Sunyi suasana seketika itu dimusnah dengan kehadiran Sang Jentayu yang tiba-tiba mendarat di sisi mereka.

"Assalamualaikum. Sepertinya sudah berbaik ya kalian berdua?" Belum apa-apa sudah menyoal perkembangan mereka berdua. Kedua Merpatika dan Dahlia hanya tergelak kecil membalas bicara Jentayu.

"Apakah perkembangan latihan kau pula Dahlia? Apakah semuanya berjalan lancar?" Pandangan Jentayu kini beralih ke arah Dahlia pula. Matanya menangkap busur dan panah yang berada dalam genggaman Dahlia itu.

"Masih dalam cubaan tanpa henti." Sahut Dahlia seraya tersenyum.

"Tunjukkan perkembangan kau pada Jentayu." Merpatika bersuara mengarahkan Dahlia membuat cubaanya sekali lagi di hadapan Jentayu pula.

"Baiklah." Dahlia segera mengambil posisi nya. Busur dan panahnya juga berada dalam keadaan sedia. Segala sudut dan arah sudah dia hitung berkali. Sunyi seketika seluruh suasana hutan tatkala semua mata tertumpu pada Dahlia dan ke mana arah panahan itu bakal meluru. Masing-masing menanti penuh setia.

Zup!

Panahan dilepaskan. Biarpun panahnya gagal terpacak dengan tepatnya pada sasaran, namun tetap panahannya berada dalam lingkungan antara titik pertama dengan titik kedua cakaran Merpatika di pohon tadi. Tuntasnya, semakin cekap dan tajam penglihatan gadis itu berlatih tanpa henti sedari tadi.

"Wah! Bagus juga kemahiran kau ya! Bagaimana kau lakukan semua itu?" Soal Jentayu teruja melihat perkembangan drastik Dahlia.

"Terima kasih. Aku hanya menggunakan ilmu yang dipelajari di zaman Ku." Balas Dahlia tersenyum nipis sambil hatinya segera beristighfar risau bangga menapak kembali di hati sekali lagi.

Jentayu menunjukkan riak wajah terpana benar-benar teruja mendengar bicara Dahlia itu. Ternyata ada ilmu sebegitu hebat sehingga dapat menyasarkan sasaran dengan tepat! Sungguh menakjubkan!

"Beruntunglah Si Merpatika ini ya, dapat anak murid cerdik seperti Dahlia." Balas Jentayu sambil mengerling ke arah Merpatika di belakang Dahlia. Namun Si Apam itu seolah malas mahu menghiraukan perli canda Jentayu itu. Wajahnya dipalingkan memandang ke arah lain sambil mendengus kecil.

"Teruskan berlatih Dahlia, aku ingin terus kekal di sini melihat perkembangan kau. Sekiranya kau berjaya membuat cubaan berjaya dengan banyaknya, akan aku sukarela mencarikan makanan buat kita bertiga hari ini." Sambung Jentayu lagi sebelum mengambil tempat berteleku di bawah sebatang pohon besar yang tinggi dan redup.

"Wah benarkah? Baiklah. Usah ditarik kembali janji kau ya!" Sahut Dahlia penuh bertenaga. Merpatika pula berdiri di sisi gadis itu dengan sedikit jarak bagi memastikan anak muridnya melakukan tugasan dengan baik. Sekiranya tersilap, akan segera dia betulkan.

Ketiga-tiga sahabat itu kini melakukan kerja masing-masing sambil menikmati keindahan hutan berserta bayu yang menyapu lembut wajah mereka.
_______________________•••____________________

Segerombolan manusia kini berpusu-pusu datang memenuhi seluruh kawasan yang dikenali sebagai Taman Mawar Buyung itu. Kebanyakannya merupakan tentera di bawah pimpinan Temenggung Tarawangsa, Arjuna Akasia dan hanya segelintir kecil daripadanya merupakan beberapa pemuda yang ingin turut sama menyertai mereka pada petang itu.

Arjuna menyampaikan amanatnya kepada Awi selaku naib ketua yang selalu menjadi pengganti Arjuna sekiranya pemuda itu harus melaksanakan urusan lain. Awi diarahkan untuk menyebarkan kepada orang ramai khususnya tentera bawah pimpinan Arjuna sendiri untuk ke Taman Mawar Buyung pada petang ini.

