Segera Dahlia diam. Dia tidak bersetuju untuk berpura-pura menjadi puteri yang dimaksudkan. Kerana sesungguhnya dia bukanlah puteri tersebut. Menjadi puteri juga tidak pernah seumur hidupnya. Risau tentang berbagai perkara.

  "Tiada masalah. Akan aku titahkan dayangku untuk mengurusnya." Balas Ratu Melawati mengangguk.

  Seketika kemudian, titah dikeluarkan. Dayangnya terus membawa Dahlia ke bilik persalinan. Seorang pengawal dari Wantachitra turut sama masuk membawa pakaian kebesaran buat Dahlia.

  Dahlia memandang Arjuna memohon pertolongan kerana dia tidak mahu melakukan semua ini. Dia hanya mahu pulang selepas mengadap Tuanku Ratu Melawati. Namun Arjuna hanya mengeluh perlahan dan mengatup matanya sedikit rapat memberi isyarat agar Dahlia turuti dahulu dayang-dayang tersebut.

  Seketika kemudian, Iskandar mohon berundur. Kini tinggal Arjuna dan Ratu Melawati sahaja.

  "Kini hanya kita. Tidak perlulah kau menggelarku sebagai Tuanku lagi. Cukup sekadar bonda. Itu sudah memadai dan membahagiakan ku." Ujar Ratu Melawati kepada Arjuna di hadapannya.

  "Baiklah bonda. Tiada masalah." Arjuna membalas penuh sopan. Titah Sang Ratu diperkenankan. Sejak kecil lagi sudah dia terbiasa memanggil ibundanya dengan gelaran bonda. Maka ini tidaklah sukar baginya.

  Biarpun anak angkat, Arjuna pernah disusukan oleh kakanda kepada Ratu Melawati yang tidak diiktiraf sebagai salah seorang darah daging keturunan raja kerana ada ura-ura mengatakan bahawasanya kakanda Ratu Melawati itu anak luar nikah milik allahayarham ayahanda Ratu Melawati.

Hingga kini kakandanya hidup sebagai rakyat biasa tanpa memberitahu sebarang nyawa tentang asal-usulnya. Penyusuan Arjuna juga sebenarnya adalah rahsia antara Ratu Melawati dengan kakandanya. Memandangkan telah menjadi saudara susuan, tiadalah batas dalam pergaulan antara Ratu Melawati dan Arjuna.

  "Jaga Dahlia dalam perjalanannya sebaik mungkin. Aku tahu dia mahu pulang ke tempat asalnya namun minta dia agar bersabar dan hanya menuruti titah sultan untuk ke Wantachitra. Jalan pulangnya biar aku yang uruskan." Ujar Sang Ratu.

  "Bonda percaya terus ya apa yang aku sampaikan walaupun sukar diterjemah akal sihat?" Soal Arjuna pula. Kagum bondanya mempercayainya serta-merta.

  "Itu disebabkan kau lah Arjuna. Kau bukan seseorang yang mempercayai perkara sebegitu tetapi kali ini kau terlihat percaya. Maka itu menjadi asbab untuk aku juga turut percaya sama." Balas Ratu Melawati berhenti sejenak sebelum menyambung bicaranya menukar topik perbualan.

  "Oh iya! Aku lupa bahawa kakanda-kakanda mu sudah pulang dari tugas masing-masing. Mereka berada di luar sana. Jenguklah mereka." Kata Ratu Melawati teruja.

  Lama mereka sekeluarga tidak berkumpul sebegitu. Arjuna dan dua orang kakandanya iaitu Delima dan Intan merupakan adik beradik kandung yang dijaga oleh Ratu Melawati sejak mereka kecil lagi. Mereka dijadikan sebagai anak angkat. Namun masing-masing tidak mahu diiktiraf sebagai putera dan puteri-puteri angkat ratu maka, inisiatif lain diambil dengan menjadi seorang pendekar dan srikandi kerajaan yang terbaik.

  Ratu Melawati mula menjaga mereka setelah ibunda ketiga beradik itu meninggal dunia beberapa hari selepas melahirkan putera bongsunya, Arjuna. Kini, darah daging Ratu Melawati turut mengalir dalam diri mereka namun tetap segelintir rakyat tidak bersetuju dengan keadaan itu kerana masih menganggap bahawasanya ketiga beradik itu hanyalah dari kalangan rakyat marhaen yang biasa.

  Masing-masing mahir dengan pelbagai seni lawan dan mempunyai tugas berat yang diamanahkan Ratu Melawati. Selalunya sukar untuk semuanya berkumpul serentak. Hanya Delima dan Intan yang selalu bersama. Tetapi kali ini rezeki Allah, mereka dapat bersama serentak melepaskan rindu masing-masing.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now