"Aku sudah ingat. Puteri Seri Dahlia, seorang puteri masyhur di sebuah kerajaan... Aku lupa namanya. Tetapi sejarah tentang dirinya tidak hangat diperkatakan malah tidak juga aku belajar di sekolah. Hanya aku sendiri yang mencari tahu tentangnya." Dahlia berhenti sejenak sebelum menyambung kata.

  "Dia hebat dalam pelbagai bidang. Sungguh sempurna. Jelita, menawan, hebat bertarung dan dia juga mampu memimpin negara dengan baik. Dia sangat baik dan menjaga serta mengambil berat tentang rakyatnya dengan penuh kasih sayang. Itu sahaja yang aku ingat tentang dia. Kenapa?"  Dahlia mengakhiri bicaranya dengan soalan.

  Arjuna terdiam. Iskandar terkesima.

  "Dengar cerita juga dia terkenal kerana kebaikannya sebagai seorang pemimpin yang jujur, baik, dan adil dalam memerintah selepas kemangkatan kedua orang tuanya yang merupakan pemimpin asal kerajaan tersebut." Dahlia menyambung lagi sedikit maklumat yang diterimanya.

  "Banyak juga ya kau tahu." Arjuna cuba memberi respons. Namun sebenarnya dia hilang kata mendengar apa yang disampaikan Dahlia itu. Ada yang benar tetapi ada juga yang palsu.

  Dahlia mengangguk sambil berkerut memandang Arjuna dan Iskandar yang seperti terkejut mendengar bicaranya.

  "Iskandar kau siapa sebenarnya? Kenapa kau tiba-tiba bersama kami?" Iskandar tersentak dengan soalan Dahlia itu. Tidak tahu mahu memberi respons apa kerana dia masih belum mahu memberitahu perkara sebenar bahawa dia merupakan perisik kerajaan Wantachitra.

  "Dahlia, aku mahu memberitahu kau sesuatu." Arjuna cuba berterus-terang. Malas mahu berkias lagi.

  Dahlia mengangkat keningnya seolah-olah memberi ruang Arjuna menyambung katanya.

  "Iskandar di sisiku sebenarnya merupakan orang dari kerajaan Wantachitra. Katanya kau merupakan puteri kerajaan sana. Puteri Seri Dahlia. Apakah kau benar puteri yang diperkatakannya?" Berterus-terang sungguh Arjuna memacukan soalannya.

  Dahlia tertawa kecil sebelum menyambung bicaranya. "Mana mungkin aku puteri yang diperkatakan. Aku hanyalah insan biasa yang masih mencari jalan pulang ke tempat asal ku. Pelanduk dua serupa barangkali itu." Jelasnya bersahaja.

  "Kau benar-benar mirip Puteri Seri Dahlia. Bahkan nama kau juga serupa. Arjuna tidak pernah berjumpa dengan puteri tersebut atas sebab itulah dia tidak mengenali wajah kau yang serupa sepenuhnya dengan Tengku puteri." Sahut Iskandar pula.

  "Dahlia mana ada orang datang dari masa hadapan. Sebelum aku bertemu dengan kau di hutan tersebut, apakah kau terhantuk kepala kau di mana-mana menyebabkan kau lupa siapa diri kau sebenarnya?" Arjuna masih berkeras memaksa Dahlia mengakui hakikat dirinya yang sebenar.

  "Arjuna, sehingga kini kau masih tidak mempercayai aku ya." Dahlia berkecil hati.

  "Aku bukan tidak mempercayai kau tetapi bukankah harus difikir mengikut logik akal sekarang ini. Mustahil ada manusia hadir dari masa hadapan. Selama ini aku hanya melayani karenah kau kerana tidak mahu bertekak. Lagipula kau tidak mempunyai sebarang bukti bahawa kau daripada masa hadapan. Tetapi kita punyai bukti malah saksi iaitu Iskandar bahawa kau merupakan Puteri Seri Dahlia. Jadi apa lagi mahu dinafikannya? Hanya orang gila sahaja yang mengakui dirinya daripada masa hadapan." Jelas Arjuna panjang lebar.

  "Jadi kau mahu kata aku orang gila ya?!" Dahlia memandang tepat ke dalam mata Arjuna. "Tidak semua yang tidak punyai bukti itu salah dan tidak semua yang punyai bukti itu benar. Sungguh aku kesal dengan kau, Arjuna. Sia-sia sahaja berharap kau akan memahami aku."

  "Sia-sia? Kesal? Siapa yang suruh kau berharap pada aku?" Arjuna melontarkan soalan yang begitu mendalam bagi Dahlia. Kedua-duanya mulai bengang.

  Arjuna hanya mahu Dahlia berhenti memberi alasan tidak masuk akalnya dan  mengaku bahawa dirinya seorang puteri yang dimaksudkan. Manakala Dahlia pula memang tidak punyai sebarang bukti kukuh yang boleh meyakinkan orang bahawa dia benar-benar dari masa hadapan.

