Segala persoalan ini bermain-main di fikirannya. Sukar tidak terungkap dek kata apabila tiada rangkaian internet pada zaman ini. Tidak dapat dia mahu merujuk Google.

Dalam keadaan Dahlia leka melakukan pelbagai cubaan berlatih tanpa henti, dirinya sedang diperhatikan oleh satu susuk tubuh manusia. Mata lelaki misteri itu merenung Dahlia penuh curiga cuba memastikan wajah gadis yang dilihatnya itu.

Mirip benar dengan Tuanku Puteri Seri Dahlia. Matanya dikenyitkan sedikit merenung gadis itu dengan lebih lama. Sukar untuk dia melihat wajah gadis itu sepenuhnya memandangkan dia hanya dapat melihat dari belakang. Segala gerak-geri Dahlia diperhatinya penuh teliti cuba memastikan kebenaran penglihatannya itu.

"Tuanku..." Perlahan kata itu meniti di bibir Rum Aspalela.
_______________________•••____________________

"Hei gadis kecil, apa yang kau menyibuk di sini hah?" Sakat Iskandar mencebik memandang Ratna di sisi Arjuna. Sangkanya Arjuna hanya mengajaknya sahaja ternyata dibawa juga si gadis kecil ini bersamanya. Entah ke manalah pemuda itu mengheret mereka.

"Aku diundang terlebih dahulu sebelum kau, ya!" Ratna membalas sambil turut sama mencebik sebagai respons terhadap bicara Iskandar itu.

"Apa?" Pandangan Iskandar kini bertukar ke arah Arjuna pula. Jelas terserlah kecewa pada riak wajahnya kerana sangkanya hanya dirinya yang diundang turut serta dalam pengembaraan Arjuna itu namun ternyata ada insan lain diajak bersama.

Arjuna tersenyum manis tergelak kecil. "Apa salahnya, dia tidak mahu terperap di istana, maka aku bawalah dia bersamaku."

Iskandar mendengus geram. Sengaja dikeraskan lagi dengusannya itu menunjukkan ketidakpuasanhatinya yang hanya sekadar bercanda. "Iyalah iyalah, jadi ke mana kau mengheret kami berdua ini?" Segera Iskandar mengubah topik. Matanya melilau memandang kawasan sekeliling.

Sepertinya mereka berada di sebuah kawasan yang tidaklah di dalam hutan namun tidak juga di tengah bandar. Di manakah mereka? Kaki ini sepertinya bertapak di atas sebidang tanah kosong yang luas dengan hanya kehadiran mereka bertiga di situ.

"Tunggu sebentar. Mereka akan tiba sebentar sahaja lagi." Ujar Arjuna membalas kata Iskandar.

"Mereka? Sia-" Belum sempat bicaranya habis, tiba-tiba satu susuk tubuh manusia cuba menyerang mereka bertiga dari belakang. Arjuna segera mengelak sambil menjadikan dirinya sebagai penghadang kepada Ratna di sisinya itu. Iskandar turut sama mengelak sambil melangkah ke belakang beberapa tapak.

Keris terpacak di udara.

Seluruh suasana sunyi seketika. Ketiga-tiga Arjuna, Iskandar dan Ratna sudah berada dalam keadaan menghadap ke arah Si Misteri yang bertopeng sambil masing-masing separa bersiaga manakala keris si misteri pula hanya berjaya mencucuk udara dan dia tidak pula bergerak untuk menyambung serangannya.

Pawana laju menampar wajah masing-masing selepas serangan Si Misteri menghasilkan tolakan angin yang separa kuat bagai mahu menolak ketiga-tiga insan itu. Iskandar mengerling memandang Arjuna yang masih sedang menghadang Ratna di belakangnya namun pemuda itu tidak mengerling kembali. Pandangan Arjuna tidak sedikit pun berganjak dari memandang Si Misteri dengan penuh tajam

Tumpuan penuh diberikan terhadap Si Misteri agar segala gerak-gerinya mudah dibaca Arjuna dengan pantas. Tangan Iskandar masih mengenggam hunusan pedangnya tanpa sempat ditarik keluar pedang itu.

Dia masih menanti tindak balas Arjuna terlebih dahulu memandangkan gadis kecil bersama mereka ketika ini. Tidak boleh dia lakukan sewenangnya kerana ciri sebenar Si Misteri masih tidak dapat dikenal pasti.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now