Sang Jentayu mengangguk perlahan memahami. "Jadi, siapakah si bunian misteri ini?" Dia mula melontar soalan.

Sekali lagi Ratu Gemala mendengus kecil terdiam sejenak dirinya mendengar soalan yang dilontar Sang Jentayu itu.

"Apa yang beta pasti, dia bukan dari Wantachitra. Entah dari mana beta tidak tahu namun memang benar dia bukan orang baik." Riak wajah Sang Ratu jelas berubah tatkala menyebut tentang bunian misteri itu.

"Apakan bunian misteri ini ada kemungkinannya ia menjadi ancaman buat kerajaan Tuanku, Hai Sang Ratu Che Tunggal Gemala?" Jentayu yang menyedari perubahan riak wajah itu segera meneka.

"Sepertinya begitulah." Balas Ratu Gemala ringkas. Pandangannya jatuh ke arah lantai istana. Bergelora minda memikirkan tentang pelbagai masalah kerajaan sendiri.

Jentayu hanya kekal membatu mengunci mulut menelan lidahnya. Sungguh dirinya berfikir sama ada harus dibantu Sang Ratu ini atau tidak memandangkan ianya dua alam yang berbeza. Namun akhirnya dia menemui kata putus. Urusan kerajaan orang usah dicampur tangan. Biarlah mereka sendiri yang menyelesaikannya.

"Ampun dipinta Tuanku seandainya kedatangan patik ke sini tidaklah datang bersama bantuan. Malah hanya sekadar ingin menyampaikan beberapa hajat." Jentayu membuka bicaranya semula.

"Tidak mengapa. Apakah hajat itu, Hai Sang Jentayu?" Ratu Gemala tersenyum nipis. Terserlah seri wajahnya saat bibirnya koyak dengan senyuman.

"Adalah bagus sekiranya Tuanku menghentikan tingkah laku Lela Sakti ini. Sungguh berada dalam pengetahuan patik bahawa Tuanku menelan rahsia ini adalah atas asbab tidak mahu menimbulkan kekecohan para pembesar berdarah raja tatkala mengetahui salah seorang daripada keturunan mereka sering membuat onar."

"Patik sedar akan hakikat itu namun ia tidak menjadi alasan bagi Lela Sakti dibiarkan begitu sahaja. Sungguh tidaklah patik bersetuju dengan tindakan pemuda ini menyembunyikan dan menyerang insan tidak bersalah sesuka hati atas dendamnya terhadap insan lain." Jentayu berhenti sejenak sebelum bicaranya kembali disambung.

"Jikalau Tuanku sudi terima, patik punyai satu buah fikiran tentang si bunian misteri itu." Bicara Jentayu menarik minat Ratu Gemala.

Benar tekaan Jentayu, Ratu Gemala segera berpaling memandang dengan penuh rasa ingin tahu. "Apakah buah fikiran itu?"

_______________________•••____________________

Dahlia mengetap bibirnya geram. Busurnya digenggam kuat. Hatinya berdarah ditusuk panahan kata Sang Merpatika.

Sungguh bergeloranya api amarah dalam jiwa ini bukanlah disebabkan dirinya dimarahi Sang Merpatika namun kerana pedihnya jiwa ini untuk menerima hakikat bahawa semua yang dibicarakan Merpatika adalah benar belaka. Berdarahnya hati mahu mencabut akar bangga ini.

Seharusnya dia tepis perasaan itu dari awal. Mungkin tatkala rasa bangga itu sedang tumbuh mekar, sangkanya sedikit sahaja bangga yang bertapak di jiwa namun pada hakikatnya, teramatlah besar pohon bangga itu tumbuh subur di jiwa. Ternyata selama ini dia hidup dalam keadaan berbangga.

Sungguh telah Allah berfirman,

ۗ اِنَّ اللّٰهَ لَا يُحِبُّ مَنْ كَانَ مُخْتَالًا فَخُوْرًاۙ

Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membangga diri.

{Surah An-Nisa, 4:36}

Sekiranya tidak tahu sedalam mana akar itu menjalar, cabutlah segera akar itu dan lihat bagaimana pedih rasanya. Saat itu barulah diri ini akan sedar betapa lamanya pohon bangga ini kekal subur dan mekar di jiwa.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now