  "Maaf mencelah tetapi aku tidak tahu sama ada aku harus melayani kau sebagai seorang puteri atau orang biasa. Puteri Seri Dahlia jarang menampakkan dirinya di khalayak ramai. Hanya orang yang pernah berjumpa dengannya sahaja yang mengenalinya. Kerana itulah orang di sini tidak menghiraukan kau. Kerana mereka tidak mengenali wajah sebenar Tengku Puteri Seri Dahlia."

  "Tambahan pula, sekiranya kau orang biasa mengapa ada seorang lelaki sasa yang mengintip kau dan cuba mencederakan kau? Apa yang dia mahu dari kau? Melainkan dia tahu kau seorang puteri, pasti dia tidak mengganggu kau. Jikalau kau hanyalah orang biasa, masakan orang menghantar lelaki sehebat itu untuk bertarung dengan kau?" Iskandar mencelah.

  Dahlia tergamam. Ada benar juga kata-kata Iskandar itu. Tetapi dia benar-benar bukan puteri yang dimaksudkan.

  "Tengku Puteri Seri Dahlia merupakan seorang yang hebat dalam pertarungannya. Dia mampu menumpaskan ramai pemuda hebat. Atas sebab itulah lelaki sasa yang dihantar untuk mencederakan kau. Sudah tentu dia menyangka kau merupakan seorang puteri." Iskandar menyambung lagi.

  "Aku bukan Puteri Seri Dahlia... Demi Allah aku bukan. Satu seni bela diri pun aku tidak mahir inikan pula sebagai puteri terhebat dalam pertarungan. Sumpah aku bukan puteri yang kalian maksudkan." Sedaya upaya Dahlia cuba meyakinkan. Ratna hanya mendiamkan diri di sisi Dahlia. Tidak ada baiknya jika dia membuka mulut dalam keadaan tegang begini.

  Iskandar dan Arjuna tetap berdiam diri. "Ya Allah... Bahkan nama sebenar aku juga bukan-" Kata-katanya terhenti di situ.

  "Apa?" Arjuna bersuara. "Kau menipu nama kau?" Wajahnya kesal jelas dia kecewa dengan tindakan Dahlia itu.

  "Tidak Arjuna, aku-"

  "Kau menipu aku dan kau juga cuba meyakinkan aku bahawa kau dari masa hadapan? Selepas itu kau kata kau kecewa apabila aku tidak mempercayai kau? Bagaimana aku mahu percaya jika sudah terang lagi bersuluh kau menipu aku? Tidak mustahil alasan kau dari masa hadapan itu semua juga hanyalah tipu daya semata!" Suara Arjuna sedikit meninggi. Dahlia tergamam.

  Dia sudah terlepas cakap. Musnah segalanya. Selepas ini memang mustahil untuk sesiapa pun mempercayainya. Mata Arjuna tajam memandang Dahlia seolah-olah bagaikan mahu tembus. Kedua-duanya bertentangan mata tetapi bukan secara cinta malah lebih kepada kesal.

  Arjuna tidak boleh terima apabila Dahlia terus menerus berkeras mempertahankan alasan masa hadapannya sedangkan semua bukti memang sudah menunjukkan bahawa dialah Puteri Seri Dahlia.

  Dahlia pula kesal akibat terlepas bicara. Benarlah orang kata, terlajak perahu boleh diundur. Terlajak kata buruk padahnya.  Bukannya dia berniat untuk menipu Arjuna tentang namanya namun dia cuma berwaspada di tempat yang dia sendiri tidak tahu di mana. Namun benarlah, memang tidak masuk akal pun alasan datang dari masa hadapan.

  Mengapalah ya dia berharap Arjuna boleh mempercayainya? Mungkin hatinya yang bagaikan sudah sedikit cinta terhadap Arjuna menyebabkan dia menyimpan harapan bahawa pemuda itu berbeza dari yang lain. Jelas dia sudah tersilap. Arjuna tiada beza dari yang lain. Rasa menyesal menyengat jiwa apabila dia meletakkan harapan kepada orang yang salah.
 
  Dahlia hanya mengeluh perlahan. Tidak membalas kata-kata Arjuna tadi. Riak wajahnya penuh kesal dan bersalah. Benar-benar silap langkah dia mula menyimpan hati terhadap Arjuna.

  Arjuna pula mendengus kecil lalu mengalihkan pandangannya ke lain. Iskandar dan Ratna kekal membatu di tepi.

  Seketika kemudian, pesanan makanan tiba. Agak lewat kerana warung itu dihujani pelanggan dari pelbagai arah. Tidak menang tangan tukang masak dibuatnya.

  Makanan dijamah namun suasana kekal tegang. Seluruh meja kekal membisu. Dahlia hanya redha untuk dimarahi lagi oleh Arjuna. Terpulang dialah mahu percaya apa. Dia tidak mahu memaksa lagi.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now