"Sungguh aku mengerti apa yang kalian bicarakan! Namun sekali lagi jutaan maaf aku suarakan kerana hajat kalian tidak dapat aku tunaikan. Sekiranya Tuanku Ratu Melawati membenarkan sudah tentu aku membawa kalian bersama!" Balas Arjuna dengan suara yang lebih lantang bagi melawan semua suara penduduk yang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.

Serentak dengan itu beberapa penduduk lain turut berlaung meminta agar hajat mereka dipertimbangkan kembali. Suasana mula menjadi bingit dengan jeritan penduduk yang seakan-akan memarahi Arjuna kerana seolah-olah menghalau mereka pergi dari situ.

Para tentera di sebelah kanan Arjuna turut sama bising memarahi penduduk biasa yang sepertinya tidak faham bahasa itu.

Nara memandang Arjuna. Hasrat hatinya ingin sahaja dia menjerit mengarahkan agar semuanya kembali mengunci mulut namun Arjuna memberi isyarat sabar sebentar. Usah ditambah daun kering pada api yang sedang marak.

Arjuna kemudiannya mengangkat tangan kirinya tinggi ke udara dan menggenggam buku limanya memberi isyarat agar suasana kembali tenang.

Seketika kemudian, suara bingit beransur hilang perlahan namun tidak sepenuhnya. Di kesempatan itu Arjuna segera membuka mulut melontar bicaranya. Namun belum sempat sepatah kata terpacul keluar dari mulutnya, bicaranya dipotong oleh seorang pemuda lain dari kalangan penduduk biasa itu.

"Sudahlah kau Arjuna!! Pasti kau memandang rendah terhadap kami di sini padahal kau juga sama seperti kami! Hanya kerana kau merupakan anak angkat Tuanku tidak bermakna kau punyai darah berketurunan raja seperti Tuanku! Dasar lupa daratan!" Laung seorang lelaki gagah dan sasa berjambang tebal.

Arjuan tertampan. 'Apa kaitan hubungannya dengan Ratu Melawati tiba-tiba dikaitkan tanpa sebab ke dalam masalah sekarang ini?' Hati kecilnya berbicara tidak mengerti.

Awi, Megat dan Nara turut sama tercengang bengang ketua mereka diherdik sebegitu rupa.

Sekali lagi Arjuna cuba membuka mulut bagi menenangkan keadaan biarpun hatinya sedikit terguris dengan bicara pemuda tadi, pedih itu ditelannya begitu sahaja tidak mahu membesarkan masalah. Namun sekali lagi bicaranya dipotong.

"Sudahlah! Kalian! Apa yang harus kita harapkan daripada seorang temenggung yang berjaya memegang jawatan bukan berdasarkan kebolehan sendiri, malah kerana pangkat belaka! Ayuhlah pulang! Lelaki ini tidak layak diberi penghormatan!" Tiba-tiba satu lagi suara lain kedengaran dari kalangan penduduk biasa.

Sungguh Arjuna tidak punya tempat di hati rakyat biasa. Memandangkan dirinya yang merupakan rakyat marhaen diambil menjadi anak angkat Ratu Melawati, hal ini menimbulkan ketidakpuasan hati ramai pihak. Sehingga mereka menyebar fitnah mengatakan Arjuna menjawat jawatan sebagai Temenggung Tarawangsa hanyalah kerana pangkat dirinya yang rapat hubungannya dengan Tuanku Ratu Melawati.

Sedangkan hakikatnya, Ratu Melawati sentiasa adil dalam tugasnya. Arjuna dipilih bukan atas dasar sebagai anakandanya namun kerana kebolehan Arjuna sendiri dalam menjalankan tugas dengan jujur dan amanah.

Hasad dengki rakyat sendiri lah yang membawa kepada pergaduhan dan penyeberan fitnah tentang Arjuna. Atas sebab itulah temenggung Tarawangsa ini sentiasa merendah diri dan tidak menguar-uarkan pengorbanannya yang tidak terhitung dalam mengekalkan keamanan buat Tarawangsa.

Sungguh rakyat biasa tidak mengetahui namun Arjunalah yang sentiasa menjaga mereka selama ini. Pemuda itulah yang sentiasa menghalau segala pemberontak dan penjurit mahupun sesiapa sahaja yang bakal mengancam keselamatan rakyat Tarawangsa. Biarpun dia dibenci dan sering dihina rakyat, tugasnya tetap dilaksanakan sebaik mungkin tanpa hati ini menyimpan dendam terhadap mereka.

Mendengarkan ketua mereka dicaci sebegitu rupa, tentera Tarawangsa di bawah pimpinan Arjuna bertindak bertikam lidah dengan para penduduk.

"Woi! Jangan kau hina Tuan Arjuna!" Laung salah seorang tentera yang sudah lama menahan sabarnya melihat tuannya diberi layanan sebegitu rupa. Sungguh teramatlah dia tidak bersetuju dengan tingkah laku rakyat yang tidak mengetahui apa-apa itu.

Dusta Puteri PalsuDonde viven las historias. Descúbrelo ahora