Dahlia hanya mendiamkan diri di sisi Arjuna. Ratna berada di luar istana kerana Arjuna tidak membenarkannya turut masuk ke dalam.

  "Apakah benar?" Soalan itu sudah tiga kali terpacul keluar dari mulut Ratu Melawati. Langsung tidak boleh diterima akal apa yang baru didengarinya.

  Arjuna dan Dahlia mengangguk buat kali yang ketiga. Lama mata Si ratu terkunci memandang Dahlia. Segala perkara bermain di benaknya. Bukan maklumat tidak masuk akal itu yang sukar dipercayainya namun disebabkan dia mempercayainya serta-merta membuatkan dirinya berfikir dua tiga kali. Bagaimana dia sebegitu mudah mempercayai maklumat itu?

  Suasana sunyi tatkala Ratu Melawati tidak langsung membuka mulut, hanyut dalam fikiran sendiri.

  Tiba-tiba seorang hulubalang datang ke ruang utama istana. "Ampun Tuanku, utusan dari Wantachitra telahpun tiba. Beliau ingin mengadap Tuanku." Ujar hulubalang tersebut sambil tunduk memberi hormat sepenuhnya.

  "Utusan dari Wantachitra?" Ratu Melawati sedikit terkejut dengan kunjungan mengejut itu. 'Apa yang berlaku?' dengusnya dalam hati.

  "Silakan dia masuk." Titah Ratu Melawati. Seketika kemudian, seorang pemuda melangkah masuk penuh beradab mengadap Tuanku Ratu Melawati. Arjuna dan Dahlia turut sama memberi respons melalui riak wajah kerana mereka kenal benar dengan pemuda tersebut.

  "Assalamualaikum, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Ratu Melawati." Iskandar memberi salam hormat.

  "Waalaikumussalam. Beta tidak menerima sebarang berita kunjungan. Apa hajat datang ke mari?" Soal Ratu Melawati.

  "Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun patik hulurkan atas kunjungan mengejut ini. Tetapi patik hadir ke sini atas titahnya Tuanku Sultan Muadzam Shah Abu Bakar, Tuanku." Ujar Iskandar menjelaskan.

  Riak wajah Ratu Melawati sedikit terkedu. "Teruskan." Ujarnya memberi peluang bagi Iskandar menyambung bicara.

  "Seperti yang Tuanku tahu, di sini berdirinya seorang gadis persis seperti puterinya Wantachitra, Puteri Seri Dahlia. Tuanku Sultan Muadzam Shah Abu Bakar menitahkan agar gadis ini dibawa pulang ke istana baginda kembali." Iskandar diam sebentar sebelum menyambung katanya.

  "Tuanku Sultan Muadzam Shah juga telah pun mengetahui tentang segala perkara yang dipelajari Tuanku. Iaitu wanita ini hanyalah ibarat pelanduk dua serupa dan bukan puteri sebenar, namun demi memastikan kesahihan berita, Tuanku Sultan Muadzam berkenan mengadap sendiri dengan gadis ini. Pengawal dari Wantachitra juga sudah bersedia di luar bagi mengiringi Tuanku Puteri Seri Dahlia ke Wantachitra, Tuanku." Jelas Iskandar panjang lebar.

  Dahlia ternganga. Arjuna terkedu. Ratu Melawati terdiam. 'Aku harus mengadap sultan lain pula?' Dahlia berbisik kecil dalam hati.

  Ratu Melawati mendengus berat sebelum membuka bicara. "Baiklah. Akan aku sediakan beberapa orangku untuk turut mengiringi sama. Jika besar nilai sang gadis ini di mata kita, pasti besar juga nilainya di mata musuh. Kalian akan berangkat sekarang. Arjuna akan turut sama mengiringi kau, Dahlia." Ujar Si ratu itu.

  "Ampun Tuanku, ada beberapa hajat lagi yang Tuanku Sultan Muadzam Shah minta diperkenan jika tidak keberatan." Iskandar sekali lagi membuka mulut.

  Ratu Melawati menoleh memandang Iskandar. "Apakah hajat itu?"

  "Tuanku Sultan Muadzam berhajat agar gadis bernama Dahlia ini memakai pakaian kebesaran yang disediakan dan tugasnya ialah berpura-pura menjadi puteri Wantachitra dalam perjalanannya." Ujar Iskandar lagi.

  "Tetapi..." Dahlia cuba mencelah perlahan.

  "Titah Sultan usah dipersoalkan." Arjuna segera berbisik perlahan di sisi Dahlia agar dia tidak mengeluarkan sebarang kata mempersoalkan titah sultan.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now