Mana mungkin dia mengutarakan kegusarannya tanpa bukti dan asbab yang munasabah.
_______________________•••____________________

Bunyi pedang berselisih bergema di seluruh ruang angkasa Taman Mawar Buyung tatkala berpuluh tentera Tarawangsa itu serentak membuat pergerakan tarian adat masing-masing sambil mengeluarkan pedang bagi menghasilkan bunyi yang mampu memukau penonton kelak.

Sebaik sahaja pedang berselisih antara dua insan, barisan belakang yang mewakili insan kedua akan bertukar tempat dengan barisan pertama sebelum sekali lagi secara serentak semuanya mengetuk pedang dengan perisai masing-masing bagi menghasilkan bunyi yang lain pula.

"Eeeeee Aaaa!" Sebaik sahaja hujung pedang bertemu perisai, serentak kesemua tentera akan menghiasi angkasa dengan suara berirama mereka. Tidak lain caranya dengan ketukan kompang berirama yang sering diadakan dalam upacara perkahwinan, lebih kurang sahaja konsepnya cuma diubah suai mengikut adat Tarawangsa sendiri.

Kesemua pergerakan itu digabungkan dan diulang beberapa kali hingga ia menjadi sebuah tarian berirama. Bukan sahaja dihiasi bunyi berirama, malah pergerakan mereka seolah-olah menari dengan tarian Melayu apabila mereka bergerak ke kiri, kanan, depan atau belakang.

Pergerakan akan Megat pastikan berada dalam keadaan serentak dan berirama secara teratur agar tidak mengundang malu kepada kerajaan sendiri. Setiap langkah para tentera diteliti Megat dan Nara sehabis baik.

Pada sebelah pagi mereka akan berlatih untuk pertunjukkan tarian manakala pada sebelah petang pula latihan ketenteraan biasa akan dijalankan. Sungguh untuk beberapa hari ini mereka akan berada dalam keadaan sibuk menguruskan tentang pelbagai hal sebelum tibanya hari Keraian Setiga Serangkai.

"Bagaimana tadi engkau?" Soal Nara tatkala Awi datang berdiri di sisi dia dan Megat. Wajahnya terlukis redha. Apalah hukuman yang diberikan Arjuna agaknya.

"Tiada apalah." Awi tertawa kecil. Dia tidak kisah sebenarnya. Dirinya sendiri yang lebih mengalu-alukan Arjuna untuk memberikannya hukuman ringan. "Aku harus memastikan pertunjukkan tarian ini berjalan lancar namun tiadalah dibenarkan untuk aku bertukar tugas dengan Megat."

Megat menoleh. "Sudah. Bagaimana itu?" Awi tidak sedikit pun mampu campur tangan dalam melatih mereka namun sekiranya pertunjukkan itu ada celanya, salah itu akan jatuh kepada Awi terlebih dahulu sebelum Megat. Sungguh entah apalah yang berada dalam fikiran Arjuna itu.

"Ada caranya." Awi tersenyum manis. Dia hanya perlu melatih Megat dan memastikan sahabatnya itu melakukan sehabis baik dalam melatih tentera yang lainnya. Mungkin ayat Arjuna sedikit berkias namun temenggung Tarawangsa itu tidaklah kejam. Sekadar mahu mengajar apa yang perlu.

"Di mana Arjuna sekarang ini?" Nara pula menyoal sambil matanya melilau mencari kelibat tuannya itu.

"Ituu." Balas Awi sambil dagunya didongak menunjuk ke arah Arjuna yang sedang berada bersama Iskandar dan Ratna. Sepertinya mereka bertiga sedang berlatih sendirian di sana.
_______________________•••____________________

"Kakanda Arjuna, tidak ada peralatan senjata lebihkah untuk aku turut serta berlatih sama?" Soal Ratna yang teringin sungguh menguasai asas ilmu seni bela diri. Dirinya mungkin bukan siapa-siapa tetapi dia turut berada dalam ancaman musuh. Tidak mahu sungguh hati ini terkenangkan pengalamannya diculik tempoh hari.

Arjuna berhenti berlatih dengan Iskandar. Keduanya menoleh memandang Ratna.

"Tidak perlulah. Kau itu kecil lagi. Entah-entah mahu angkat perisai ini pun kau tidak mampu." Balas Iskandar mencelah. Sengaja dia menyakat.

"Itu mungkinlah tidak. Berat sungguh perisai itu. Berikan sahaja aku keris atau sesuatu yang boleh aku gunakan untuk mempertahankan diri dalam keadaan terancam." Ujar Ratna sambil kedua tangan kecilnya seolah menolak perisai itu jauh daripadanya.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now