Jentayu terdiam sejenak. "Iyakah?" Dahinya berkerut.

  Suasana kembali sunyi. Pandangan Jentayu beralih ke arah Dahlia. Gadis itu ditatapnya lama. Seketika kemudian dia bagaikan disambar ilham. Posisinya dibetulkan dan matanya terus memandang Dahlia. Idea yang baru diterimanya benar-benar mengejutkan.

  "Dahlia." Panggil Jentayu.

  "Iya, Jentayu?"

  "Kau-..."

  "Aku rasa yang dikatakan dalam sejarah itu adalah engkau... dan bukannya puteri sebenar." Jentayu menyuarakan ilhamnya yang baru dia dapat tadi.

  Dahlia tercengang. "Haaa?? Apa kau mengarut ini? Mana mungkin itu aku!" Dia menidakkan.

  "Iyaa... Itu engkau. Aku yakin sekali. Tengku Puteri sebenar sungguh tidak seperti engkau. Sejarah yang engkau belajar bukan membicarakan tentang baginda tetapi engkau." Jentayu berkeras dengan pandangannya.

  Dahlia mengurut dahinya. Dia itu dari masa hadapan. Mana mungkin sejarah pada zamannya sudah mengatakan tentang dirinya sejak beratus tahun dahulu. Mustahil sama sekali. Kata-kata Jentayu langsung tidak boleh diterima.

  "Jikalau sangkaanku benar, kau harus menjadi puteri palsu buat sementara waktu. Atau apakah kau mahu mengubah sejarah?" Bicara Jentayu membuat hati Dahlia semakin tidak tenteram. Tiba-tiba dia diserang rasa takut yang mendalam. Entah kenapa tiba-tiba takut, dia pun tidak tahu.

  "Jentayu, aku... Cuma mahu pulang..." Perlahan Dahlia membalas. Dia kenal benar dengan keadaan dirinya yang sekarang ini. Dahulu dia mempunyai penyakit ini akibat trauma sejak kecil namun segala rawatan telah diusahakan sehingga dia pulih seperti sediakala. Hidup remajanya tidak lagi dia mengalami seperti ini. Tetapi mengapa tiba-tiba?

  Dia diserang panic attack. Ya, penyakit waktu kecilnya kini kembali menerjah lembaran kehidupan. Dahulu dia diserang penyakit ini akibat trauma dengan sikap ayahnya yang pulang ke rumah tiap-tiap malam dan sentiasa meracau bagaikan orang gila. Habis segala isi rumah dihancurkannya akibat perangai gilanya itu. Setiap malam juga, ibunya menjadi mangsa deraan dan kadangkala dia turut terkena sama.

  Sehinggalah kedua orang tuanya bercerai ketika dia berumur 5 tahun dan di situlah bermulanya hidup baru buat Dahlia dan ibunya. Mereka tinggal bersama Nek Tipah, nenek Dahlia belah ibu. Sengsaranya Dahlia cuba melarikan diri daripada anxiety dan panic attack yang selalu mendatangkan ketidaktenteraman jiwa. Berkali-kali dia dihantar berjumpa mental therapist sehinggalah ketika usianya meningkat ke sekolah rendah, dia semakin pulih. Kuasa Allah dia dapat pulih dalam jangka masa yang sekejap mungkin kerana penyakitnya dirawat sebelum bertambah teruk barangkali.

  Hidup baharu bersama Nenek Tipah benar-benar membahagiakan. Dahlia kembali menjadi ceria semula selepas mentalnya kembali pulih. Namun pemergian ibundanya secara tiba-tiba merobek jiwa dengan mendalam. Ternyata ibunya turut mempunyai trauma yang mendalam kesan deraan suami tidak bergunanya itu.

  Ibunya pergi bertemu Ilahi meninggalkan Dahlia bersama Nenek Tipah. Tetapi alhamdulillah, Dahlia dapat menerima hal itu dengan baik selepas berbulan lamanya kerana dia yakin ibunya pasti ditempatkan dalam kalangan orang yang baik. Panic attack nya tidak menyerang ketika itu menandakan dia sepertinya sudah pulih.

  Tetapi mengapa tiba-tiba sekarang? Badannya menggigil tidak keruan. Nafasnya bagai tersekat. Dia sudah pulih, jadi mengapa penyakit malapetaka ini bertandang kembali? Aku cuma disuruh menggantikan puteri palsu, kenapa sehingga begini keadaanku? Aku trauma tentang apa?

  Dahlia sendiri tidak mengetahui punca traumanya. Matanya memandang Jentayu memohon bantuan. Bibirnya tidak mampu mengungkap sebarang kata. Jentayu mungkin tidak tahu menahu tentang penyakit ini tetapi dia tahu bahawa Dahlia kelihatannya sedang sengsara.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now