Tiada salam, tiada berkias, segera maklumat penting diberitahu. Alamat dan nama pengirim juga tiada.

Berkerut dahi Raja Sang memandang surat itu. 'Siapakah gerangan pengirim surat ini sekiranya bukan daripada perisik? Bagaimana dia memperoleh maklumat sebegini mahal?'

'Apakah...' Raja Sang terkesima.

"Apakah Wantachitra punyai pembelot?" Soalan baginda ditujukan kepada Wan Panji. Gembira bukan kepalang baginda menerima surat itu. Wan Panji terus tersedar daripada buaian mimpi indahnya. Terpisat-pisat dia bangun menggosok matanya terkejut dengan sergahan Raja Sang yang tiba-tiba itu.

"A..Ampun Tuanku, b..benar Tuanku. Eh- ah! Maksud patik, sekiranya benar Wantachitra punyai pembelot, maka Tuanku lah manusia paling beruntung buat masa ini!" Minda masih samar-samar akibat mabuk menghabiskan berbotol-botol minuman keras namun Wan Panji tetap dapat memberikan jawapan terbaik.

Senyuman sinis Raja Sang melebar.

"Wahai seluruh penduduk Sulantara! Berbahagia lah kalian sepuasnya pada malam ini kerana Beta baru sahaja menerima berita gembira bukan kepalang! Mulai hari ini, kalian semua harus bekerja keras kerana peluang bagi kita menawan Wantachitra sudah terbentang luas dan tiadalah perlu untuk kita menunggu lagi!!" Laungan garau penuh bertenaga Raja Sang berkumandang di seluruh kawasan Sulantara.

Serentak dengan itu seluruh rakyat bersorak gembira meraikan kemenangan yang masih belum pasti...

_______________________•••____________________

Sistem pemerintahan Wantachitra adalah berbeza dengan Tarawangsa. Sekiranya Tarawangsa mempunyai pembesar berempat, Wantachitra mempunyai adipati yang banyak bagi setiap negeri dan adipati yang paling berkuasa ialah mereka yang mempunyai lebih daripada lima buah negeri bawah pimpinannya seperti Rum Aspalela.

Memandangkan Iskandar, selaku ketua pengawal yang paling hampir dengan Puteri Seri Dahlia telah cedera parah dalam pertarungan beberapa hari yang lalu, Rum Aspalela selaku adipati yang dipercayai Sultan Muadzam Shah telah menawarkan diri untuk menyertai Arjuna dalam misinya mencari Puteri Seri Dahlia.

Perjalanan dimulakan di beberapa kawasan terdekat dengan sempadan tempoh hari kerana mereka sendiri tidak tahu mahu mencari Dahlia di mana. Arjuna pula harus berwaspada dan tidak membongkarkan rahsia tentang Dahlia yang hanya menjadi puteri palsu buat sementara waktu.

"Temenggung dari Tarawangsa, diarahkan untuk keluar mencari Tuanku Puteri Seri Dahlia, puteri Wantachitra?" Tersentak Arjuna dengan soalan tidak semena-mena dari Aspalela itu. Tunggangan kuda diperlahankan bagi mendengar bicaranya dengan baik.

Namun, Aspalela tidak pula menanti jawapan sebaliknya dia hanya cuba menimbulkan provokasi antara dia dengan Arjuna. "Kau tidak hairankah, Arjuna?"

Temenggung Tarawangsa itu hanya diam kekal membatu tidak tahu mahu jawab persoalan itu atau tidak. Dia sendiri tidak tahu jawapan apa yang mampu meyakinkan adipati itu.

"Aku diarahkan mencarinya kerana-" Baru sahaja Arjuna mahu memberitahu bahawa dia diarahkan kerana dialah yang menjumpai Dahlia dahulu setelah dia menghilang tiga bulan lamanya namun hampir terlupa dia bahawa adipati itu tidak mengetahui akan kehilangan puteri negerinya sendiri.

Benar-benar hilang akal mahu memberi respons apa.

"Kenapa kau tiba-tiba diam? Kerana apa?" Soal Aspalela lagi cuba mencungkil rahsia.

"Kerana aku gagal menyelamatkannya dalam perjalanannya ke sini tempoh hari sehingga menyebabkan dia hilang entah ke mana." Balas Arjuna pantas. Entah munasabah atau tidak responsnya itu, belasah sahajalah.

"Aaahhh..." Sahut adipati itu berpura-pura mengerti.

