"Kamu faham apa yang ustazah sampaikan, Adalia?" Ustazah Sufiah tersenyum kecil lucu melihat gelagat Adalia yang bersahaja begitu tetapi pandai orangnya.

Adalia yang masih kelat bukaan matanya mengangguk perlahan.

"Jikalau kamu faham, cuba terangkan kembali apa yang saya ajar tadi." Ustazah Sufiah cuba menguji Adalia.

"Ustazah kata kita cuma ada satu versi sahaja dalam dunia ini. Sekiranya kita ada dua maknanya yang lagi satu itu adalah syaitan." Serak-serak basah suara Adalia kedengaran menerangkan semula tazkirah ustazahnya. Walaupun perlahan sahaja cara dia melontarkan suara tetapi boleh didengar oleh seisi kelas kerana suaranya memang kuat sejak azali.

Seluruh kelas tetap terpegun kerana Adalia dapat menghadam apa yang diajar guru walaupun dalam keadaan dibuai mimpi. Meskipun perkara ini telah pun berlaku berkali-kali mereka tetap terpegun dengan kebolehan Adalia yang tidur sambil belajar itu.

"Nasib baik dengar." Ujar Ustazah Sufiah sambil tersenyum manis melihat Adalia yang sedang membetulkan posisi duduknya agar dia kembali segar di dalam kelas. Malu ditertawakan rakan-rakannya barangkali.

"Sumpah bagaimana kau boleh dengar walaupun sedang tidur? Cemburu betul aku." Dengus Rina separa berbisik di tepi telinga Adalia.

"Apa ustazah cakap masuk mimpi aku weyh." Balas Adalia separa berbisik juga. Kebetulan barangkali tetapi kelebihan seperti itu memang layak dicemburui kerana tidak semua memilikinya.

Kelas diteruskan dengan sesi soal jawab oleh beberapa orang murid kemudian diakhiri dengan surah An-Nas yang dibacakan oleh Fikri, selaku ketua pelajar. Jam tepat menunjukkan pukul satu tengahari. Segelintir murid sudah bersiap bergegas ke masjid berhampiran kolej mereka dan segelintir yang lain mencari makanan terlebih dahulu bagi mendiamkan perut yang tidak berhenti berbunyi sedari tadi.

Adalia berjalan seiring Rina menuju ke Masjid Batik yang berhampiran tetapi mereka singgah di gerai kecil tepi jalan kerana ingin membasahkan tekak dengan teh ais sejuk. Kemudian langkah diteruskan menuju ke masjid.

Mereka duduk di pondok luar masjid sambil menikmati teh ais yang dibeli tadi sementara menunggu masuk waktu Zohor.

"Esok cuti semester bermula kau terus pulang ke kampungkah?" Soal Rina memecah kesunyian.

"Umm." Adalia mengangguk. Dia tetap khusyuk menghirup air dengan begitu berselera.

"Tidak mahu singgah ke Titiwangsa dahulu? Berlatih dengan kasut roda baharu kau?" Rina mengajak.

"Malaslah. Boleh sahaja aku berlatih di taman kampung nenek aku. Lagipun aku mahu pulang awal. Rindu nenek. Hehe.." ujar Adalia tersengih comel.

"Alaa.. seorang dirilah aku nanti..." Rina melepaskan keluhan berat. "Tidak apalah, aku bersiar seorang diri sahajalah."

"Hahhaah relakslah. Bukan selalu keluar seorang. Semoga berjaya esok." Adalia mentertawakan kawannya yang sungguh tidak suka berseorangan. Paling tidak dia akan mengajak orang lain bersamanya.

Azan berkumandang menghiasi alam dengan panggilan Ilahi. Mereka berdua diam mendengar seruan Allah mengajak menunaikan solat. Sebaik sahaja teh ais sejuk dihabiskan mereka bergegas masuk ke dalam masjid bagi menunaikan kewajipan.

_______________________•••____________________

Arjuna memalingkan wajahnya ke kanan kemudian ke kiri.

"Assalamualaikum warahmatullah.." dia menyelesaikan kewajipannya sebagai seorang muslim. Posisi duduknya dibetulkan kepada posisi bersila. Tasbih tiada di tangan tetapi zikirnya boleh dihitung menggunakan jari.

