Dia ingin berlatih sendiri demi membuktikan kebolehan dan kemampuan diri sendiri agar si apam putih itu tiada lagi alasan mahu mencari pasal dengannya.

Laju Dahlia menuruni lerengan itu sehinggalah dia tiba ke suatu kawasan lurus menjunam ke bawah menuju ke hutan belakang itu.

"Wuish!" Terpana Dahlia melihat bagaimana menjunamnya lerengan di sisinya itu. Laluan di hadapannya harus dia teruskan namun sengaja dia mengintai sedikit kawasan itu. Sesiapa yang gayat pasti menjauh tetapi tidak bagi Dahlia. Terpalit sinar teruja di wajahnya terpesona dengan kebesaran alam.

Sungguh malang tidak berbau, sedang Dahlia dalam keadaan menjenguk kawasan itu, kakinya terpijak kayu besar di hadapannya menyebabkan dia terjelopok ke dalam kayu bersaiz sederhana besar itu laju menuruni lerengan menjunam.

"Ya Allah!" Spontan Dahlia melatah namun bibirnya mengukir senyum. Dia mencuba sehabis baik untuk berasa takut agar dia dapat lebih berhati-hati, namun keterujaannya yang memegang tampuk takhta di jiwa.

Laju serpihan kayu besar itu membawa Dahlia menuruni curam menjunam ke bawah. Gadis itu mungkin teruja namun dia tetap berwaspada. Dirinya memberi sepenuh tumpuan dan perhatian terhadap persekitaran sekeliling dan bersedia menghadapi sebarang ancaman.

Jikalau dia akan terpelanting jauh, pasti dia akan berpaut di mana-mana dahan pohon berdekatan bagi menyelamatkan diri. Berliku-liku jalan itu menyebabkan gadis itu bagaikan sedang naik roller coaster.

Benar sangkaan Dahlia, belum sempat dia tiba ke kawasan tanah rata, halaju tanpa had serpihan kayu itu menyebabkan dirinya terpelanting sedikit daripada kedudukan asalnya.

Deja Vu menyentak. Keadaannya jatuh begitu bergolek ke tanah hutan diselimuti dedaun kering sama seperti sebelum dia tiba ke sini. Dia kemudiannya bingkas bangun membersihkan keadaan dirinya semula. Dedaun kering disapu jatuh dari busananya. Pakaiannya ditepuk berkali-kali menjatuhkan habuk dan pepasir.

Dahlia memandang sekeliling. "Di manakah aku?" Baru menyedari bahawa dia berada di tempat yang salah. Kawasan hutan itu kelihatan lain sedikit berbanding hutan kaya buah tadi.

Sedang asyik mengamati kawasan hutan, telinga Dahlia menangkap satu bunyi yang datang dari suatu arah.

_______________________•••____________________

Satu keluhan panjang dilepaskan Sang Merpatika. Dia keluar dari tasik kecil itu. Sengaja memadamkan api amarah dengan merendam diri sebentar sambil menikmati bentangan jumantara luas memukau mata.

Alhamdulillah tenang jiwanya dihiasi kalimat suci yang memuji-NYA tanpa henti. Air tasik pula jernih bagaikan kristal benar-benar indah tidak mampu diungkap kata. Suasana hutan pula sunyi hanya dihiasi bunyi perlahan deruan pawana yang menyapu lembut wajah merpati putih itu.

Kakinya menapak keluar dari tasik perlahan-lahan sambil membawa titisan-titisan air keluar bersamanya membasahi lantai hutan yang dihiasi rumput. Dia mengibaskan tubuh sekuatnya bagi mengeringkan badan sendiri selepas berjaya memperoleh sepenuh ketenangan.

Hatinya akhirnya terbuka untuk membuang ego dan meminta maaf pada Dahlia atas kekasaran dan kesilapan tingkah lakunya.

Sungguh kunci kepada segala penyelesaian masalah ialah tenang. Tanpa tenang tiadalah mampu untuk minda menaakul dengan baik. Maka walau marah bagaimana sekalipun, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah bertenang.

Dengan bertenang, kita dapat berfikir dan membuat spekulasi dengan baik. Kesudahannya tiadalah keputusan yang dibuat terburu-buru akibat dipandu amarah.

Sungguh Islam itu indah. Bayangkan seluruh umatnya bertenang dalam apa jua keadaan? Pasti segala masalah dapat diselesaikan tanpa sukar menjadi penghalang.

Dusta Puteri PalsuWaar verhalen tot leven komen. Ontdek het nu