"Oh tidak, kanda! Mengapa ini? Siapakah gerangan yang telah mencederakan wajah tampan kau?" Melur bergerak berlari anak meluru ke arah bunian tersebut.

Masing-masing terkesima seketika. Itulah Puteri Melur, adindanya Lela Sakti. Para bunian mungkin mengenalinya tetapi tidak bagi Jentayu, Merpatika dan Dahlia. Entah bagaimana gadis itu tiba-tiba muncul di situ, mereka pun tidak tahu.

Melur menyapu lembut wajah kekasih hatinya yang sudah berdarah ditumbuk Lela Sakti. Matanya memandang pemuda itu penuh sayu. Kesemua yang berada di situ menjadi penonton tanpa sengaja hanya terkedu tanpa bicara. Tidak pasal-pasal mendapat tontonan bicara kasih secara percuma.

Dahlia mencebik sedikit. Geli-geleman dibuatnya melihatkan dua insan itu bagaikan sudah lupa bahawa mereka menjadi tontonan ramai ketika ini.

Bunian itu sepertinya membisikkan sesuatu kepada Melur sepertinya mengadu siapa yang telah mencederakannya sebegitu rupa.

"Kakanda! Apakah kakanda tidak serik berdendam tanpa sebab dengan Banang yang tidak bersalah?" Akibat buta dipanah cinta palsu, Melur melampiaskan marahnya kepada Lela Sakti, kakanda kandungnya sendiri.

Lela Sakti terkesima seketika. "Apa?!"

"Bagaimana kau boleh tiba di sini? Bukankah aku berpesan untuk tidak ke mana-mana selagi aku masih belum pulang?" Geram Lela Sakti dengan tingkah laku Melur yang masih ingin bersama dengan Si Banang yang tidaklah sesuai menjadi calon suami itu.

"Aku hanya ingin keluar mengambil angin sahaja! Salahkah? Apakah kau pengatur hidupku? Biarkan sahajalah aku pergi ke mana sahaja semahuku!" Merah padam wajah Melur menahan marah. "Seperkara lagi! Mengapa kau mencederakan Banang lagi? Apakah tidak puas kau menabur fitnah terhadap dirinya, kini kau mahu menghabiskan dia semula?" Langsung hilang adab dan tatasusilanya Si Melur ini di hadapan ratunya sendiri yang menyaksikan segala tingkah lakunya yang dipandu amarah itu.

Banang hanya tersenyum kecil lucu melihat permainannya berjaya mewujudkan kucar-kacir antara dua pihak. Lela Sakti masih kekal membatu. Dirinya semahunya ingin membalas bicara adindanya itu namun kehadiran Ratu Gemala di situ menghentikan tindakannya kerana sungguh tidak manis untuk dia bertikam lidah di hadapan pemimpinnya sendiri.

"Kau! Kau juga sama!" Melur tiba-tiba memusingkan tubuhnya menghadap Dahlia sambil tangannya menuding geram ke arah gadis itu. Dahlia terpinga-pinga. Tiba-tiba sahaja dia dipersalahkan? Atas kesalahan apa?

"Kau ya yang melepaskan panahan hingga tembus daging kekasih hatiku?!"

'Oh itu!' Senandika Dahlia berbicara namun mulutnya kekal terkunci. 'Ala sorry ah do. Lek ah bukannya boyfriend kau mati pun, nyah' Hati kecilnya membebel geram. Awalnya memang hatinya terpaut rasa simpati terhadap Si Banang itu namun selepas melihat tingkah lakunya, langsung tidak ingin Dahlia meminta maaf lagi.

"Berani kau tidak menghiraukan aku ya?!" Geram Dahlia tidak memberi respons, Melur bertindak menarik keluar kerisnya dan bersedia membenamkan keris itu di leher Dahlia. Namun,

"Sudah! Cukup Melur! Jangan kau biadab di hadapan tetamu beta!" Ratu Gemala tiba-tiba terpacak di hadapan Dahlia sambil kerisnya sendiri yang menepis keris Melur hingga jauh terpelanting ke lantai hutan. Bukan hanya Sang Ratu, malah Jentayu dan Merpatika turut sama mengibarkan sayap masing-masing bagi melindungi Dahlia.

Dahlia hanya terkesima tanpa mengerti kerana dirinya ibarat mendapat tiga benteng kukuh yang sedang melindunginya. Seluruh hulubalang segera bergerak dan bersiaga sama sambil tombak masing-masing dituju ke arah Melur hingga gadis itu tidak mampu berbuat apa-apa. Sungguh tatkala Ratu Gemala mula membuka langkah, tidak kiralah siapa pun lawannya, sekiranya orang itu mahu berlawan sama Sang Ratu, haruslah dia melepasi barisan hulubalang baginda terlebih dahulu.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now