungkin. Sungguh tangannya harus kuat dan bukan sekadar boleh dilentur dengan baik, malah mampu untuk menggenggam kerisnya dengan utuh tanpa terlepas dari tangan dengan mudah.

Dahlia menganggap seolah-olah dia sedang bertarung dengan seseorang. Sehabis baik dia mencuba pelbagai cara serangan dan pertahanan agar dia benar-benar mahir dalam ilmu pertarungan. Niatnya bukanlah mahu menjadi sehebat Tuanku Puteri yang sebenar namun dirinya mahu sekurang-kurangnya dia tahu asas seni ilmu pertarungan ini agar tidak mudah terbongkar penyamarannya kepada khalayak ramai.

Tik. Tik.

Titisan air dari langit gugur ke lantai hutan membasahi seluruh tubuh Dahlia dan Merpatika. Awalnya hanya gerimis perlahan namun tiba-tiba angin menderu laju seolah ingin menerbangkan kedua insan itu.

Serta merta Merpatika terjaga dari lenanya tatkala tidurnya diganggu Sang Angin yang seolah menolak-nolak dirinya ke tepi.

Hairan. Hujan hanya gerimis dan tidaklah lebat malah sepertinya tidak hujan pada petang senja itu namun anginnya menderu laju bagaikan hendak ribut.

"Apakah di sini hampir tsunami, Merpatika?!" Soal Dahlia dalam nada separa menjerit kerana sukar untuk melontar kata apabila bicaranya tenggelam ditelan deruan angin yang bising membingitkan telinga. Benar-benar keadaan itu seperti hampir tsunami.

Bergoncang semua pohon besar mahupun kecik di seluruh kawasan hutan itu hingga Dahlia sendiri hampir tertolak ke belakang namun tangannya terlebih dahulu mencapai dahan pohon dan berpaut sambil dirinya berusaha bergerak ke arah Sang Merpatika.

"Mustahil tsunami pada waktu begini! Ini bukan angin tsunami! Ini hanya sekadar ribut kecil barangkali!" Sahut Sang Merpatika pula sambil dirinya juga turut sama bergerak ke arah Dahlia yang jaraknya beberapa tapak dari dirinya.

Sungguh seluruh alam yang oren kemerahan pada petang senja itu kini berubah menjadi warna biru pekat akibat Sang Langit dilitupi Sang Awan yang gelap membawa angin kuat menggegarkan seluruh hutan itu.

Namun tidaklah seluruh alam bertukar biru pekat. Sungguh dapat dilihat Merpatika bahawa jauh dari kawasan hutan mereka, langit masih berwarna oren kemerahan bahkan hampir bertukar menjadi warna ungu tua yang tidak mampu diungkap kata indahnya alam tika itu.

Hanya kawasan hutan yang didiami mereka ini sahaja mendapat angin seolah ribut ini. Atas sebab itulah, merpatika pasti ini bukan tsunami. Mungkin sekadar angin kuat sahaja yang mungkin akan pergi sebentar lagi.

Merpatika menoleh memandang Dahlia. Dirinya mungkin mampu menghadapi deruan angin kuat itu namun tidak bagi Dahlia. Sungguh gadis itu tidak mampu lagi berganjak tatkala dirinya harus berpaut sepenuhnya pada sebatang pohon kerana angin semakin kuat tanpa sebab.

'Ini tidak boleh terjadi!' Merpatika mendengus perlahan dari dalam hatinya. Matanya melilau memandang sekeliling mencari tempat berteduh buat sementara waktu. Biarpun tiadalah titisan air yang ditumpah Sang langit jatuh dengan lebatnya, namun tetap deruan angin itu tidak mampu Dahlia tempuhi dengan baik.

Akhirnya pandangan Merpatika jatuh pada sebuah gua kecil yang mungkin memuatkan dirinya juga di dalam gua tersebut. Tanpa berlengah dan memberitahu Dahlia terlebih dahulu, segera gadis itu digapainya dan dibawa terbang ke gua kecil tersebut.

Hajat hati ini mahu membawa Dahlia terus ke puncak Gunung Tasik Gerhana Berdarah namun akibat deruan angin laju dan kuat bakal menyukarkan penerbangannya, inisiatif terbaik yang mampu dia lakukan adalah mencari tempat teduh sementara.

