Tangannya disentuh lembut Ratu Melawati. Mengajak Delima melepaskan. Arjuna pula yang bergerak meletakkan Intan ke tanah semula. Tidak berhenti Delima menangis. Pedih. Nafasnya turun naik benar-benar hancur jiwa retaknya hati. Pantas Ratu Melawati mendakapnya menenangkan.

  Hangatnya dakapan ibundanya menyebabkan dia tidak mampu menahan tangis lagi. Perlahan kedengaran suaranya menangis di bahu Ratu Melawati. Ibundanya itu digenggam seeratnya. Lemah seluruh tubuh dengan suratan takdir sebegitu rupa. Sukar. Amat sukar.

  Arjuna sudah mula berhenti menangis. Jenazah harus diuruskan terlebih dahulu. Bukan jenazah Intan sahaja, tetapi ramai lagi jenazah lain yang gugur syahid di medan perang. Dia juga harus mendapatkan Dahlia dan Ratna. Ah, Dahlia!

  Tersentak Arjuna baru teringat tentang Dahlia. Apakah dia sudah dijumpai? Jiwa retaknya diruntun rasa bersalah yang tinggi kerana seharusnya dialah yang menyelamatkan Dahlia tadi namun akibat terpana dengan pemergian adindanya itu, langsung terlupa tentang Dahlia.

  "Bonda, aku izin diri sebentar. Dahlia masih tidak dijumpai..." Perlahan Arjuna melontarkan bicaranya. Dia tidak mahu meninggalkan keluarganya sebegitu sahaja namun dia punyai tanggungjawab lain.

  Ratu Melawati bergegas mengangguk. Dia juga baru teringat tentang Dahlia. Harapnya gadis itu tidak apa-apa lah.

  Laju kaki Arjuna mengorak langkah ke arah tempat terakhir Dahlia jatuh. Dia turun berhati-hati ke lereng bukit itu. Terdapat beberapa hulubalang lain yang sedang mencari Dahlia di situ juga.

  Tidak silap Arjuna, Dahlia jatuh di sini. Namun Dahlia tiada. Hilang. 'Apakah dia terjatuh ke bawah sana?' Hati Arjuna mula dilanda risau mendalam. Lereng bukit itu agak tinggi. Ada juga kemungkinan untuk Dahlia jatuh dari tempat tinggi begitu. Namun sekiranya dia benar-benar jatuh, mustahil untuk dia masih bernyawa.

  "Allah.."

  Longgar lutut Arjuna menyembah bumi. Dia memegang sebatang dahan pokok besar berpaut di situ. Ratna hilang. Dahlia pula sepertinya jatuh dari situ. Dirinya tidak sanggup lagi membayangkan jikalau Dahlia sudah pergi bersama Intan.

  Arjuna mengarahkan beberapa hulubalang untuk turun dari lereng bukit itu kerana kemungkinan jasad Dahlia berada di bawah sana. Mereka berpijak di tanah rata. Jasad Dahlia tidak kelihatan.

  'Hairan. Di manakah dia?...' Arjuna bermonolog sendiri. Merata sudah semuanya berpecah mencari Dahlia namun gadis itu tidak dijumpai. Apakah selamat atau tidak?

  Seketika kemudian kesemua hulubalang berkumpul kembali di tempat Arjuna menapak. Kesemuanya menggeleng tanda tidak menjumpai jasad itu. Arjuna mengeluh berat. Berbagai perkara berlaku hari ini. Pahit benar suratan takdir.
 
  "Kita teruskan lagi mencari hingga jumpa. Tengku tidak berada dalam keadaan selamat sama sekali. Dia cedera parah. Pasti dia memerlukan kita." Tunggang terbalik ayat Arjuna masih janggal membahasakan Dahlia sebagai Tuanku.

  Dia kemudiannya bergerak semula ke tempat pertumpahan darah berlaku tadi. Kebanyakan jasad tidak bernyawa sudah disusun rapi di atas beberapa buah kereta kuda. Masing-masing ditutup wajahnya dengan sehampar kain besar.

  Nafas Arjuna didengus berat. Pilu hati melihat sekelip mata insan-insan itu ditarik nyawa mereka. Alhamdulillah Allah masih memberi peluang buat Arjuna untuk melihat hari esok. Biarpun kesemua hulubalang itu tidak dikenalinya, hatinya tetap terpaut sedih menatap kesemua jasad itu.

  Dia kemudiannya menapak berdiri memandang jasad Intan yang diasingkan daripada jasad yang lain kerana dialah satu-satunya wanita yang gugur di medan perang itu. Delima dan Ratu Melawati berada di sisi Intan.

  Mata Delima layu dan kosong. Dia bagaikan terbayang-bayang adindanya itu masih bernyawa di hadapannya. Wajahnya suram tiada senyum, tiada seri, tiada ceria. Kelam. Benar-benar dia penat. Namun air matanya tetap tidak berhenti berlinangan. Ia turun dengan sendirinya tanpa dipaksa. Delima bagaikan berada di alam lain. Mindanya melayang memandang Intan. Bahaya jika membiarkan diri hanyut sebegitu, syaitan akan mula membisikkan perkara tidak benar sehingga boleh menyebabkan diri menyalahkan takdir.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now