"Tok, izinkan aku turut serta sama. Aku mahu menjenguk Dahlia." Ujar Ratna seraya menyarungkan sepatunya.

  "Jangan sesat sudahla ya. Arjuna kau kekal disini. Tidak ada baiknya kau turut serta keluar dan membahayakan diri kau." Pesan Tok Imam. Arjuna hanya mengangguk dan menghantar mereka pergi dengan pandangan.

  Saat kelibat mereka hilang dari pandangan, Arjuna melangkah masuk ke dalam masjid semula. Dia mula berzikir dan berdoa sebanyak-banyaknya untuk Dahlia. Hatinya tidak senang. Sedari tadi dia hanya mendiamkan diri sahaja tetapi dia benar-benar merasakan ada sesuatu yang buruk telah berlaku pada Dahlia.

_______________________•••____________________

  Citra membuka pintu rumahnya perlahan. Matanya melilau memandang sekeliling memastikan tiada orang yang melihatnya.

  Dia mencantikkan pakaiannya dan menaikkan harum dirinya. Dia tidak mengenali Arjuna tetapi dia mahu mencari lelaki yang baunya dicium dari Dahlia iaitu Arjuna. Perhiasan dirinya dilebihkan agar dia kelihatan manis dan ayu.

_______________________•••____________________

  "Berhati-hati ya Ratna." Tok Imam berpesan sebelum mereka dan Ratna berpisah arah. Ratna berjalan menuju ke lorong rumah wanita sihir manakala Tok Imam, Budi dan Pak Kasim bergerak menuju ke dewan berkumpul.

  Sesampainya mereka ke dewan, suasana riuh-rendah. Masing-masing membuka mulut menceritakan pendapat mereka sendiri. Hairannya, di dalam dewan tersebut hanyalah dipenuhi oleh golongan Adam.

  'Kata seluruh penduduk harus hadir ke mesyuarat ini, di mana kaum Hawa?' Tok Imam berbisik perlahan dalam hatinya.

  "Sudah! Sudah berhenti bersuara!" Pak Kasim selaku ketua kampung memberi arahan. Serentak dengan itu, seluruh dewan beransur diam.

  "Jadi kalian semua tahu tujuan kalian dipanggil ke sini bukan?" Pak Kasim mengajukan soalan dengan wajah yang serius. "Kalian semua tahu tentang lusa ini tarikh apa bukan? Kerana aku tidak mahu mengulangi kata-kataku sekali lagi."

  Tok Imam memandang Budi. Budi juga melakukan perkara yang sama. Apakah hanya mereka berdua sahaja yang tidak tahu tentang lusa ini? Tok Imam segera mengangkat tangan sedikit ingin menanyakan tentang itu.

  "Maafkan aku, tetapi apa yang berlaku lusa ini? Ada sesuatu yang aku tertinggalkah?" Soalan Tok Imam menyebabkan satu dewan berkerut memandangnya. Masing-masing terkejut dengan soalan yang diajukan Tok Imam itu.

  "Tok, apakah kau tidak tahu tentang lusa ini?" Wajah Pak Kasim bertukar terkejut. Tok Imam memandang Budi seraya menoleh semula dan menggeleng tanda mereka benar-benar tidak tahu.

  Serentak dengan itu seluruh dewan kembali kecoh memarahi Tok Imam dan Budi kerana tidak ingat tentang tarikh yang dimaksudkan.

  "Tenang! Bertenang semuanya!" Pak Kasim mencuba sehabis baik menenangkan keadaan. Kemudian dia menoleh semula ke arah Tok Imam. "Lusa ini merupakan hari lahirnya Citra, Tok. Bagaimana bisa Tok melupakan tarikh keramat itu?"

  Tok Imam berkerut. Begitu juga Budi. "Kau kata ini soal hidup dan mati, Kasim." Balas Tok Imam.

  "Memanglah hidup dan mati! Tujuan kita berkumpul di sini adalah untuk membuat kejutan buat Citra tercinta kita!" Pak Kasim menghangatkan seluruh isi dewan dengan semangat yang berkobar-kobar.

  "Sekiranya kita tidak membuat kejutan pasti dia bersedih. Sekiranya dia bersedih, tiadalah sinar yang menyinari kampung ini lagi!" Tangan Pak Kasim didepakan ke udara membuatkan seluruh isi dewan bersorak setuju bagaikan orang gila.

  "Astaghfirullahalazim. Ini sudah melampau, Tok." Budi berbisik perlahan di telinga Tok Imam. Tok Imam terkesima dengan apa yang baru didengarinya. Seluruh isi dewan bagaikan membesarkan wanita itu seolah-olah dialah yang paling mulia.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now