"Tuan Rum Aspalela, aku menghormatimu namun aku mohon agar sepanjang perjalanan ini janganlah kau menghujani aku dengan pelbagai persoalan yang tiada kaitan dengan misi ini." Segera Arjuna menjelaskan kerana jelas dia tidak gemar disoal itu ini.

"Baiklah, tidak akan aku ulangi perkara itu lagi, inshallah. Akan aku tumpukan sepenuh perhatian dalam misi pencarian ini. Lagipula, kita harus mendapatkan Tuanku Puteri sebelum majlis keraian yang bakal diadakan dua minggu dari sekarang." Balas Rum Aspalela.

Pada awalnya, dia tidak diberitahu tentang kehilangan Sang Puteri, namun disebabkan satu-satunya yang boleh dipercayai Sultan untuk bersama Arjuna hanyalah adipati Rum Aspalela, maka hal itu dikhabarkan kepada beliau. Akan tetapi, misinya ini haruslah diketahui oleh dirinya sahaja. Atas sebab itulah, hanya dia dan Arjuna sahaja yang bergerak mencari Dahlia tanpa dibantu orang-orangnya yang lain.

Berhari-hari mereka berpusing di sekitar kawasan hutan Wantachitra namun tidak menjumpai sebarang petunjuk tentang keberadaan Dahlia.

"Aku cadangkan kita bergerak ke pergunungan Tasik Gerhana Berdarah. Memandangkan pergunungan itulah yang paling hampir dengan hutan ini, tidak ada salahnya kita berikhtiar mencari di sana. Tambahan pula pencarian di sini menemui jalan buntu. Gerak hatiku juga berfirasat bahawa Tuanku Puteri berada di sana." Tiba-tiba Rum Aspalela bersuara.

"Benarkah? Baiklah jikalau begitu. Ayuh!" Segera Arjuna menendang kudanya mengarahkannya bergerak dengan lebih pantas.

"Ke manakah destinasi kita seterusnya sekiranya Tuanku Puteri tiada di situ?!" Soal Arjuna separa menjerit kerana mereka sedang menunggang kuda dalam keadaan pantas yang memerlukan intonasi suara yang tinggi untuk berbicara.

"Mustahil untuk Tuanku berada di tempat selain itu! Kerana kawasan sekitar lain dipenuhi sungai! Jangan risau aku yakin Tuanku berada di pergunungan itu!" Sahut Rum Aspalela pula. Kemudian dia bergerak lebih pantas mendahului Arjuna memandangkan dia lebih arif di kawasan itu.

Sempadan antara Tarawangsa dan Wantachitra dilitupi hutan tebal di mana kawasan itulah yang menjadi saksi pertarungan antara tentera durjana Perkasa dengan rombongan pengiring Dahlia.

Masih lagi di bahagian kawasan pantai barat, dari hutan sempadan itu berjalan terus menuju ke utara akan melalui sebuah lagi hutan kecil sebelum tiba di pergunungan Tasik Gerhana Berdarah. Memandangkan belah kiri hutan kecil itu adalah lautan dan belah kanan hutan itu pula jalan yang berliku-liku dan akan menyukarkan perjalanan sesiapa sahaja yang melaluinya, kebanyakan penduduk yang mahu ke pergunungan Tasik Gerhana Berdarah harus melalui kawasan hutan kecil itu untuk segera tiba ke destinasi.

Sedang leka menunggang terlalu pantas mendahului Arjuna, Rum Aspalela segera menarik kudanya untuk berhenti sebelum mereka mula mendekati kawasan hutan kecil itu.

"Arjuna! Aku lupa mahu berpesan pada kau bahawa jangan-" bicaranya terhenti tatkala dia menoleh ke belakang, Arjuna hilang.

"...mengeluarkan sebarang bunyi. Biarpun aku yang berbicara dengan kau kerana boleh jadi yang berbicara dengan kau itu bukan aku..." Rum Aspalela menyambung bicaranya sambil nafasnya sedikit tercungap menyedari Arjuna yang sudah hilang.

Kesal kerana atas kesilapan sendiri lupa memberi amaran kepada Arjuna lebih awal, kini pemuda itu sudah hilang dibawa bunian.

Hutan kecil itu mungkin merupakan jalan paling singkat dan mudah serta sering digunakan ramai penduduk. Namun, ramai juga penduduk yang tidak keluar dari hutan itu sejak memasukinya kerana dipercayai telah disembunyikan bunian.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now