Sebaik sahaja hujan panah berhenti menandakan musuh akan menunjukkan diri, Arjuna dan Iskandar pantas ke barisan hadapan menentang tentera berpakaian serba hitam. Bunyi pedang berselisih menghangatkan suasana. Delima dan Intan tidak berdiam diri, memastikan Puteri Seri Dahlia berada dalam keadaan selamat, mereka bergegas menyirat urat leher si musuh daripada terus mara ke arah Tengku.

  Darah memancut serata tempat. Burung-burung lari bertempiaran tatkala bingit menghiasi suasana hutan dengan suara jeritan pelbagai manusia. Lantai hijau bumi bertukar merah dengan tompokan darah yang semakin menjadi lautan merah.  Satu persatu jasad tumbang. Baik dari pihak Dahlia mahupun Perkasa.

  Tentera Perkasa semakin menggila. Jumlah mereka yang lebih ramai berbanding hulubalang istana Wantachitra memberi peluang kemenangan yang besar kepada mereka. Tidak menang tangan Delima dan Intan yang menangkis serangan dari arah Barat Daya sementara Arjuna dan Iskandar dari arah  Barat timur. Dahlia dan hulubalang yang mengelilinginya masih berada di bahagian Timur.

  Hulubalang yang menahan serangan dari arah Barat tumbang dipancung leher tanpa belas ihsan. Mereka semakin mara ke arah Dahlia. Sedang semua hulubalang sibuk dan leka menangkis serangan di hadapan, Perkasa menyerang hendap Dahlia dan Ratna dari belakang.

  Dahlia terkesima. Kesemua hulubalang yang berkawal di belakangnya tumbang tanpa bunyi. Sungguh dia tidak mendengar apa-apa. Perkasa cuba menarik Dahlia namun Ratna menoreh tangan sasanya hinga menumpahkan darah yang cukup banyak.

  "Tengku dalam bahaya! Bergerak melindungi Tengku sekarang!" Jerit seorang hulubalang istana. Serentak dengan itu, Delima bergegas ke arah Dahlia. Intan akan tetap menangkis serangan di Barat Daya. Arjuna dan Iskandar cuba bergegas namun ramai tentera Perkasa menghalang mereka. Serangan tidak henti-henti dilancarkan ke atas dua insan perkasa itu tidak memberi mereka walau sedikit ruang untuk bergerak ke Dahlia.

  Beberapa hulubalang lain yang masih mampu berdiri dengan dua kaki berlari dengan segera ke arah Puteri Seri Dahlia. Kudrat mereka digunakan sehingga ke akhir hayat.

  Perkasa cuba menangkap Dahlia menggunakan tangan kirinya pula memandangkan tangan kanannya ditoreh Ratna. Namun Ratna tidak membenarkan itu berlaku. Walau sudah ditarik Dahlia agar dia mundur ke belakang, Ratna berkeras untuk melindungi Dahlia.

  Dahlia ditolak Ratna kuat menyebabkan tangan kiri Perkasa menggapai Ratna dan bukannya Dahlia.

  "Ratna!" Gugur jantung Dahlia dibuatnya. Dia menyerang dari kanan Perkasa  menyebabkan Perkasa melempar Ratna ke belakang untuk menangkis serangan Dahlia. Gadis kecil itu terpelanting jauh dek lemparan Perkasa penuh bertenaga itu mampu menerbangkan Ratna dengan mudah.

  Dahlia mula risau. Serangannya bertubi-tubi dilancarkan ke arah Perkasa namun tiada satu pun berjaya mencederakannya. Ratna yang tidak bergerak setelah dicampak jauh menganggu emosi Dahlia. Serangannya mula membuta tuli akibat jiwa kacaunya merisaukan Ratna yang kelihatan seperti tidak bernyawa.

  Serangannya dipandu amarah. Tenaga dan ketangkasannya bertambah namun strategi serangannya kelaut menyebabkan mudah untuk Perkasa membaca tindakan seterusnya.

  "Sedih? Jikalau kau mengikuti aku tempoh hari, ini semua tidak akan terjadi! Lihat sekarang gadis kecil itu mati kerana kau!" Perkasa menempik Dahlia cuba menyabitkan kesalahan ke atasnya agar dia berasa lebih terbeban dan hilang kawalan.

  Dahlia tidak bersuara. Hatinya bagai dipanah bertubi-tubi hingga berdarah. Mukanya merah menahan marah. Matanya bagaikan harimau mahu menerkam Perkasa. Giginya diketap kuat. Benar dirinya dikuasai amarah yang tinggi. Air matanya berguguran jatuh. Sedih dan bengang yang melampau. Kedua perasaan itu bercampur-baur dalam dirinya. Nafasnya didengus garang benar-benar dia mahu menghabisi pemuda tidak berguna itu.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now