Tangan kemudiannya diangkat tinggi ke paras dada lalu mulutnya terkumat-kamit memuji Allah dan berdoa.

Seluruh isi Jumantara diam khusyuk mendengar bacaan doanya. Hanya bunyi burung berkicauan menghiasi alam semesta. Sekali sekala bunyi dedaun pokok bergoncang ditampar pawana menggugurkan dedaun keringnya ke lantai bumi.

Arjuna melipat alas solatnya dengan kemas lalu disangkut di palang jendela. Kakinya kemudian digerakkan menuruni anak tangga dengan berhati-hati. Langkah diteruskan bagi menyelesaikan tugas yang diamanahkan. Selaku temenggung, dia diarahkan mencari gerakan perompak yang bergerak dalam diam merompak harta peniaga yang ingin mencari rezeki di Tarawangsa, bumi indah itu.

Keadaan ini pada asalnya cumalah perkara biasa tetapi makin lama ia mengganggu keamanan di Tarawangsa dan mengancam nyawa penduduknya kerana sesiapa yang melawan mereka terus dibunuh tanpa belas kasihan maka pemimpin Tarawangsa sendiri iaitu Tuanku Ratu Melawati sendiri yang mengarahkan anakandanya itu untuk menjejaki gerakan tersebut dan dibawa menghadap baginda. Sekiranya mereka enggan menyerah diri, titah Sang Permaisuri adalah agar mereka dihabisi nyawanya.

Hutan ibarat taman permainan bagi Arjuna maka tugasnya untuk menjejaki gerakan tersebut tidaklah sukar baginya. Pencariannya yang bermula sejak awal pagi tadi semakin menuju kejayaan apabila dia dapat merasakan bahawa dirinya semakin hampir dengan lokasi sang pemusnah keamanan tersebut.

Tapak kaki yang memijak ranting dan dedaun kering langsung tidak mengeluarkan sebarang bunyi menandakan betapa terlatihnya Arjuna.
Langkah diteruskan sambil hati tidak lupa melantunkan zikir dan mentauhidkan Allah. Bagi Arjuna misi yang dijalankan tanpa mengutamakan Allah hanyalah satu perkara yang sia-sia.

Perlahan-lahan Arjuna membuka langkah bergerak di dalam hutan tersebut.

Tiba-tiba sebilah pedang berada rapat dengan halkumnya. Langkah Arjuna terhenti. Sah dia terleka dan terlalu fokus untuk menjejaki sehingga terlupa bahaya ada di mana-mana. Namun Arjuna dalam keadaan bersiaga. Tangan kanan sudah lama bersedia memegang sarung pedang dengan kemas manakala tangan kiri pula menggenggam pemegang pedang dengan erat.

Si musuh yang masih tidak memunculkan diri mula bersuara. Serentak itu semua yang bersembunyi memunculkan diri dan mengepung Arjuna dalam satu bulatan besar. Masing-masing bersenjata lengkap, berpakaian serba hitam, menutup wajah masing-masing selain mata sambil menghunus pedang mereka ke arah Arjuna.

Arjuna kekal tersenyum. Tetap tenang meskipun nyawa sedang diancam. Bukan sedikit yang mengepungnya, ramai. Namun kemahirannya membatasi gentarnya.

"Dasar pengecut ya kalian semua. Menyerang hendap lelaki seorang sedang kalian lebih ramai bilangannya dari aku." Arjuna memandang sinis semua perompak yang menutup mulut dan hidung mereka agar wajah mereka tidak diketahui.

"Kami kenal siapa kau. Tidak usah berkias panjang, letakkan senjata kau dan serah diri." Sahut si penghunus pedang yang meletakkan bilahnya rapat ke leher Arjuna. Sedikit geseran pasti terkoyak leher pemuda itu.

Arjuna tersenyum bersahaja masih kekal dalam posisi yang sama tidak bergerak. Suasana amat tegang sehingga yang kedengaran hanyalah kicauan burung menjadi pemecah kesunyian. Hati Arjuna tidak sesaat pun berhenti berzikir dan mengingati Allah. Biarpun dalam keadaan tegang dan berbahaya Arjuna yang terlatih dan berpengalaman masih tenang mengingati Allah...

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now