Sekiranya sukar untuk dapatkan ketenangan, ingatlah Allah. Sudah Dia berfirman:

اَلَا بِذِكْرِ اللّٰهِ تَطْمَىِٕنُّ الْقُلُوْبُ ۗ

"Ingatlah,hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram."

Solat atau berzikirlah atau gunakanlah apa sahaja cara yang terbaik bagi mengingati-NYA, pasti ketenangan akan kau peroleh.

Sang Merpatika kemudiannya melebarkan sayapnya ingin menuju ke arah Dahlia bagi melangsaikan hutang maaf.

_______________________•••____________________

Arjuna memalingkan tubuhnya ke kiri mengelak serangan pantas si bunian. Dasar bunian licik, menggunakan jalan mudah kerana tidak mampu bertarung tenaga dengan Arjuna.

"Pasti kau tertanya bagaimana aku bisa menyamar seperti wanita itu ya?" Si bunian menyeringai besar. Ketawanya memenuhi segenap ruang hutan.

Sungguh mana mungkin dia boleh menyerupai seseorang yang tidak dia kenali. Benar persoalan itu bermain di kotak minda Arjuna namun pemuda itu kekal membisu tidak ingin berbalas bicara dengan bunian tersebut.

"Ya benar tekaan kau, aku tidak mengenalinya. Namun dia mirip Tuanku Puteri Seri Dahlia." Seolah-olah membaca buah fikiran Arjuna si bunian melontarkan jawapan.

"Aku melihatnya berada di pergunungan ini. Sengaja aku menyerupai dia dengan niat memberhentikan kau kerana tahu kau tidak menyakiti wanita. Namun dapat aku lihat dari riak wajahmu, bahawa kau mengenali gadis ini lebih daripada sekadar seorang puteri." Si bunian mengekek tanpa henti.

Pergerakannya tetap lincah biarpun dalam keadaan berbicara. Arjuna hanya mampu menggunakan kemahiran pertahanan dan masih menunggu masa sesuai untuk melakukan serangan balas. Darahnya yang mengalir tanpa henti melemahkan seluruh tubuh akibat kehilangan terlalu banyak darah.

Arjuna mengawal atur pernafasannya dengan lebih baik agar lukanya dapat sembuh sebentar. Ada teknik yang dipelajarinya untuk menutup lukanya sebentar ketika dalam pertempuran sementara masih belum mampu menerima rawatan.

"Dia Tuanku puteri. Wajah dan air muka mungkin boleh berdusta namun tidak bagi mata. Cara kau memandangnya adalah dengan pandangan penuh kasih. Siapa Tuanku pada kau?" Sekali lagi si bunian mengajak Arjuna melontarkan bicara namun pemuda itu kekal diam membatu.

Hanya pergerakan menjadi respons kerana mulutnya dikunci sehabis baik tidak mahu lidah melontarkan kata.
_______________________•••____________________

Dahlia berjalan pantas sambil menghendap secara rahsia cuba mencari arah bunyi pertempuran itu. Langkahnya terhenti apabila dia menyaksikan sebuah pertempuran hebat. Dua orang sedang bertempur laju dan pantas hingga tidak mampu kelibat mereka ditangkap mata kasar Dahlia.

Gadis itu hanya bersembunyi di sebalik sebuah pohon besar kerana takut kehadirannya disedari. Sungguh menakutkan. Pertempuran itu bukan sahaja berpijak di tanah malah bermain hingga ke udara dan dahan-dahan pokok.

Dahlia hanya memerhatikan dengan mulut terlopong luas. Risau terbit di hati kerana sepertinya pertempuran itu tidak akan berakhir dengan baik. Sekiranya salah satu pihak memerlukan bantuannya, sudah tentu dia masuk campur membantu sama akan tetapi kemahiran seni pertarungannya sahaja tidak mampu menyelamatkan diri sendiri, inikan pula mahu membantu orang lain.

Lama kelibat dua insan itu diperhati Dahlia. Semakin lama pertempuran hebat itu tidak bergerak terlalu pantas. Mungkin akibat tenaga yang terhad melambatkan pergerakan kedua-dua insan tersebut. Semakin lama insan itu diperhati Dahlia, jiwanya bagai diketuk memori.

