Bunyi cengkerik masih lagi menghiasi suasana alam sejuk dan damai itu serta keindahan malam bertambah dengan iringan suara Iskandar dan beberapa jemaah yang lain melantunkan zikir memuji Allah.

Seketika kemudian tangan diangkat, doa dilantunkan sang lidah. Berbicara dengan Ilahi memalitkan tenteram dalam jiwa, menghadirkan tenang tiada penghujungnya. Mendayu-dayu lantunan bacaan doa Iskandar memenuhi seluruh ruang surau penuh damai itu.

Terasa dekat diri ini dengan-NYA saat khusyuk bertakhta dalam diri memberi sepenuh tumpuan dalam perbualan bersama Allah. Masing-masing bertafakkur sepenuhnya mengadu pada-NYA yang paling memahami segala hati.

Doa dihabiskan dan tangan disapu ke seluruh muka. Selawat dinasyidkan beramai-ramai sambil masing-masing bergerak bersalaman dengan para jemaah yang lain. Ratu Melawati hanya bersalaman dengan jemaah wanita sahaja iaitu Delima dan Ratna.

Kesemua hulubalang kemudiannya keluar bertukar giliran dengan hulubalang lain bagi menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Hanya tinggal Arjuna dan Iskandar sebagai kaum Adam di dalam surau itu. Mereka bergerak duduk di penjuru surau memberi ruang kepada hulubalang lain yang bakal tiba untuk melaksanakan kewajipan mereka.

Kitab suci Islam berada dalam tangan masing-masing ingin memanfaatkan waktu sehabis baik sementara menunggu isyak menjelma.

Arjuna melangkah keluar surau diikuti Iskandar. Hati ini terasa mahu membaca kitab suci itu di beranda masjid bagi memperoleh sepenuh ketenangan.

Sungguh sudah menjadi kebiasaanya solat di dalam hutan atau di mana-mana tempat yang diselimuti alam semulajadi saat dia menjalankan tugasnya sebagai Temenggung Tarawangsa. Hingga alam bagaikan sudah sebati dengan dirinya.

Ratu Melawati kekal di dalam surau. Beliau mengadakan usrah kecil antara kaum Hawa sahaja memandangkan kali ini ada Ratna di sisi. Gadis kecil itu harus dididik sehabis baik memandangkan kedua ibu bapanya sudahpun hilang entah ke mana, pasti tiada yang mahu mendidiknya menjadi seorang insan berjaya.

Selesai usrah kecilan itu berlangsung, isyak masih belum menjelma maka Ratu Melawati berniat menasmik bacaan quran Ratna.

"Alamak, Tuanku, maafkan hamba. Wuduk hamba sudah terbatal. Izinkan hamba mengundur diri sebentar untuk menyempurnakan wuduk sekali lagi." Ujar Ratna yang masih tidak fasih berbicara istana apatah lagi dengan pemimpin Tarawangsa sendiri.

Ratu Melawati hanya tergelak kecil seraya membenarkan gadis itu keluar mengambil wuduk semula. Langsung tiada kisah tentang bahasa istana Ratna yang tunggang terbalik itu kerana kanak-kanak itu masih kecil malah tidak pula dia ke sekolah.

Lagipula dia tidak hairan sekiranya orang tidak menggunakan bahasa istana sepenuhnya ketika berbicara dengannya tentang hal selain pentadbiran. Padanya, dia hanyalah insan biasa maka tidak perlu diberi sepenuh penghormatan kepadanya.

Kini tinggal Ratu Melawati dan Delima sahaja di ruang solat wanita itu tatkala Ratna melangkah pergi meninggalkan mereka.

"Apakah perkembangan tugasan kau, Delima?" Si Ratu membuka topik tentang pencarian tentera serba hitam itu.

"Gagal bonda. Ketuanya berjaya melarikan diri. Puas juga ahmad mencari serata hutan namun tidak dijumpai." Delima mengeluh perlahan. Beratnya bebanan di hati memikirkan ketuanya masih belum mendapat balasan setimpal atas apa yang telah dilakukan.

Ratu Melawati mengusap perlahan belakang Delima memberi semangat kepada anakandanya itu. "Usah risau, pohon sahaja pada Allah agar dipermudahkan segala urusan kau. Dia pasti membantu. Sungguh Tuhan tidak akan pernah mengecewakan kau."

"Pasti ada hikmahnya mengapa masih belum tertangkap si pesalah itu sedangkan kesalahannya berada dalam pengetahuan Ilahi. Sekiranya Allah ingin beri kau peluang menghabisinya, pasti segala sihir yang dilakukannya tidak akan berhasil sedikit pun."

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now