Dahlia dipukau khusyuk leka dengan ibadahnya tidak menyedari kehadiran Sang Merpatika di atas puncak bukit yang sama. Burung merpati gergasi berbulu putih bak pualam itu hanya memandang Dahlia dengan pandangan garang. Walaupun sudah diberitahu tentang Dahlia oleh Sang Jentayu, si betina merpati itu tetap dengan perwatakan garang bagaikan harimau. Introvert barangkali.

  Matanya tajam merenung Dahlia bagaikan mahu tembus. Setapak demi setapak kakinya melangkah berjalan di sisi Dahlia cuma jaraknya agak jauh akibat terpisah oleh bentangan tasik yang luas.

  Selesai Dahlia menyelesaikan kesemua ibadah qada'nya, jiwanya diserang kejutan melihat kelibat Sang Merpatika yang merenungnya dari jauh. Comel. Biarpun tenungannya cukup tajam, kedudukan Sang Merpatika yang duduk berteleku bersama bulu putih lebatnya menampakkannya ibarat seketul apam putih yang sungguh comel.

  Tidak jadi Dahlia mahu takut. Berlainan dengan Jentayu, Sang Merpatika terlihat lebih tidak mesra namun diberanikan dirinya mendekati apam putih gergasi itu. Bulu sayapnya berwarna putih ibarat kapas namun hujungnya dihiasi campuran warna merah jambu bagaikan jambu batu. Paruhnya juga berwarna merah jambu. Benar-benar comel walaupun diterkam pandangan mautnya. Tiada yang gerun melihatnya jikalau wajahnya sebegitu rupa.

  Perlahan Dahlia menapak sedikit demi sedikit mendekati Sang Merpatika yang masih dalam keadaan berteleku sebegitu. Biarpun ditenung tajam, si merpati putih itu tetap tidak melarikan diri apabila Dahlia benar-benar berdiri di hadapannya.

  Dua mata bertembung. Seekor penuh tajam bagaikan pedang, seorang lagi penuh mesra. Lama suasana kekal sunyi. Masing-masing membatu.

  Dahlia memberanikan diri mengangkat sebelah tangannya mengusap kepala makhluk gergasi itu. Sang Merpatika sedikit mengelak namun dirinya kembali tenang selepas beberapa usapan dari Dahlia. Seketika kemudian cepat-cepat merpati putih itu melarikan kepalanya dari terus diusap Dahlia.

  Dahlia tersenyum manis memandang Sang Merpatika. Manja tetapi malu.
 
  "Assalamualaikum. Aku Dahlia." Dahlia mendahului perbicaraan.

  "Waalaikumussalam." Balas Merpatika sepatah. Namanya juga tidak disebut membalas salam perkenalan Dahlia.

  Suasana kembali sunyi. Parah. Masing-masing janggal begini sampai kesudah perbualan tidak akan ke mana.

  Malas mahu membuang masa, Dahlia terus membuka topik utama. "Nama kau Sang Merpatika bukan? Jentayu meminta kau melatih Ku dalam seni tarung selama dua minggu sebelum aku dibawa pulang ke istana sebagai puteri palsu."

  Lama Sang Merpatika merenung Dahlia  sebelum menoleh ke kirinya dan mendengus kecil. Benar-benar dia tidak mahu terlibat dengan gadis itu akan tetapi tidak sampai hati pula tidak menunaikan hajat Jentayu.

  "Bersiaga." Balas Merpatika sepatah.

  "Hah?" Dahlia terpinga tidak memahami. Namun sudah terlambat kerana merpati gergasi itu tidak mengulangi katanya dua kali. Terus dia membuka langkah menyerang Dahlia.

  'Sudahlah tidak berapa dengar suaranya. Cakap pula laju, tiba-tiba aku yang diserang. Dasar apam!' Bisik hati kecil Dahlia geram. Belum sempat apa-apa tiba-tiba diserang, mana mungkin dia tidak bengang.

  Sang Merpatika mula mengibarkan sayapnya luas sambil cuba menyambar Dahlia dari pelbagai arah. "Sekali kau disambar aku, kau tewas!" Jeritnya sambil terbang tinggi di udara.

  "Jangan menangis sekiranya badan kau luka dirobek kerisku!" Dahlia pula menyahut sambil tangannya mengenggam kemas kerisnya. Kekuda nya dibuka. Biarpun tiada ilmu pertarungan, berkat serangan sejak dia tiba ke sini, gerak-gerinya bertambah pantas dan lebih cekap.

  Pertarungan berlaku selama beberapa minit. Sang Merpatika tidak menggunakan seluruh tenaganya melihatkan kemahiran Dahlia bagaikan kanak-kanak baru belajar bertarung. Dahlia pula semakin tercungap cuba mengelak dari disambar Sang Merpatika.

  Pertarungan tetap berjalan hinggalah Dahlia bagaikan mahu putus nyawa. Nafasnya tercungap habis. Merpatika menggunakan peluang itu untuk menyambar gadis kerdil itu.

Shrikk!

Sang Merpatika berjaya menyambar Dahlia namun kakinya berdarah ditikam gadis itu. Memang Dahlia sudah mencapai tahap maksimumnya namun pertarungan tetap diutamakan. Helahnya memberi ruang burung gergasi itu menyambarnya supaya dia dapat membenamkan kerisnya di kaki Merpatika. Kini keputusan seri.

  "Diam-diam berisi kau, ya." Ujar Merpatika seraya meletakkan Dahlia kembali ke tanah. Biarpun kakinya berdarah ditikam keris, dia tetap bersahaja.

  Dahlia hanya membalas dengan senyuman. Entah kenapa, pertarungan berjalan tidak sampai beberapa minit tetapi tercungapnya lain macam. Jarang sekali perkara sebegini berlaku kerana sudah terang lagi bersuluh dia merupakan atlet di masa hadapan. Masakan dia tiba-tiba tercungap selepas latihan beberapa minit ini?

  "Apakah itu helah kau?" Merpatika bertanya sambil merawat luka di kakinya.

  "Tidak. Aku memang benar-benar tercungap entah kenapa. Tetapi jalan terakhir untuk aku menumpaskan kau adalah membenamkan keris itu ketika kau menerbangkanku tinggi ke langit udara." Nafasnya diambil sedalamnya agar dia boleh membalas bicara Merpatika itu.

"Maafkan aku sekiranya benaman kerisku terlalu dalam hingga memberi luka parah pada kau." Pertarungan tetap pertarungan namun maaf tetap dipinta agar Merpatika tahu Dahlia bukan sengaja melakukan itu.

Merpatika menggeleng perlahan memberi isyarat dia tidak kisah akan hal itu. Dahlia mungkin tidak pandai bertarung, malah kemahiran juga ibarat kanak-kanak namun semangatnya bertarung adalah tanpa mengenal erti putus asa. Biarpun nyawanya bagai dihujung tanduk sebentar tadi dia tetap meneruskan pertarungan dan berusaha meraih kemenangan hingga ke akhirnya.

Sang Merpatika merenung Dahlia dalam. 'Dia mampu cuma kemahirannya perlu diasah.' hati kecil merpati putih itu bermonolog sendiri.

  "Mulai hari ini, kau harus mengikuti aku ke mana sahaja aku pergi. Jikalau kau lambat, kau harus pulang sendiri." Kata Merpatika kembali berdiri seperti biasa.

"Apa?!" Dahlia terkesima. "Ikuti engkau? Mana mungkin! Kau boleh terbang, aku mana boleh!" Sahut Dahlia separa menjerit. Sudah gilakah si apam putih ini?

"Cari cara untuk kau mampu mengikuti aku biarpun tanpa sayap." Balas Sang Merpatika sebelum dia mula mengibarkan sayapnya luas.

"Sebentar!!" Jerit Dahlia kuat. 'Tidak tahu sabarkah si apam ini?' hati kecilnya bermonolog sendiri. "Sekarangkah Merpatika?" Baru sahaja habis tercungap sudah harus mengerahkan tenaganya kembali? 'Aku ini masih belum sembuh lukanya, tahu?!' geram Dahlia dibuatnya.

"Kau tidak mahu makankah?" Soalan Sang Merpatika membuatkan Dahlia tersentak. "Tugas pertama kau, ikut aku sekarang. Kita mahu mencari makanan di hutan bawah sana. Kalau tidak engkau kebulur nanti bagaimana?" Lah, ada perikemanusiaan juga apam ini. Ingatkan garang tidak beringat.

Dahlia terkesima seketika. Benar dia lapar tetapi bagaimana dia mampu ikut Sang Merpatika tanpa dia juga bisa terbang? Merunsingkan betul perangai merpati apam ini.

"Sebelum kita mulakan perjalanan, bolehkah aku bertanya. Apakah nama tempat ini? Indah sungguh memukau mata." Dahlia cuba menukar topik.

"Tasik Gerhana Berdarah." Balas Sang Merpatika pendek cuba mematahkan cubaan menukar topik Dahlia. Sayapnya kembali dikibarkan luas cuba bersedia untuk terbang namun sekali lagi Dahlia menghalangnya.

"Uish! Kenapa sampai Berdarah bagai namanya?" Usaha tangga kejayaan. Bagus benar prinsip Dahlia.

Merpatika merenung Dahlia tajam. 'Rasa seperti mahu hempuk pun ya juga, minah ini.' hati kecilnya berbisik geram.

"Kau bukankah mesra benar dengan Jentayu? Dia tidak memberitahu kau asal usul nama tempat ini?" Balas Merpatika sinis.

"Hmm? Nama tempat ini pun tidak dia khabarkan pada aku." Sahut Dahlia.

Merpatika berkerut. "Benarkah?"

"Apakah dia tidak memberitahu kau tentang saudaranya, Garuda?" Ujar Merpatika lagi.

"Garuda? Aku tahu tentang saudaranya itu. Kenapa? Apa kaitannya dengan nama tempat ini?" Soal Dahlia hairan. Ada rahsiakah di sebalik nama Tasik Gerhana Berdarah ini?

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now