Salah seorang insan itu...

Seperti dikenalinya.

Arjuna terus-menerus mengelak, berpaling, memusingkan badan daripada membiarkan diri menjadi mangsa serangan bertubi-tubi penuh bertenaga itu. Sungguh lukanya yang sudah dia tutup guna teknik yang dipelajari, kembali terbuka memuntahkan sejumlah darah yang banyak.

Bibirnya tiada henti memohon pertolongan Ilahi. Tiada daya dan upaya lagi untuk bertempur dengan si bunian itu. Sebanyak-banyaknya doa dipanjatkan agar Dia memberikan bantuan dalam bentuk apa jua sekalipun.

Dahlia kekal kaku di belakang pohon besar. Firasatnya kuat mengatakan salah seorang insan yang sedang bertempur itu ialah Arjuna. Digagahkan dirinya untuk membuka langkah berganjak sedikit ke hadapan memastikan kesahihan firasatnya itu. Namun mindanya berbolak-balik menghalangnya daripada mengorak langkah kerana tidak seharusnya dia masuk campur dalam urusan yang dia tidak mahir.

Perlahan dia mengorak langkah memijak dedaun kering yang berada di lantai hutan sambil tangan kanannya tetap berpaut pada pohon tadi. Minda berkeras menghalang namun senandika pula berkata sebaliknya.

Si bunian terus menerus melancarkan serangan dari pelbagai arah selepas menyedari pergerakan Arjuna yang semakin kurang lincah dan pantas.

"Hei pemuda! Kenapa kau masih berkeras? Bukannya kau tidak tahu tujuan sebenarku mengajak kau kemari!" Dengus si bunian kasar. Dia hanya mahu Arjuna masuk ke dunianya sahaja. Salahkah?

'Salahlah sang durjana! Alam aku dan alam kau berbeza! Mengapa mahu aku meninggalkan duniaku sendiri?' Arjuna bersuara dari dalam hati bengang benar dengan soalan tidak berlesen yang diajukan sebegitu rupa.

Serangan lincah sang bunian tiba-tiba terhenti saat dia merasai kehadiran insan lain di situ. 'Siapa?' hati kecilnya berbicara.

Menyedari Arjuna cuba mengambil peluang untuk menyerang dalam diam saat dia terleka, si bunian bertindak melampiaskan sebuah serangan hebat. Dia menarik bahu Arjuna sambil ditumbuk dadanya kuat hingga pemuda itu terpelanting jauh ke belakang ke arah Dahlia berada.

Sengaja dia melemparkan Arjuna ke situ, ingin melihat respons insan tidak diundang itu.

Laju Arjuna tercampak ke belakang. Dahlia pula terpana apabila matanya menangkap kelibat insan yang berselisih dengannya tadi membenarkan firasat jiwanya.

Arjuna.

Dunia bagaikan terhenti tatkala dia melihat Arjuna terpelanting dalam keadaan cedera parah sebegitu rupa. Bunyi hentaman pemuda itu ke belakang menggegarkan suasana seluruh hutan. Bertempiaran lari kesemua burung yang bertenggek di dahan pokok.

Sungguh si bunian benar-benar tiada belas ihsan ketika melepaskan serangan terhadap Arjuna. Gugur air mata Dahlia sambil kakinya mengorak langkah pantas bergerak ke arah Arjuna.

Keadaan pemuda itu yang cedera parah lalu dihentak kuat mengaburkan segala pandangannya memisahkan dirinya dari dunia nyata membawa dia ke sebuah alam gelap.

Pitam. Akhirnya pemuda itu tidak menyedarkan diri. Namun saat kelopak matanya hampir terkatup rapat, dia menangkap kelibat seorang insan sedang datang berlari ke arahnya.

Mirip Dahlia.

Apakah dia hanya membayangkan atau itu benar-benar insan yang dirinduinya? Dia tidak tahu. Namun jika benar itu Dahlia, hatinya terpaut lega kerana akhirnya dapat bertemu dengan gadis itu lagi.

Semoga dia tidak diapa-apakan si bunian...

Senandika Arjuna perlahan berdoa sebelum dirinya hilang ke alam mimpi.

Dusta Puteri PalsuTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang