Kalau Natalia mengharapkan benda yang sama, begitu juga dengan Nana. Dia mahu Harraz melepaskan Marissa.

Seketika, mereka diam tanpa berbicara lagi. Nana mencicip minumannya bersama kerlingan yang terarah pada Natalia.

Klak!

Koklea disapa dengan bunyi kuakan pintu dari luar. Natalia dan Nana sama-sama menoleh. Kelihatan Shafqi baru pulang. Lelaki itu masih tidak perasan dengan kehadiran Natalia di rumahnya.

Natalia memincilkan biji matanya. Dia macam kenal dengan lelaki ini. Tapi siapa ya?

"Siapa tu?" bisik Natalia. Sayup-sayup suaranya.

"Abang aku, Shafqi."

Shafqi? Baru Natalia ingat. Lelaki inilah yang Harraz cemburakan sangat. Tapi sekejap, Shafqi abang kepada Nana?

"Abang kau? Dia ni bukan scandal Marissa ke?" Bukan main celupar lagi mulut Natalia. Nana rasa nak cili aje bibir wanita itu.

"Mulut kau jaga sikit eh? Abang aku cuma berkawan dengan Marissa je. Kebetulan, dia orang sama-sama belajar kat UK."

Makin berselirat otak Natalia. Dia tak faham. Tapi malas nak tanya lebih-lebih. Matanya menjamah tubuh badan Shafqi. Boleh tahan kacak juga abang Nana ni.

"Eh, ada tetamu ke?" Shafqi menyoal tatkala dia melangkah ke dapur. Dia memandang Natalia sekilas sebelum matanya bertembung dengan adiknya.

"Kawan Nana. Nama dia Natalia." Nana berkata ringkas. Natalia menyengih. Kecil besar aje Nana tengok perempuan gedik itu. Bukan main lebar lagi bibir Natalia menyengih.

Shafqi angguk. Dia melemparkan senyuman mesra ke arah Natalia. Kemudian, dia berjalan ke arah peti sejuk. Haus pula tekaknya ini.

"Boleh tahan abang kau, Nana."

Nana mengetap bibirnya. Ikutkan hati, nak aje dia menjolok mata gatal wanita itu. Sabar Nana.

"Ingat sikit, kau tu dah bersuami," pesan Nana, mula bertegas. Dia faham akan pandangan mata Natalia itu.

"Setakat cuci mata, apa salahnya?" Perlahan intonasi Natalia. Risau kalau Shafqi terdengar pula nanti.

Mulalah Nana nak marah.

"Lelaki lain, aku tak kesah kalau kau nak cuci mata ke apa. Tapi bukan abang aku. Kau jangan cari pasal, Talia." Keras dan kasar Nana memberi amaran. Mukanya kelihatan menyinga.

Tergelak kecil Natalia mendengar ujaran Nana itu. Dia langsung tak takut dengan amaran Nana tadi. Malah, makin galak dia merenung belakang tubuh milik Shafqi. Menggoda.

"Aku gurau ajelah. Tak payah serius sangat." Natalia lekas membetulkam keadaan yang mula serius. Dia mencebik. Dia tak heranlah dengan Shafqi tu.

"Abang masuk bilik dulu," celah Shafqi dari belakang. Kepala adiknya digosok serabai. Sengaja mahu menyakat Nana.

"Isy, janganlah!" marah Nana lalu menolak tangan Shafqi. Abangnya cuma gelak lantas berlalu dari situ membiarkan adiknya bersama Natalia.

Setengah jam di rumah Nana, Natalia pamit diri untuk pulang. Beg tangan dicapai.

"Aku balik dululah. Nak tengok kejutan kat rumah tu nanti." Selamba Natalia bercakap. Hujung bibirnya ternaik sinis.

Hanya gelengan yang mampu Nana berikan. Dia rasa, perangai Natalia ni lagi setan daripadanya. Perempuan gedik tu memang panjang akal.

"Kau nak cakap apa dengan Harraz nanti?" Di muka pintu, Nana menyoal lagi. Yalah, kan Natalia menipu Harraz yang mengatakan dirinya pulang ke kampung halaman. Jika lelaki itu melihat Natalia di rumah nanti, mesti Harraz berasa pelik.

1.0 | DENDAM CINTA [ COMPLETED ]Where stories live. Discover now