Dahlia terpana. Dia hanya ingin memohon maaf tidak sangka Arjuna bertukar pendapat untuk mempercayainya pula. "Tidak akan aku hancurkan kepercayaan kau, Arjuna. Terima kasih banyak atas segala pertolongan kau selama ini " Dahlia tidak menyangka sekali dalam hidupnya akan berbicara dengan orang sebegini beradab. Terasa kelakar pun ada juga kerana cara percakapan ini terlalu formal baginya.

  Arjuna hanya menggeleng perlahan seraya menukar topik. "Bahu kau. Masih sakitkah?" Soal Arjuna memandang bahu Dahlia yang berbalut itu. Kemudian matanya beralih memandang lantai selepas bertentangan mata sebentar dengan Dahlia. Sungguh hatinya tidak kuat memandang gadis itu.

  Dahlia tersenyum nipis. "Sudah tentu sakit tetapi alhamdulillah masih boleh bertahan." Dia membalas perlahan. Pandangannya beralih ke arah Tok Imam yang berpura-pura tidak mendengar perbualan antara dia dengan Arjuna.

  Arjuna turut tersenyum nipis. Manis dilihat mencairkan hati Dahlia. Langsung terlupa tentang luka di bahunya.

  Seketika kemudian Arjuna membuka bicara kembali. "Masuk dan berehatlah Dahlia. Esok kita harus berangkat segera."

  Dahlia mengangguk dan membalas bicara Arjuna dengan seukir senyuman manis. Kemudian dia melangkah masuk ke dalam semula. Arjuna pula kembali melabuhkan punggung di kerusi rotannya tadi.

  Tanpa disedari bibirnya mengukir senyum. Lega hatinya dapat berbaik semula dengan Dahlia. Dia yang tadinya menatap langit dengan penuh sayu kini bertukar ceria setelah berbual dengan Dahlia.

  "Tadi bukan main monyok kau. Sekarang seperti kera mendapat bunga ya?" Sakat Tok Imam yang menyedari perubahan emosi Arjuna dalam sekelip mata.

  "Eh, tidaklah." Balas Arjuna pantas. Dia cuba menggeleng dan menidakkan namun senyumannya tidak dapat disorok lagi. Merah padam wajahnya menahan malu namun senyuman masih tidak lekang di bibir.

  "Selagi belum halal, jagalah pandangan dan pergaulan kau, Arjuna." Tok Imam memperingatkan. Dalam sakatnya terselit nasihat. Arjuna mengangguk memahami. Segera dia beristighfar risau syaitan mengambil peluang  itu untuk melalaikannya.

  "Esok selepas subuh kau akan gerak bukan? Ayuhlah masuk ke dalam. Rehatkan diri sebelum perjalanan panjang." Ujar Tok Imam mengajak Arjuna masuk ke dalam. Arjuna mengangguk perlahan dan mengikuti langkah Tok Imam. Pintu dikunci selepas keduanya masuk kedalam rumah.

  Dahlia, Mak Enon dan Ratna tidur sebilik manakala Arjuna dan Tok Imam hanya merehatkan diri di ruang tamu. Masing-masing lena diulit mimpi saat malam menelan alam sebelum seluruh isi jumantara dipancar sinaran mentari esoknya.

_______________________•••____________________

  Kelihatan jasad seorang wanita dalam lingkungan umur 40 tahun sedang dalam keadaan sujud berlapikkan sejadah tebal yang hanya akan dimiliki oleh keturunan raja atau sultan. Lama sujud wanita itu sebelum dia bangkit semula dan memberi salam.

  "Assalamualaikum warahmatullah..." Wanita itu selesai menunaikan solat hajatnya yang telah menjadi rutin hariannya sejak kecil. Ruang solatnya gah dan indah. Tingkap dibuka membiarkan bayu lembut menghangatkan wajahnya. Selesai solat, wajah tuanya disapu lembut dengan tangan kanannya.

  Wanita itu kemudiannya duduk bersila dan bibirnya terkumat-kamit berzikir memuji Allah. Hulubalang istana hanya berdiri di sudut pintu tanpa sebarang bunyi memberi ruang kepada Ratu Melawati menikmati pertemuannya dengan Ilahi. Selesai berzikir, tangannya pula diangkat ke paras dada melantunkan doa yang dimulakan dengan memuji Allah kemudian diikuti dengan hajat yang ingin dipohonnya.

  Bermula dengan doa buat kesejahteraan arwah orang tuanya kemudian beralih kepada doa buat seluruh rakyat tercintanya lalu beralih pula kepada kesejahteraan seluruh Kesultanan Tarawangsa dan wilayah naungannya yang berada di bawah pimpinannya. Akhir sekali barulah dia menyebut doa tentang dirinya sendiri. Sungguh pemimpin Kesultanan Tarawangsa itu benar-benar mengambil berat tentang rakyat dan kerajaannya lebih daripada dirinya sendiri. Berkali-kali dia memohon agar Allah meletakkan dia supaya sentiasa berada di jalan yang benar dalam memimpin rakyatnya dengan baik.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now