"Eleh, orang tolong pun tidak mahu. Aku sebagai anak murid mithali haruslah melayani guru Ku penuh beradab biarpun ketika sedang menjamu selera." Balas Dahlia pula sambil sebelah lagi tangannya menghulurkan buah manggis lain kepada Jentayu pula. Kedua-dua manggis itu sudah dia buang kulitnya terlebih dahulu.

"Apa salahnya berbuat baik?" Ujar Jentayu menjegil memandang Merpatika memaksa Si Apam itu mengambil pemberian Dahlia dengan segera. "Terima kasih Dahlia." Balas Jentayu lagi sambil paruhnya mengambil manggis manis itu daripada tangan Dahlia.

"Jikalau kau memberiku sebagai seorang murid, akan aku terima pemberian ini sebagai seorang guru." Balas Sang Merpatika seraya mengambil manggis yang dihulurkan Dahlia. Ternyata Si Apam itu mahu sahaja menerima segera namun sengaja menjual mahal tanpa sebab. Sudahlah bicaranya entah apa-apa yang dibebelkannya. Langsung tidak Dahlia mengerti namun gadis itu hanya mengiyakan sahaja setiap celotehnya memandangkan dia sibuk mahu menjamah makanan sepuasnya. Tidak ada masa untuk bertikam lidah dengan apam putih itu.

Jentayu hanya memerhatikan gelagat dua insan itu yang sudah bagaikan sahabat sejati biarpun tikaman lidah antara mereka adalah tidak berkesudahan namun, tetap hubungan persahabatan antara mereka semakin erat dari hari ke hari.
_______________________•••____________________

Sang Mentari mula melabuhkan tirai tatkala senja mula menguasai alam menjadikan takhta mentol alam hanya dipegang Sang Bulan di petang hari namun srikandi berbusana merah masih tidak berhenti berlatih memanah tanpa jemu biarpun lencun seluruh tubuhnya dengan peluh akibat tidak berkesudahan latihannya pada hari itu.

Sesekala gadis itu berhenti seketika bagi menunaikan kewajipannya untuk solat fardhu dan bertafakkur sebentar merehatkan diri dari pelbagai tekanan dan urusan dunia dengan bertemu Ilahi mengadu pada-NYA tentang pelbagai hal biarpun Dia sudah terlebih dahulu mengetahui segalanya.

Sebaik sahaja selesai solatnya, Dahlia segera kembali menyambung tugasnya. Tanpa henti dia berlatih seorang diri. Hanya Merpatika yang menemani kerana Jentayu hanya akan bertandang buat sementara waktu sebelum dia menghilang kembali. Katanya ingin meronda kawasan sekitar melihat keadaan seluruh bumi Wantachitra.

Tidak sangka Dahlia bahawa setiap hari memang Jentayu akan meronda seluruh bumi Wantachitra yang gah dan besar itu kecuali sekiranya ada hal yang lebih mustahak pada hari tersebut memaksa dirinya melangsaikan hal-hal yang harus diselesaikan terlebih dahulu. Sungguh cintanya terhadap tanah air sendiri teramatlah tiada bandingan.

Biarpun Dahlia ditemani Merpatika, saat petang menjelma cuaca berubah menjadi sederhana dingin sambil diselimuti bayu dingin yang sungguh menyenangkan jiwa menyebabkan Si Apam itu lena diulit mimpi.

'Dasar Apam!' Dengus hati kecil Dahlia. Dia yang mengarahkan untuk berlatih, dialah yang mencuri tulang untuk tidur tanpa menjadi pelatih hingga ke akhirnya. Namun perkara itu dibiarkannya sahaja. Sungguh dia tidaklah begitu kisah Merpatika lena diulit mimpi tatkala dia masih berusaha berlatih sehabis baik kerana sekurang-kurangnya tiadalah perlu untuk dia merasa ragu-ragu atas setiap tindakannya.

Latihannnya tanpa henti dari pagi hingga ke petang terbayar saat kemahirannya meningkat sedikit demi sedikit. Mungkin tidaklah mendadak namun cubaanya sudah berkali tidak gagal tiba ke dahan pokok dengan padu dan penuh bertenaga.

Arah pergerakan panah itu tidak lagi terpesong biarpun masih belum mampu tersasar dengan tepat. Bukan itu sahaja, daya dan tenaga yang dibekalkan juga mencukupi kerana panahannya yang terpacak, kesemuanya padu dan penuh bertenaga.

Sekiranya dahan pohon itu merupakan manusia, pasti peritnya tidak terkata kerana begitu mendalam panahan Dahlia menembus darah dagingnya. Ikutkan hati ingin sahaja Dahlia menggunakan semula panah yang terpacak di pohon tersebut tatkala panahannya sudah habis digunakan namun terdapat beberapa anak panah yang terlalu padu lontarannya menyebabkan ia melekat utuh pada dahan pohon tersebut hingga tidak mampu Dahlia mecabutnya semula.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now