Tujuannya adalah kerana Arjuna diarahkan oleh Ratu Melawati untuk menguruskan tenteranya bagi Keraian Setiga Serangkai yang bakal berlangsung dua minggu dari sekarang itu. Namun disebabkan Arjuna telah pun tercedera tempoh hari, pertemuan ini ditangguhkan hinggalah ke hari ini. Kini diri mereka hanya berbaki dalam seminggu lebih sahaja lagi untuk membuat persediaan bagi upacara keraian tersebut.

"Ini ramai sungguh Awi! Kau menyebarkan kepada seluruh Tarawangsa kah?" Terkesima Arjuna melihat berduyun-duyun penduduk datang hingga hampir padat kawasan itu dibuatnya.

"Aku juga tidaklah menyangka sebanyak ini. Tempoh hari aku hanya menceritakan hal ini kepada dua tiga penduduk biasa sahaja. Selebihnya diuarkan hanya kepada barisan tentera." Balas Awi pula menggaru-garu jambangnya.

"Tidak mustahil dua tiga orang penduduk itu telah menyebarkan berita ini kepada penduduk yang lain sehingga sebegini ramai jadinya." Megat menyambung bicara Awi. Mata masing-masing tertumpu memandang kedatangan puluhan manusia ke kawasan tersebut.

"Jikalau sebegini ramai, bahkan bahtera besar pun tidak mampu membawa kesemuanya." Iskandar menyambung. Dia tahu tuan rumahnya bagi keraian tersebut adalah di Wantachitra, tanah airnya sendiri dan kesemua yang hadir hari ini adalah kerana mahu membuat persiapan bagi beberapa pertunjukkan yang akan dilaksanakan di keraian itu sendiri sebagai wakil dari Tarawangsa.

Setiap kerajaan akan hadir bersama para tenteranya bagi membuat pertunjukan masing-masing dan memeriahkan lagi suasana majlis. Memandangkan mereka akan hadir sebagai tetamu, adalah lebih baik jika tiba ke sana menggunakan kapal besar kerana itulah yang sering dilakukan oleh mana-mana pihak.

Kerana kebiasaanya, tetamu akan disambut dengan baik di pelabuhan kerajaan tuan rumah itu sendiri.

"Sepertinya kita harus menggunakan jalan darat pula tahun ini. Tetapi tetap tidak boleh sebegini ramai." Arjuna kemudiannya bergerak ke tengah kawasan bagi menguruskan kesemua penduduk yang hadir. Langkahnya diikuti oleh sahabatnya yang lain.

"Eihh kau kenapa sibuk memegang sampin aku ini!" Dengus Iskandar separa berbisik kepada Ratna yang menyukarkan langkahnya. Riak wajahnya diubah menunjukkan seolah-olah dia marah benar akan gadis kecil itu namun sebenarnya marahnya hanyalah sekadar bersahaja.

Tangan kecil Ratna ditarik agar melepaskan sampinnya itu lalu segera Iskandar memimpin gadis kecil itu bersamanya. Terkedek-kedek Ratna berjalan di sisi Iskandar.

Arjuna kini berdiri di tengah-tengah kawasan lapang yang luas itu sambil menanti kesemua penduduk tiba memenuhi ruang hingga ke hadapan.

"Firasatku mengatakan mereka tidak akan semuanya mampu mendengar suaraku walau bagaimana lantang aku berlaung. Nara, arahkan mereka untuk duduk terlebih dahulu." Arjuna meminta bantuan Nara yang punyai suara jauh lebih kuat berbandingnya.

"SEMUA YANG HADIR DIMINTA DUDUK DAN MENGUNCI MULUT MASING-MASING!!!" Bergegar seluruh kawasan lapang itu dengan laungan kuat suara lantang Nara. Entah apa yang ditelannya sehingga suara sebegitu kuat dan mampu didengari semua.

Sebaik sahaja mendengar laungan lantang Nara, kesemuanya segera mengambil posisi masing-masing untuk duduk di atas lantai rumput. Tiada yang kisah tentang kotornya atau apa sahaja kerana sudah menjadi kebiasaan mereka melakukan semua itu.

Kini yang berdiri hanyalah Arjuna dan sahabatnya manakala penduduk lain telah pun melabuhkan punggung di atas permaidani rumput yang indah. Sebilangan besar daripada mereka yang merupakan tentera pimpinan Arjuna duduk di bahagian kanan Arjuna manakala bahagian kiri dipenuhi penduduk tidak diundang.

Memandangkan keadaan sudah tenang, Arjuna mula membuka bicara.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now