"La Ila Ha Illa Allah..." Budi menghabiskan iqamatnya. Seluruh makmum sudah pun berada di dalam saf dengan betul. Masing-masing memberhentikan segala urusan dunia walau seberat mana pun urusan tersebut. Pemuda di dewan berkumpul masih tidak dibantu namun Tok Imam tetap mengutamakan solatnya terlebih dahulu.

  Segala yang berlaku petang tadi diletakkan jauh-jauh dari minda dan membiarkan diri berehat sementara dari dunia. Sungguh terkejut, penat dan berbagai perasaan wujud ketika itu namun segalanya selesai apabila solat dilaksanakan. Sungguh solat merupakan penawar bagi orang mukmin.

_______________________•••____________________

  Iskandar menarik tali kudanya agar ia berhenti. Destinasi yang dituju sudah pun tiba selepas beberapa hari perjalanan pantas dengan izin Allah.

  Dia mengikat kudanya di tepi pokok dan membetulkan pakaiannya sedikit sebelum masuk ke perkarangan istana. Langkahnya diorak penuh kemas dan beradab. Kedatangannya disambut Sultan Muadzam dan Permaisuri Kuntum.

  "Apakah berita kali ini amat penting sehingga kau datang ke mari sendiri berbanding sekadar mengirim surat?" Sultan Muadzam memulakan bicara.

  "Ampun Tuanku, sudah tidak disangkal lagi, Tuanku memang bijak orangnya kerana sangkaan yang dilontarkan itu amatlah tepat." Ujar Iskandar penuh hormat. Walaupun sudah berkali Sultan Muadzam tidak menggalakkannya untuk melutut penuh hormat tatkala berurusan dengannya, namun Iskandar menolak kerana dirinya tidak mampu melayan baginda tanpa adab dan hormat yang sewajarnya.

  "Semoga berita yang akan kudengar merupakan berita yang baik." Ujar Sultan Muadzam lagi.

  Iskandar menghembus perlahan sebelum memulakan bicara membuka kata dan rahsia yang telah diketahuinya. Segala maklumat disampaikan penuh teliti dan rapi tanpa ada suatu pun yang tertinggal menyebabkan wajah Sultan dan Permaisuri kerajaan Wantachitra itu berubah serius.

_______________________•••____________________

  Sinaran terang Sang Mentari pagi mengejutkan Adalia yang masih mamai di atas katilnya. Bunyi kicauan burung di luar menandakan di sudah terlambat untuk ke sekolah.

  Segera pantas dia bangkit dari katilnya mencapai tuala terus bergerak ke bilik mandi di sebelah dapur Nenek Tipah.

  "Adalia.!! Sudah terang ini! Belum siap lagikah?" Jeritan suara Mila, ibundanya Adalia memberhentikan langkahnya.

  "Ummi?" Dia kaku di hadapan pintu bilik mandi itu. Ibunya sudah lama meninggal dunia. Ini apa semua ini?

  "Adalia, cepat mandi nanti mahu sarapan lagi!" Jerit Nenek Tipah pula.

   Adalia mendengus kecil. "Mungkin bayangan sahaja..." Dia kemudiannya terus mandi dan bersiap untuk ke sekolah.

  Seketika kemudian dia keluar dari bilik dan menuju ke ruang tamu sambil sebelah tangan memegang beg dan sebelah tangan memasukkan buku dalam beg. Tudungnya masih compang-camping akibat huru-hara bangun lambat di pagi hari.

  Sedang dalam keadaan kabut dia melangkah ke ruang tamu, matanya menangkap kelibat ibundanya yang sedang mengirup teh menikmati keindahan siang bersama Nenek Tipah. Beg dan buku yang dipegangnya jatuh serta-merta. Matanya bergenang melihat ibundanya. Pantas dia berlari dan mendakap wanita itu.

  "Eh? Kenapa ini Dalia?" Ibunya terkejut dengan tindakan Adalia yang tiba-tiba memeluknya sambil menangis. Nenek Tipah turut sama hairan.

  Mata Adalia terus-menerus mengalirkan air mata yang tidak henti. Tubuh ibunya didakap erat-erat. Sungguh apakah ini mimpi? Tiba-tiba sahaja dia dapat berjumpa ibundanya yang sudah bertahun-tahun hidup di kerajaan tanah. Lama dakapan Adalia tidak mahu dilepaskan.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now