Sekeliling bulatan dilitupi pokok tebal yang bukan sebarang pokok tetapi semuanya merupakan pokok buah-buahan. Bagaikan ladang buah-buahan, sang pencinta buah pasti merasakan tempat ini ibarat syurga buat mereka.

Terpana Dahlia melihat seluruh isi hutan indah, bersih dan kemas serta dipenuhi dengan pohon buah-buahan yang terlihat enak hingga banjir air liur dibuatnya.

"Ambil sekadar mencukupi buat mengisi tenaga. Sekiranya kau tamak, kau tinggallah di sini seorang diri." Ujar Merpatika seraya berjalan ke arah pohon buah-buahan segar itu dan menjamah hasil kurniaan Tuhan itu.

"Tetapi, orang tamak selalu kenyang." Balas Dahlia bercanda sengaja menjengkelkan si apam itu lagi. Dia turut bergerak sama mendekati pohon-pohon yang tersusun berbaris dalam satu garisan.

Kawasan ini benar-benar sesuai untuk bermain kerana suasananya yang aman mendamaikan jiwa, menenangkan hati. Setangkai rambutan ditarik Dahlia lalu dijamahnya penuh lahap. Kebulur benar gadis itu hingga terabur segala adab makan malah doa pun lupa dibaca.

"Inikah ciri-ciri wanita yang ingin memegang takhta? Makan tanpa adab?" Bicara Merpatika membuatkan Dahlia tersedak.

Ditepuk-tepuk dadanya perlahan terkejut dengan persoalan itu. 'Iyalah, aku pun lupa aku harus berlatih menjadi puteri ganti...' Dahlia bermonolog sendiri. 'Mungkin ini juga adalah satu latihan.' Segera dia membaca doa makan dan mengubah tatasusilanya kepada lebih beradab. Biarpun sebenarnya banyak perkara yang tidak dia setuju dengan Merpatika, namun bicaranya tetap terselit nasihat yang wajar dituruti.

Sesungguhnya sekiranya seseorang memberi nasihat, walaupun kau membencinya, tetaplah pegang pada nasihat itu jikalau ada baiknya. Usah dipandang pemberi nasihat, hanya tumpukan pada nasihat yang dilontarkan sahaja. Nescaya kamu tidak akan tergolong dalam golongan orang yang rugi.

Suasana alam yang damai hanya dihiasi bunyi kunyahan kedua insan itu kini tercemar dengan persoalan yang dilontarkan Dahlia. "Aku mendengar bunyi aliran air. Apakah ada sungai berdekatan di sini?"

"Sungai memang ada tetapi jauh dari sini. Bunyi air yang kau dengar itu datangnya dari tasik berdekatan." Balas Merpatika seraya menghabiskan seulas manggis terakhirnya.

"Iyakah?!" Soal Dahlia teruja. "Aku mahu bergerak ke sana sebentar. Alam indah sebegini rugi jika aku tidak melihatnya."

Merpatika tidak menghiraukan. Langsung tidak kisah tentang gadis seorang itu. Paruhnya menarik seulas manggis yang lain. Kemudian baru dia membuntuti Dahlia.

Laju Dahlia mengorak langkah menuju ke tasik yang dimaksudkan. Setibanya dia di kawasan tersebut, matanya bersinar terkesima melihat indah benar ciptaan-Nya.
Tasik itu tidaklah sebesar Tasik Gerhana Berdarah namun tetap dihiasi ikan-ikan kecil yang seolah-olah menari di dalam air jernih itu.

Sekeliling tasik dikelilingi batuan besar. Sekali pandang bagaikan kawasan air kolam panas dalam fantasi fairy tales yang gemar dibaca Dahlia sewaktu kecilnya.

"Subhanallah..." Bibirnya melontar kalimah suci itu, benar-benar takjub dengan kekuasaan Allah. Sungguh Pergunungan Tasik Gerhana Berdarah benar-benar indah tiada tandingan.

Tangan kanannya dicelupkan sedikit ke dalam tasik. Jemarinya menari gembira menolak air jernih bersinar bagaikan kristal. Warna hijau biru cair tasik itu benar-benar memukau pandangan setiap pasang mata yang menatapnya.

"Eh Merpatika, tadi kau berjanji mahu menceritakan padaku tentang asal usul nama Tasik Gerhana Berdarah selepas kita tiba ke sini?" Kata Dahlia tiba-tiba teringat tentang perkara itu.

"Oh iyalah." Balas Merpatika pendek. Dia juga terlupa soal itu. "Apakah kau sudah habis makan?"

"Sudah, kenapa? Jangan kau tukar topik ya." Sahut Dahlia memberi amaran.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now