Dahlia terpinga-pinga memandang Merpatika. Dia langsung terlupa akan kisah itu namun tatkala Merpatika sudah mula membuka cerita, dia tidak sempat bertanya melainkan hanya diam memasang telinga kerana sudah lama hati ini ingin mengetahui tentang itu.

"Kenapa tiba-tiba kau memberi tahu Ku tentang itu?" Soal Dahlia. Tidak pula dia bertanya soal kisah asal usul nama tasik itu kerana sangkanya Merpatika mahu membicarakan tentang hal berbangga diri sebentar tadi.

"Mata yang kau peroleh sudah melebihi 40. Bukankah ini ganjaran yang aku janjikan buat kau?" Merpatika membalas menyebabkan Dahlia tersentak.

'Apakah si Apam ini memerhatikanmya sedari tadi?' Hati kecilnya bermonolog sendiri. Segan apabila menyedari tingkah lakunya diperhatikan sejak awal lagi. Sudahlah dia menangis tidak tentu fasal. Runsing memikirkan di mana mahu menyembunyikan wajah ini.

Namun gadis itu kekal membisu sambil tersenyum kelat. Segannya menguasai diri. Rasa seperti mahu sembunyi dalam lubang tanah paling dalam.

"Apakah bicara Ku terlalu memedihkan?" Merpatika menyoal walaupun pada hakikatnya dia sudah mengetahui tentang itu. Mana ada jiwa yang tidak terasa diherdik sebegitu rupa namun Dahlia berbeza sedikit berbanding yang lain.

Dia tahu gadis itu mampu mengubah bicaranya menjadi nasihat dan pembakar semangat buat diri. Atas sebab itulah dia sebegitu kasar dengan gadis itu kerana hanya Dahlia yang boleh menghadam katanya dengan baik. Sekiranya dia lakukan perkara yang sama dengan orang lain, mahu dia dibenci semua orang.

"Pedih sedikit namun bermanfaat bagi Ku." Balas Dahlia tersenyum simpul. Hatinya tidak menyimpan sebarang dendam walau sebesar zarah pun terhadap Merpatika. Malah gadis itu sungguh berterima kasih atas teguran penuh bermanfaat itu.

Sebatang pohon yang sudah menjalar dalam ke tanah akarnya, tidak boleh dicabut dari tanah itu sekiranya usaha hanya lemah lembut dan gemalai. Pohon itu harus direntap dengan kuat barulah dapat mencabutnya bersama akar keluar dari tanah.

Atas sebab itulah Merpatika mengherdiknya sedikit kasar tadi kerana biarpun nyilu pedih terasa saat akar itu direntap kuat, namun sakitnya jiwa dengan panahan kata itu akan menyebabkan Dahlia tidak akan mengulangi kesilapan yang sama sekali lagi kerana terimbau kepedihan jiwa tatkala sedang cuba membersihkan hati.

Soal hati dan jiwa ini memang perlu berkeras sedikit kerana sungguh teramatlah sukar bagi menjaga daging seketul ini daripada sifat-sifat mazmumah datang bertandang menapak di jiwa. Pasti ada sahaja syaitan yang membisikkan kata puji-pujian di telinga seseorang anak Adam itu bagi menimbulkan bangga, sombong, bongkak dan sifat kotor yang lain.

Sungguh Allah telah berfirman,

۞ مَآ اَشْهَدْتُّهُمْ خَلْقَ السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِ وَلَا خَلْقَ اَنْفُسِهِمْۖ

Aku tidak menghadirkan mereka (Iblis dan anak cucunya) untuk menyaksikan penciptaan langit dan bumi dan tidak (pula) penciptaan diri mereka sendiri.

{Surah Al- Kahfi, 18:51}

Sungguh Syaitan sudah berjanji akan menyesatkan anak-anak Adam sehinggalah hari kiamat. Maka tugas kita sebagai manusia hanyalah menepis segala godaan dan bisikan syaitan sehabis baik agar tidak terjerumus sama ke dalam kancah dosa yang direka makhluk terkutuk ini.

Merpatika tersenyum nipis mendengar bicara Dahlia. "Maafkan aku mengherdik kau sebegitu rupa. Niatku hanyalah memastikan tidak terpesong hati dan pemikiran anak murid ku yang seorang ini." Balas apam putih itu lagi. Senyumannya manis menghiasi wajah comelnya.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now