Sedikit sukar bagi Merpatika terbang dalam keadaan rendah di kawasan hutan penuh tumbuhan itu. Sungguh dirinya harus mengelak daripada melanggar pepohon itu. Namun alhamdulillah, akhirnya tiba jua mereka ke gua kecil tersebut.

Benar sangkaan Merpatika, dirinya turut sama muat untuk berteduh sama di dalam gua tersebut. Alhamdulillah bernafas jua akhirnya Dahlia setelah selamat tiba di dalam gua. Sungguh tidak terasa deruan angin tebal itu mencengkam seluruh tubuhnya.

"Hairan benar ya tiba-tiba sahaja ada angin menderu laju tidak tentu fasal. Sudahlah tidak hujan pula itu." Dahlia melontar bicara sambil dirinya membetulkan pakaiannya semula. Dia kembali berdiri dengan stabil setelah Merpatika mendarat ke tanah dengan selamat.

"Hampir hujan lebat barangkali..." Merpatika membalas. Ada benarnya juga kata Si Apam itu kerana gerimis yang tadinya benar-benar sedikit kini semakin lama semakin lebat membanjiri lantai hutan.

Sungguh Sang Langit yang asalnya berwarna oren kemerahan kini diselimuti dengan Sang Awan berwarna biru pekat yang menumpahkan segala isinya ke lantai hutan membasahi seluruh tanah yang berlapikkan permaidani hijau dengan titisan air yang gugur dari langit.

Merpatika dan Dahlia kekal di dalam gua tersebut menanti hujan sedikit reda untuk mereka pulang segera ke puncak Gunung Tasik Gerhana Berdarah.

"Apakah kau berlatih hingga langit menumpahkan isinya?" Soal Merpatika sedikit berkias namun masih mampu difahami Dahlia akan maksud tersiratnya.

Dahlia mengangguk mengiyakan. Sekiranya mampu, ingin sahaja dia berlatih lagi di dalam gua itu namun memandangkan kawasan itu sudah sedikit mampat selepas Merpatika turut sama berteduh, Dahlia segera membatalkan niat untuk berlatih tanpa henti.

Pandangan Sang Merpatika jatuh pada keris yang berada dalam genggamannya tangan kanan Dahlia. Gadis itu tidak lagi berlatih memanah malah telah ditukar kpd latihan keris. Biarpun tidak mendengar kata gurunya, latihan Dahlia itu tetap ada kebaikannya juga suatu hari nanti maka Merpatika hanya diam dan tidak membuka sebarang kata melontar bicaranya.

"Dahlia." Panggil Merpatika perlahan namun jelas kedengaran suaranya oleh Dahlia. Gadis itu segera menoleh.

"Hujan masih gerimis namun anginnya tidak berhenti menderu dengan laju tanpa sebab." Sambung Merpatika lagi sambil pandangannya tidak sedikit berganjak dari memandang deruan angin kuat di luar gua.

Dahlia turut sama menoleh memandang luar. Benar kata merpati putih itu. Sungguh sudah agak lama mereka berdua berada di situ namun tidak sedikit pun angin itu berhenti walau sesaat. Malah kadang kala deruannya makin bertambah kuat.

"Iyalah..." Balas Dahlia ringkas. Dia juga turut menyedari perkara yang sama.

"Ini bukan angin biasa Dahlia. Apakah hati kau berada dalam keadaan tenang saat angin ini mula tiba ke sini?" Bicara Merpatika mengerutkan dahi Dahlia. Sungguh apa yang dibicarakan Si Apam itu semuanya benar belaka.

Sangkanya hanya dirinya yang merasakan sebegitu. Namun ternyata Merpatika turut rasa sama sepertinya. Sungguh tenang di jiwa dipijak oleh gundah gulana yang mula menapak tatkala Sang Angin tidak diundang itu tiba ke sini.

"Aku sangka hanya diriku yang merasakan sebegitu. Apakah kau turut merasakan perkara yang sama sepertiku?" Soal Dahlia ingin menghapuskan curiganya dengan mengajukan soalan meminta kepastian.

Merpatika terdiam sejenak. Matanya masih tidak berganjak dari memandang deruan angin laju di luar gua itu. Bicara Dahlia dihadamnya dengan baik namun tidak dibalas.

"Angin ini..."

"Sedang berbicara cuba menyampaikan sesuatu..."

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now