Terlepas ketawa sinis Marissa. Lelaki dengan ego tak boleh dipisahkan. Terang-terang sudah bersalah, tapi masih mahu membela diri.

"Awak yang berubah, Harraz. Sebulan saya tak ada dulu, memang diri awak dah lain sangat. Kenapa? Apa punca awak bersikap macam ni? Apa salah saya pada awak?" Marissa memberanikan diri untuk menentang mata suaminya itu. Jelas riak wajah Harraz mula berubah. Lelaki itu mengetap rahangnya.

"Kalau sebulan dulu Ris tak tinggalkan abang, abang takkan jadi macam ni. Abang takkan buka hati abang untuk Natalia. Kita takkan bertengkar teruk macam ni. Semuanya berpunca daripada Ris. Ris yang buat abang berubah sampai macam ni sekali."

Terpempan Marissa mendengarnya. Jadi, dialah yang bersalah?

"Awak tak faham apa yang saya rasa masa tu, Harraz..." Perlahan suara Marissa. Matanya menekur ke bawah.

Tergeleng kepala Harraz. Alasan apa lagi yang Marissa mahu bagi? Sungguh, sejak Marissa memaksanya berkahwin dengan Natalia, rasa cintanya terhadap Marissa semakin pudar. Isterinya seolah-olah meragui kesetiaannya. Dia dituduh curang, sedangkan apa yang terjadi pada masa itu tak sama dengan apa yang Marissa fikirkan.

Puas Harraz memujuk. Puas Harraz merayu agar Marissa mempercayainya. Tapi apa yang dia dapat? Dia dipaksa bernikah dengan perempuan yang langsung tidak dicintainya. Pula tu, selepas akad nikah, Marissa boleh pula menghilangkan diri.

Sebulan dia mencari Marissa. Tahu-tahu wanita itu menetap di Pahang. Itu tidak menjadi masalah. Namun, yang lebih menyakitkan hati Harraz tatkala dia mendapat tahu yang Marissa masih berhubung dengan Shafqi. Cuba cakap, suami mana yang tak sakit hati bila dapat tahu isterinya berhubung dengan lelaki lain? Marissa lebih memilih untuk beritahu keberadaannya pada Shafqi berbanding dirinya, suami yang sah.

Jadi, jangan tanya kenapa Harraz berubah sejauh ini. Jangan mempersoalkan kenapa dia melayani Marissa sebegitu.

"Kalau awak berada kat tempat saya, apa yang awak akan buat? Macam tu aje ke awak akan terima orang baru masuk dalam hidup kita? Ya, saya tahu Natalia isteri awak. Dia patut dapat layanan yang baik daripada awak. Bahkan, saya yang suruh awak mengenali hati budi dia. Tapi tak bermaksud awak boleh abaikan saya, Harraz. Saya pun isteri awak juga."

Jeda. Harraz diam dek termati kata.

"Saya tak minta banyak, saya cuma nak awak berlaku adil. Itu saja, Harraz. Susah ke permintaan saya ni? Berat sangat ke awak nak tunaikan?" Lirih nada Marissa. Tubir matanya mula terasa panas. Ouh Tuhan, tolonglah! Dia tidak mahu menangis lagi. Cukup dia bazirkan air matanya buat lelaki itu.

"Kalau Ris tak paksa abang kahwin, semua ni takkan terjadi." Kesalahan diletakkan seratus peratus pada Marissa. Dia mengerling wanita itu sekilas sebelum Harraz beredar meninggalkan dapur. Desah nafas berat wanita itu menyapa halwa telinganya.

Mahu rasa bersalah? Tak terdetik langsung rasa itu di hati Harraz. Biarkan. Memang itu hukuman yang sepatutnya Marissa terima.

Ajaib, Marissa dapat menahan air matanya dari menitis. Kata-kata Harraz itu sikit demi sikit menyusuk tangkai jantungnya. Tikaman itu perlahan, namun sakitnya tak mampu untuk Marissa tahan. Walaupun begitu, digagahkan juga dirinya agar tidak mengalirkan air mata.

Lantas, Marissa melajukan kakinya membuntuti langkah Harraz. Dia menarik lengan suaminya. Ditatap wajah lelaki itu.

"Kalau tak keberatan, esok awak teman saya pergi check up, boleh? Awak belum pernah lagi teman saya kan?" Senyuman diukir meskipun jelas kelihatan tidak ceria. Marissa cuba melupakan hal tadi. Kalau boleh, dia tak nak ingat. Hatinya akan sakit setiap kali ayat Harraz berlegar-legar di kotak fikiran. Jiwanya rapuh.

1.0 | DENDAM CINTA [ COMPLETED ]Where stories live. Discover now